BAYI meninggal dalam kandungan dilahirkan secara semula jadi atau secara induksi.
SOKONGAN daripada suami sangat penting bagi meredakan kesedihan ibu.
RABIATUL Adawiyah.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kematian janin dalam kandungan atau ‘lahir mati’ adalah mimpi sedih yang sukar untuk dihadapi. Bayangkan segala impian dan kegembiraan untuk menimang cahaya mata dan mendengar tawa tangis si manja hilang dalam sekelip mata. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya terutama bagi pasangan yang baru saja mendirikan rumah tangga.

Bagi Rabiatul Adawiyah Zulkarnain, 31, pengalaman melahirkan bayi pertama yang disahkan sudah meninggal dunia menjadi kenangan sukar dilupakan. Setiap kali mengingatinya gugur juga air mata, walaupun ia sudah lima tahun berlalu. Melangsungkan perkahwinan pada Oktober 2011 dan hamil tiga bulan selepas itu sesuatu yang tidak dijangka.

“Tiga bulan pertama saya mengalami alahan teruk. Saya tidak boleh menjamah makanan. Hampir semua makanan yang masuk keluar semula. Mujur ketika itu saya tidak bekerja dan dalam keadaan itu, saya batalkan hasrat untuk bekerja,” katanya.

Memasuki bulan keempat, alahan dialami Rabiatul mula berkurang. Oleh kerana sudah semakin sihat dia mengikut suami melakukan kerja sambilan sebagai tukang masak di restoran sehinggalah usia kandungan memasuki enam bulan setengah. Ketika itu dia mula merasai kelainan pada pergerakan bayi dalam kandungan. Jika dulu tendangannya agak kuat dan kerap tetapi sejak beberapa hari ia seakan-akan perlahan dan semakin kurang.

“Oleh kerana itu kandungan pertama, saya kurang ilmu mengenai kehamilan. Saya anggap ia perkara biasa dan mungkin keletihan menyebabkan saya tidak perasan pergerakan bayi. Untuk menyedapkan hati, saya bertanya kepada saudara dan rakan. Mereka berkata, ia adalah perkara biasa bagi wanita hamil,” katanya.

Apabila sampai tarikh pemeriksaan kandungan, dia mengunjungi klinik kesihatan untuk rutin rawatan biasa. Ujian air kencing, berat dan tekanan semuanya dalam keadaan sempurna. Sehinggalah kepada imbasan ultra bunyi yang dilakukan jururawat bertugas.

“Saat diberitahu jururawat tidak dapat mencari degupan jantung bayi, saya terus tersentak. Namun saya masih berfikiran positif sehinggalah doktor sendiri yang melakukannya. Tiada bunyi degupan jantung seperti biasa walaupun hampir 30 minit imbasan dilakukan. Saya semakin berdebar, perasaan takut mulai menyelubungi diri. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

“Lebih menyedihkan apabila doktor memegang tangan saya dan berkata walau apa yang terjadi diharap puan tabah dan menerimanya dengan sabar. Anggap ia bukan rezeki, sambil memberikan surat rujukan kepada doktor pakar perbidanan dan sakit puan di hospital terdekat,” katanya sayu.

Oleh kerana berdekatan rumah, Rabiatul dan suami memilih Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Selepas mengajukan surat rujukan, Rabiatul dibawa bertemu pakar untuk menjalani pemeriksaan menerusi vagina. Sekali lagi doktor tidak dapat mencari degupan jantung walaupun ujian imbasan vagina adalah paling tepat dan mudah untuk mengesan degupan jantung bayi.

“Akhirnya dalam keadaan tenang doktor memberitahu bayi saya sudah tiada, kemungkinan meninggal dunia dua hari yang lalu. Saya terkesima seketika seakan-akan tidak percaya. Saya menangis semahu-mahunya begitu juga suami. Namun lama-kelamaan kami semakin reda dan menerima semua nasihat doktor untuk proses kelahiran,” katanya.

Rabiatul memilih keesokan harinya untuk melahirkan bayi yang sudah tidak lagi bernyawa. Dia mengikut saja cadangan doktor untuk melahirkan secara induksi bagi mempercepatkan proses kelahiran. Dia bimbang jika menunggu kelahiran secara normal mengambil masa yang lama.

“Alhamdulillah, walaupun melalui tiga kali induksi, proses kelahiran sangat mudah. Pada 21 Jun 2012 saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 640 gram pada usia kandungan 29 minggu. Saya tatap dan cium wajahnya berkali-kali agar ia terakam kemas dalam ingatan,” katanya yang tidak mengikuti proses pengebumian jenazah kerana masih di hospital.

