DR Low kiri dan Cristina menunjukkan susu perisa madu yang baru diperkenalkan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Tempoh tumbesaran kanak-kanak adalah waktu yang sangat penting untuk diambil perhatian. Setiap perkara membabitkan pertumbuhan dan tumbesaran anak perlu dipastikan seiring dengan peningkatan usia masing-masing di samping tidak lupa untuk membekalkan sumber nutrien penting serta lengkap.

Menurut Kajian Pemakanan Asia Tenggara (SEANUTS), 35 peratus daripada kanak-kanak bandar di negara ini tidak mencapai tahap pengambilan makanan untuk membekalkan tenaga yang disyorkan.

Hampir separuh daripada mereka pula tidak mencapai tahap pengambilan kalsium dan vitamin D yang disarankan, sedangkan ia sebahagian daripada nutrien penting untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan optimum di samping menguatkan sistem imun kanak-kanak.

Kesan kurang nutrisi

Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Malaya (UM) dan Pakar Perunding Pediatrik & Pakar Perunding Endokrinologi Pediatrik Pusat Perubatan UM, Prof Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata, banyak cabaran untuk memberikan pelbagai makanan bagi memenuhi keperluan nutrien anak.

“Kekurangan nutrisi ketika zaman kanak-kanak boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada si kecil. Antara kesan jangka pendek yang akan berlaku jika kurang nutrisi adalah kurang berat badan dan ketinggian, tidak aktif, imun lemah, mudah sakit dan lebih lambat untuk pulih.

“Malah kekurangan nutrisi turut memberi kesan jangka panjang kepada kanak-kanak ini termasuk menjejaskan perkembangan kognitif dan prestasi di sekolah, saiz badan kecil apabila dewasa selain meningkatkan risiko mendapat penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung,” katanya.

Jelasnya, kekurangan nutrisi boleh berlaku sekiranya kanak-kanak berkenaan memilih makanan, kurang selera, pilihan makanan yang tidak sihat dan kurang mencukupi serta daya serapan badan yang lemah.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, sebaiknya ibu bapa perlu belajar dan mendapatkan maklumat yang betul mengenai nutrisi kanak-kanak yang sepatutnya diberikan.

Ini kerana nutrisi lengkap dan diambil dengan betul dapat membantu proses tumbesaran optimum serta menggalakkan perkembangan anak mengikut usia sebenar.

Namun, jika ada dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan nutrisi, terdapat makanan tambahan untuk membantu tumbesaran dan perkembangan mereka.

Pemakanan lengkap

Menyedari kepentingan pemakanan sewajarnya bagi membolehkan kanak-kanak mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, Abbot komited membekalkan nutrisi makanan tambahan lengkap, Pediasure untuk ibu bapa yang bimbang dengan keperluan nutrien si kecil.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Abbott Asia Pasifik, Dr Low Yen Ling berkata, nutrisi makanan tambahan pediatrik sewajarnya disediakan sebagai pemakanan lengkap dalam usaha menyokong tumbesaran dan perkembangan optimum si manja.

“Nutrisi makanan tambahan lengkap ini memenuhi kriteria diperlukan kanak-kanak yang menggabungkan nutrien penting diperlukan dalam jumlah yang secukupnya,” katanya ketika sidang akhbar sempena majlis pelancaran susu perisa madu Pediasure daripada Abbott Malaysia.

Hadir sama di majlis berkenaan Naib Presiden Abbot Bahagian Asia Tenggara Cristina Ronski. Turut berkongsi pengalaman mengenai pemakanan anak ialah juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dan ibu kepada tiga anak, Hanim Mohd Safri.

Ujarnya, susu perisa madu itu dirumus secara saintifik dengan lebih 25 nutrien penting untuk menyokong ketinggian dan berat badan kanak-kanak serta sistem pertahanan semula jadi mereka.

Melalui susu berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa merapatkan jurang pemakanan anak mereka dan membantu mencapai tahap pengambilan nutrien yang disyorkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 2:26 PM