Zagorski dihukum mati kerana membunuh dua lelaki. USA TODAY
AFP

WASHINGTON: Lelaki Tennessee terselamat daripada dihukum mati melalui suntikan racun pada saat akhir semalam selepas mendesak supaya pihak berkuasa menggunakan kerusi elektrik terhadapnya atas kesalahan melakukan dua pembunuhan.

Edmund Zagorski, 63, dijatuhkan hukuman mati pada 1984 kerana mengelar leher dua lelaki yang mungkir janji untuk menjual dadah kepadanya.

Dia kemudian meminta supaya menjalani hukuman di kerusi elektrik tetapi pihak berkuasa penjara Tennessee menolaknya.

Peguam Zagorski kemudian melancarkan rayuan di mahkamah persekutuan bagi menuntut kerusi elektrik digunakan ketika dia bakal menjalani hukuman hari ini di Nashville.

Mahkamah rayuan semalam kemudian menyatakan hukuman ke atasnya perlu ditangguhkan bagi membolehkan rayuan mengenai bentuk hukumannya dipertimbangkan.

Di Tennessee, mereka yang dijatuhkan hukuman mati sebelum tahun 1999 berhak memilih dua jenis pendekatan hukuman.

Bagaimanapun, mereka perlu membuat keputusan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum hukuman dilaksanakan, kata pihak berkuasa penjara.

Tennessee adalah salah satu daripada sembilan negeri di Amerika Syarikat yang masih menggunakan kerusi elektrik untuk melaksanakan hukuman mati.

Jika mengambil kira seluruh negara, pelaksanaannya adalah sebanyak 14 kali daripada 900 kes sejak tahun 2000 dan tidak pernah digunakan sejak 2013.

Negeri tenggara Amerika itu tidak pernah menjalankan hukuman mati sejak 2009 sehinggalah Ogos lalu apabila menjalankan hukuman itu ke atas seorang lelaki yang dituduh merogol dan membunuh kanak-kanak pada 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:58 PM