Bayi bertarung nyawa di hospital selepas dicampak keluar dari kereta. FOTO SCMP
Agensi

Beijing: Bayi perempuan yang baru dilahirkan bertarung nyawa selepas ditemui dalam parit di tepi jalan dipercayai dicampak dari kereta di Hubei, tengah China.

Bayi itu parah susulan kejadian dilaporkan berlaku Jumaat minggu lalu, dengan polis di Lichuan mengesyaki kanak-kanak malang terbabit dicampakkan dari kereta yang dipandu laju, lapor South China Morning Post.

Thepaper.cn melaporkan, bayi itu dalam keadaan kritikal dengan pendarahan otak selain retak tangan.

Laporan memetik doktor hanya dikenali sebagai Wang berkata, bayi itu dipercayai dilahirkan sekitar tengah hari Jumaat minggu lalu.

Dia ditemui dalam parit dibungkus dalam beg plastik dengan masih bertali pusat oleh sepasang suami isteri di Moudao yang terus membawanya ke sebuah klinik.

Dr Wang berkata, bayi itu tidak dipindahkan dari klinik berkenaan kerana bimbang menyebabkan kecederaan lebih teruk terhadapnya.

Susulan itu, doktor dari Hospital Rakyat Lichuan datang ke klinik berkenaan untuk memeriksanya.

Puluhan orang melawat bayi itu di klinik berkenaan dengan mendermakan wang, malah ada juga yang mahu mengambilnya sebagai anak angkat.

Jurucakap jabatan polis Lichuan, Qin Tao berkata: “Saya terlalu sedih dan marah dengan kejadian ini. Kami akan menjaga bayi itu sehingga dia mendapat kediaman tetap.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:48 PM