GOH (berbaju putih) bersama peserta yang bergotong-royong menyiapkan tempahan hamper.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kematian suami empat tahun lalu akibat masalah buah pinggang hampir melumpuhkan seluruh kehidupannya, malah ibarat jatuh ditimpa tangga, dia pula disahkan menghidap penyakit tiroid.

Dugaan demi dugaan ditempuhi dengan sabar demi meneruskan kelangsungan hidup. Wanita berjiwa kental ini bersyukur kerana masih diberi kesempatan mencari sesuap nasi dengan kudrat yang ada.

Rozita Ismail, 53, berkata, dia berniaga kecil-kecilan dengan mengambil tempahan nasi kerabu dan menjual barangan runcit di rumahnya untuk menampung hidup selepas mendapat bantuan pinjaman daripada badan bukan kerajaan (NGO) Women of Will (WoW).

Bantuan itu cukup melegakan kerana penyakit yang dihidapi menyukarkannya membuat kerja berat apatah lagi dia baru menjalani pembedahan disebabkan penyakitnya itu.

“Walaupun menghidap penyakit, kita kena berusaha juga untuk mencari rezeki. Sebelum ini, sudah 30 tahun saya membuka gerai jualan di depan sekolah, pendapatan tidaklah lumayan cukup sekadar menampung keluarga.

“Selepas kematian suami dan saya pula ditimpa penyakit, saya berniaga pula di rumah. Atas bantuan WoW, dapatlah juga saya mendapat modal pusingan dan sempena Aidilfitri saya mengambil tempahan membuat aneka jenis popia seperti kacang hijau, nestum dan serunding,” katanya.

Rozita ditemui ketika program hamper raya anjuran WoW yang diadakan khusus untuk penerima bantuan bagi membantu mereka menambah pendapatan menjelang Aidilfitri.

Mereka yang terdiri daripada wanita kurang bernasib baik dan ibu tunggal berpendapatan rendah sebelum ini mengikuti kelas membuat biskut anjuran NGO itu untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

Mereka bergotong-royong membuat pelbagai jenis biskut seperti London Almond, Chocolate Truffle dan Biskut Oat Sihat sebelum dibungkus dan dimuatkan dalam hamper dengan sasaran dipasarkan kepada pelanggan individu dan korporat.

WoW bermatlamat mengubah kehidupan wanita berpendapatan rendah menerusi pemerkasaan ekonomi. Selain program mikro-kredit, badan itu menyediakan latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan, kelas memasak, membuat hamper dan dekorasi.

Peserta terdiri daripada penerima program mikro kredit WoW yang mendapat bantuan kewangan RM2,000 untuk mengembangkan perniagaan sedia ada atau memulakan perniagaan baru secara kecil-kecilan.

Bagi ibu tunggal, Fudiah Jamal dari Kampung Melayu Subang, banyak ilmu baru yang dapat dipelajari selepas menyertai program WoW bukan semata-mata menerima dana untuk mengembangkan perniagaannya saja.

Jika sebelum ini, wanita berusia 60 tahun ini mengambil tempahan menjahit pakaian di rumah, kini, pengetahuannya lebih meluas termasuk dalam pengurusan kewangan dan memasarkan produk.

Bagi Aishah Yamin, 50, program itu banyak membantunya mengembangkan perniagaan katering dan tempahan kuih muih kecil-kecilan yang diusahakannya. Kehidupan di kota tidak lari daripada berdepan kos sara hidup tinggi apatah lagi dia perlu menyara 11 anak di tengah kota besar.

“Selain berniaga saya juga terpaksa bekerja sambilan sebagai pemandu trak untuk menambah pendapatan. Alhamdulillah bantuan ini banyak membantu meningkatkan perniagaan yang diusahakan dari rumah.

“Banyak manfaat yang saya peroleh kerana selain bantuan pinjaman dana, saya mengikuti banyak kelas kemahiran seperti membuat biskut. Kami juga diberi peluang menambah nilai produk yang dihasilkan. Seperti program ini, kami dapat pelajari teknik membungkus hamper dan menghiasnya untuk dipasarkan ke syarikat korporat,” katanya.

Bagi Shahilawati Sulaiman, 45, peluang diberikan badan itu tidak disia-siakan apabila dia menerima bantuan dana untuk memajukan gerai nasi lemak yang diusahakan bersama suami.

Katanya, kehidupan di tengah kota begitu mencabar dengan keempat-empat anaknya berusia enam tahun hingga 19 tahun yang masih bersekolah selain perlu menampung kos untuk menjaga ibunya yang sakit.

Dia bersyukur diberi peluang berkenalan dengan Wow dan banyak inisiatif yang dilakukan badan itu berjaya membantu meningkatkan ekonomi keluarga berpendapatan rendah.

Asmah Abdul Mutalib pula berkata, cabaran ditempuh untuk membesarkan 12 orang anak sikit pun tidak melemahkan semangat sebaliknya wanita berusia 43 tahun itu terus mencari peluang untuk memajukan diri.

Buktinya, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertai WoW selepas diperkenalkan seorang rakannya tahun lalu.

Asmah menjadikan modal diberi untuk mengusahakan kuih muih secara kecil-kecilan dan kini, dia menerima semakin banyak tempahan. Jika dulu kehidupan keluarganya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kini keadaan itu sedikit demi sedikit bertambah baik.

“Saya berharap ilmu yang dipelajari dalam latihan kemahiran seperti ini dapat meningkatkan pendapatan dan memberi kehidupan lebih baik kepada keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden WoW Datin Goh Suet Lan berkata, melalui program itu peserta diberi latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan dan kelas kemahiran berdasarkan minat seperti memasak, menjahit, kraftangan dan bercucuk tanam.

Objektif program ini adalah membantu peserta yang berpendapatan rendah kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran.

Menurutnya, kebanyakan peserta tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Lembah Subang, Kota Damansara dan Seri Pantai dengan jumlah pendapatan isi rumah di bawah RM2,500.

WoW turut memberi bantuan pinjaman RM2,000 tanpa faedah kepada mereka untuk memulakan perniagaan selain membantu peserta mendapatkan peluang perniagaan dan memasarkan produk yang dihasilkan.

Goh berkata, pertubuhan bukan bermatlamat keuntungan itu setakat ini sudah membantu kira-kira 1,000 wanita di kawasan Lembah Klang, 25 di Ipoh dan 100 di Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 3:33 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »