SUKARELAWAN membungkus makanan untuk diagihkan kepada kucing di kawasan bencana. - Agensi
Agensi

PALU: Sekumpulan pencinta kucing di Solo mengumpulkan wang untuk haiwan berkenaan yang terabai akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda pada 28 September lalu, lapor media tempatan.

Berita pengutipan derma itu disebarkan secara lisan serta menggunakan media sosial dalam kalangan komuniti pencinta kucing yang diusahakan Rumah Difabel Meong Solo.

Ia berjaya mendapat sumbangan bukan saja pencinta kucing di Solo, malah juga dari luar pulau Jawa dengan orang ramai membantu membeli makanan dan ubat untuk kucing di kawasan bencana, lapor Tribun News.

Pengerusi Rumah Difabel Meong, Tomy Kristanto berkata, bantuan untuk haiwan kesayangan itu amat kecil berbanding dengan yang diperlukan penduduk yang terkesan.

“Namun, bantuan untuk mangsa yang terselamat semakin banyak, sebaliknya kebajikan haiwan pascabencana sudah pasti tidak dapat difikirkan buat masa ini,” katanya kepada Liputan6.

Susulan itu, katanya, pihaknya berjaya mengutip derma sehingga 2 juta rupiah (RM500) yang digunakan untuk membeli makanan kucing serta anjing dan diagihkan dengan bantuan Cat Lover Palu. Malah, kami turut mempunyai baki mencukupi untuk membeli ubat untuk kucing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 6:14 AM