INDUSTRI tekstil dan pakaian mengupah wanita miskin dan buta huruf daripada kasta rendah dengan gaji kecil.
RAMAI pekerja wanita kilang tekstil alami masalah kekurangan zat.
ANANDI sering bekerja dalam keadaan lapar.
KAJIAN menunjukkan pekerja tekstil wanita hanya ada kurang 10 minit untuk makan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Periuk dan kuali di rumah Anandi Murugesan semuanya kosong. Tidak terlihat bayangan makanan, jika ada pun hanyalah cebisan sayur yang bertaburan di lantai bawah dapur. Tiada sajian untuk makan malam buat keluarga di rumah itu.

Hidangan terakhir yang mengisi perut Anandi, 15, adalah nasi dan baki kuah dal. Selepas lebih lapan jam, tiada makanan yang dimasak di rumahnya.

“Ada nasi dan adik saya akan masak rasam (sup menggunakan asam jawa),” katanya yang duduk di dapur kecil di rumah dua bilik di kampung Manjanaickenpatti di Tamil Nadu.

Bagaimanapun, remaja yang baru balik dari bekerja syif selama 10 jam di kilang tekstil berkata, ‘dia tidak terlalu lapar, cuma sangat penat’.

Anandi antara 400,000 penduduk yang bekerja di 1,600 kilang di negeri Tamil Nadu, hab pakaian dan tekstil terbesar India yang menyumbangkan pendapatan sebanyak RM170 bilion setahun.

Menurut doktor yang mengadakan kem kesihatan di situ, seperti kebanyakan remaja perempuan yang bekerja dalam industri itu, Anandi bukan saja terlebih kerja, malah dia juga mengalami masalah kekurangan berat badan, kurang darah dan selalu berlapar ketika berada di kilang.

“Lebih 50 peratus remaja perempuan ini berlapar sepanjang hari, tidak makan atau makan terlalu sedikit untuk segera sampai ke tempat kerja,” kata Ketua Jabatan Kesihatan Komuniti, Kolej Perubatan St John, Dr Bobby Joseph.

Dalam satu kajian di sektor pakaian, Dr Joseph meninjau keadaan remaja perempuan di daerah Coimbatore, Dindigul, Tirupur dan Erode. Didapati hampir 45 peratus remaja itu kurang berat badan dan kebanyakannya sangat jarang makan buah-buahan atau sayur-sayuran.

Sebiji telur sebulan

Penemuan kajian itu menyokong dakwaan Serene Secular Social Service Society, badan tiada keuntungan yang menjalankan kem kesihatan di daerah Dindigul yang menunjukkan sebahagian besar pekerja muda di sana juga mengalami masalah kekurangan zat.

“Makanan yang mereka ambil tidak cukup kalori. Kami dapati 65 peratus daripada mereka hanya makan ayam atau sebiji telur dalam sebulan. Malah dalam sebulan, hanya 11.2 peratus yang makan sayur-sayuran. Apa yang dimakan tidak cukup untuk membekalkan tenaga bagi kerja yang mereka lakukan,” kata wakil persatuan itu, S James Victor.

Bagi Anandi, sajian sayur yang digemarinya adalah gabungan pelbagai jenis kacang yang digaul dengan kelapa parut. Malangnya, dia tidak ingat bila kali terakhir dia makan hidangan berkenaan.

“Kami tidak makan sayur begitu saja. Kami campurkan beberapa potong sayur ke dalam kuah dal untuk dimakan bersama nasi dan jeruk,” kata Anandi kepada wartawan Thomson Reuters Foundation.

Sebahagian besar daripada gajinya yang berjumlah 5,500 rupee (RM362) digunakan untuk membeli balsam tahan sakit dan ubat, bukan makanan. Jadual harian remaja ini juga padat: Bangun pada waktu Subuh, minum secawan teh dan bersedia menaiki bas kilang pada jam 6 pagi untuk memulakan kerja pada jam 8 pagi. Berbekalkan secawan teh, dia bekerja hingga jam 10 pagi untuk menikmati sajian pertamanya.