Melalui proses berpantang tanpa anak di sisi turut memberikan cabaran kepada Rabiatul. Ini kerana dia terpaksa mengambil pil untuk memberhentikan susu badan pada saat trauma melahirkan anak masih kuat dalam ingatan. Mujur Rabiatul dikelilingi suami dan keluarga yang sangat memahami dan memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Selepas tamat tempoh berpantang dia terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan asid folik dan makanan tambahan seperti vitamin C. Malah dia turut membaca pelbagai artikel mengenai lahir mati dan puncanya sehinggalah mengandung semula enam bulan selepas itu.

“Sejak disahkan hamil kali kedua saya sentiasa menjaga kandungan dengan mengamalkan makanan sihat, mengikuti rutin pemeriksaan di klinik kesihatan dan mengambil asid folik. Saya juga tidak mahu memikirkan perkara negatif sebaliknya sentiasa gembira melalui detik terindah sebelum bergelar ibu,” katanya yang kini mempunyai sepasang cahaya mata berusia setahun dan empat tahun.

Banyak faktor penyumbang

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Daud Yahya, lahir mati berlaku pada usia kandungan 22 minggu ke atas sebelum bayi sempat dilahirkan. Ini bermakna bayi meninggal di dalam rahim beberapa minggu atau jam sebelum atau selepas ibu mengalami sakit bersalin.

Keguguran pula adalah ‘kehilangan’ kandungan yang berlaku sebelum usia 22 minggu ataupun berat bayi kurang daripada 500 gram jika usia kandungan tidak diketahui.

Bagaimanapun, bukan semua kes bayi lahir mati dapat dikenal pasti puncanya, kecuali dilakukan autopsi ke atas bayi itu. Kadangkala ujian autopsi yang dilakukan juga tidak dapat mengenal pasti sebab kematiannya. Namun dalam bidang perubatan terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira iaitu keadaan bayi dan juga kesihatan ibu.

Punca

Ada banyak punca yang boleh menyumbang kepada perkara ini antaranya:

• Masalah kromosom.

Menurut kajian, hampir 50 peratus kes keguguran spontan pada peringkat tiga bulan pertama disebabkan oleh masalah kromosom yang tidak normal atau kecacatan struktur anggota bayi. Oleh sebab itu bayi yang meninggal di dalam kandungan turut dikaitkan dengan kecacatan namun punca ini tidak terlalu kuat.

“Sejak awal kandungan ibu perlu menjalani pemeriksaan di hospital bagi memastikan bayi berada dalam keadaan sihat. Ujian imbasan peringkat awal biasanya dapat mengesan sebarang keganjilan pada bayi. Untuk itu ibu biasanya sudah dimaklumkan mengenai perkembangan bayi mereka dan langkah yang wajar diambil oleh ibu bapa,” kata Dr Daud.

• Uri dan tali pusat.

Selain itu uri dan tali pusat turut dipersalahkan sebagai punca kematian bayi dalam kandungan ini namun ia masih menjadi ‘penyumbang’ sederhana di atas sebilangan kes lahir mati ini. Secara asasnya uri dan tali pusat berfungsi sebagai saluran nyawa bayi bagi mendapatkan bekalan oksigen dan zat makanan.

Andai terdapat masalah pada salah satu, bermakna terputuslah ‘saluran nyawa’ bayi yang boleh mengakibatkan gangguan bagi kelancaran peredaran darah, oksigen dan zat makanan kepada bayi.

Selain itu terdapat juga kemungkinan uri terpisah atau tercerai daripada rahim terlalu cepat ataupun terjadinya pendarahan daripada tali pusat dan uri yang mengakibatkan kelahiran awal berlaku.

Ada sesetengah kes bayi terbelit tali pusat ketika dalam kandungan namun ia hanya dapat dikenal pasti sebaik saja bayi dilahirkan. Masalah ini juga tidak dapat dikenal pasti sejak awal kecuali menerusi imbasan kandungan.

• Tahap kesihatan ibu

Paling penting dan perlu diketahui adalah keadaan ibu yang mungkin menyumbang kepada kesihatan bayi mereka. Sesetengah penyakit yang dihidapi ibu seperti diabetes dan darah tinggi serta rawatannya kadangkala boleh menyebabkan bayi lahir mati. Sebab itu ibu perlu menjalani rawatan sekiranya disahkan menghidap diabetes kerana ia menyebabkan bahaya bukan saja kepada ibu tetapi bayi mereka.