Katanya, walaupun hidangan itu tidak menyelerakan, dia paksa dirinya untuk menelan supaya dapat terus bertahan sepanjang hari.

“Selalunya nasi yang dihidangkan terasa mentah, kadang kala terlalu tawar dan ada masa terlebih garam,” sambungnya.

Namun, oleh kerana pihak pengurusan menolak gajinya sebanyak 750 rupee (RM51) untuk makanan di kantin, dia terima apa saja yang disediakan dan tidak membawa bekal dari rumah.

Ada rakan sekerja yang membawa bekal - biasanya nasi dan baki lauk semalam. Walaupun tidak makan di kantin, gaji mereka tetap ditolak.

“Kami hanya diberikan masa 30 minit untuk makan, termasuk waktu beratur dan menggunakan tandas. Jadi kami perlu makan cepat-cepat. Kami akan didenda jika lewat, walaupun seminit,” sambungnya.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh Community Awareness Education Trust menunjukkan pekerja hanya ada masa kurang 10 minit untuk makan.

“Kebanyakan remaja perempuan menggunakan tandas ketika rehat dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit,” kata wakil persatuan, SM Prithviraj.

“Baki 10 minit lagi digunakan untuk beratur mengambil pinggan, makanan, air dan mencari tempat duduk. Masa yang tinggal hanyalah 10 minit untuk mereka makan, membersihkan pinggan dan kembali ke tempat kerja masing-masing,” katanya.

Dalam tempoh ini, tidak banyak makanan yang boleh dihabiskan. Biasanya makanan ‘ditolak’ dengan air sebelum mereka bergegas kembali bekerja.

Apabila sampai ke rumah pada jam 7 malam, Anandi akan mandi, mencuci pakaian dan makan sedikit sebelum tidur.

“Saya sangat penat dan selalu rasa badan saya macam mesin. Sepanjang hari saya cuma fikir hendak tidur. Saya makan sedikit sebab ibu paksa,” jelasnya.

Kebajikan asas

Pemain industri yang menghasilkan benang, fabrik dan pakaian untuk jenama terkenal itu, kebanyakannya mengupah wanita muda yang miskin, buta huruf dan daripada kasta rendah.

Mereka bekerja sehingga 12 jam sehari dan sering berdepan dengan ancaman, panggilan berbau seks dan gangguan. Menurut kajian, semua ini berlaku kerana majikan kurang prihatin dengan kebajikan pekerja wanita.

“Oleh kerana tenaga buruh di sini murah dan banyak, jadi majikan tidak berasa ada keperluan untuk menyediakan kemudahan lebih baik daripada keperluan asas,” kata Victor.

Pekerja tidak mempunyai hak memberi pendapat mengenai makanan yang disediakan. Bahkan banyak kilang tidak lagi menyediakan sajian perangsang kesihatan tradisional seperti jageri kelapa dan pisang untuk menjimatkan kos.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengilang Pintalan Tamilnadu PV Chandran berkata, tidak adil menyalahkan keseluruhan industri kerana kini ada banyak inisiatif bakal dilaksanakan.

“Pekerja wanita ini hanya bekerja lapan jam dan kami cuba beri mereka makanan yang baik. Bagi pekerja remaja yang tinggal di asrama kilang, kami sentiasa cuba memperbaiki kemudahan yang ada. Tetapi, kadang kala mereka tidak mahu sayur, sebaliknya meminta ia digantikan dengan kari pedas,” katanya.

Velankani Muttiah, 18, mengakui suka kuah pedas, tetapi bukanlah setiap hari. Sambil memerhatikan ibunya menyalakan api untuk memasak nasi, dia bercerita mengenai rakan sekerja yang sering mengadu masalah kesihatan mereka.

“Gaji kami kecil. Sebahagian besar duit yang kami ada digunakan untuk membeli ubat dan berjumpa doktor. Kami tahu sayur dan buah baik untuk kesihatan, tetapi kami tidak mampu membelinya,” katanya perlahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 2:24 PM