• Jangkitan

Jangkitan yang dialami ibu atau bayi dalam kandungan seperti jangkitan Torch iaitu toxoplasmosis, rubella, cytomegalovirus dan herpes perlu diawasi agar ia tidak menjejaskan kandungan.

• Air ketuban

Selain pemeriksaan air ketuban juga penting kerana ia turut menyumbang kepada risiko lahir mati. Setiap kali membuat pemeriksaan biasanya doktor akan menjelaskan mengenai air ketuban sama ada berkurangan normal atau banyak. Air ketuban berkurang atau terlalu banyak turut menjadi penyebab kepada lahir mati yang jarang diambil tahu.

• Kemalangan

Kemalangan yang mengakibatkan hentakan kuat, terjatuh atau terhantuk boleh mendedahkan ibu kepada risiko kematian bayi dalam kandungan.

Tanda keadaan lahir mati

Walaupun dalam kebanyakan kes lahir mati tandanya tidak ditunjukkan dengan jelas namun ibu harus peka terhadap pergerakan bayi mereka. Memang diakui ada ketika pergerakan bayi perlahan namun sekiranya ibu mendapati bayinya tidak bergerak untuk satu jangka masa yang panjang seharusnya, segeralah berjumpa doktor.

“Apabila usia kandungan semakin membesar pergerakan bayi juga terbatas, namun bayi masih bergerak seperti biasa. Cuma kekuatan tendangan akan berkurangan kerana ia sudah membesar dan memenuhi hampir seluruh ruang rahim.

“Bayi normal dan sihat akan bergerak lebih 10 kali dalam masa 12 jam sehari, bayi juga akan tidur di dalam kandungan tetapi tidak sepanjang masa. Jadi hanya ibu saja yang tahu keadaan bayi mereka sama ada berada dalam keadaan biasa atau sebaliknya.

“Elakkan bertanya kepada mereka yang tidak pakar atau terlalu merujuk kepada Internet sebaliknya bertemu dengan doktor bertauliah untuk mendapatkan pandangan,” katanya yang menasihatkan bakal ibu menghadiri kelas untuk ibu hamil, bagi mendapatkan maklumat bukan sahaja mengenai kelahiran dan penyusuan tetapi perkara berkaitan dengan ibu dan anak.

Proses kelahiran

Jelas Dr Daud, selepas doktor pakar mengesahkan bayi sudah lagi tidak bernyawa, keputusan melahirkan anak ditentukan ibu bapa sendiri namun mengikut nasihat doktor. Doktor hanya akan memberikan tempoh anggaran atau waktu maksimum untuk membiarkan proses kelahiran berlaku secara semula jadi atau merangsang kelahiran secara paksa.

“Dalam keadaan sedih atas kehilangan bayi, kebanyakan pasangan tidak sanggup menunggu proses kelahiran normal kerana memikirkan kesihatan serta trauma yang akan dilalui. Sebagai doktor kami akan memberikan pandangan dengan mengawasi kesihatan ibu. Namun keputusan terpulang kepada pasangan sendiri,” ujarnya.

Walaupun kelahiran secara semula jadi boleh berlaku namun ia membabitkan masa yang lama. Jika ia melebihi empat minggu daripada tarikh bayi itu meninggal di dalam rahim, keadaan ibu harus diawasi agar masalah lain tidak timbul.

Bagi kaedah kelahiran menerusi induksi pula, ia perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak komplikasi rahim yang masih belum bersedia untuk proses kelahiran.

“Selepas melakukan induksi doktor akan memeriksa pintu rahim bagi memastikan ia terbuka mengikut tempoh yang sepatutnya. Ada individu mengambil masa beberapa jam malah ada sehingga 24 jam. Sekiranya selepas induksi rahim masih berada dalam keadaan sama ia boleh mengakibatkan rahim koyak dan memudaratkan ibu. Jika terdapat komplikasi lain doktor akan mencadangkan pembedahan demi menyelamatkan ibu,” katanya.

Melalui proses berpantang tanpa bayi di sisi memberikan cabaran besar terhadap emosi ibu. Jadi, sokongan keluarga sangat penting bagi membolehkan ibu menjalani kehidupan normal selepas itu. Kemurungan dan kesedihan adalah perkara biasa namun ia tidak seharusnya berpanjangan

“Bagi ibu yang sudah sihat mereka sepatutnya mengambil makanan berkhasiat dan mengamalkan asid folik sebelum merancang untuk hamil semula. Berjumpa dengan doktor untuk berbincang mengenai tahap kesihatan anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 1:21 PM