KASUT bertutup dan sandal untuk lelaki.
KASUT untuk wanita pelbagai rekaan dan warna.
NURDIANA (tengah) bersama Noorjizan Nazra Mustani (kanan) Zulhelmi Zainal Abidin (dua kanan), Mohamad Norhellfi Zulkafli dan Mashira Iziman Marof (kiri) menunjukkan kasut Medshoe yang terdapat di outlet di Setapak, Kuala Lumpur.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Setiap wanita pasti ingin tampil anggun dan bergaya menjelang raya. Mengenakan busana mewah berperincian kristal dan mutiara manakala selendang dipadankan rona yang sama. Namun, apabila beralih kepada sepatu, golongan ini biasanya memilih berdasarkan ‘rupa’ tanpa menyelidik kesesuaiannya. Sedangkan ia sangat penting kerana pada masa inilah anda banyak berjalan menziarahi rakan dan sanak-saudara.

Kasut yang selesa bukan saja memudahkan perjalanan, tetapi memberikan lebih keyakinan. Walaupun anda seorang yang sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, namun adalah lebih elok jika memulakan langkah penjagaan kaki dari awal apatah lagi mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, sakit belakang dan sakit lutut.

Menurut Pengasas Kasut Kesihatan Medshoe Nur Diana Dzulkiply, kaki sememangnya wajar mendapat penjagaan yang baik kerana anggota ini berperanan menampung berat badan seseorang. Apatah lagi sekiranya seseorang itu lama berjalan dan berdiri yang akan menyebabkan bahagian tapak kaki terasa sakit dan tegang manakala tumit pula melecet.

“Oleh kerana saya turut menghadapi masalah kaki dan lutut disebabkan obesiti, rekaan Medshoe memenuhi keperluan pelanggan yang mempunyai masalah sama. istimewanya bahagian dalam kasut disertakan kusyen poron yang bertindak balas dengan berat badan, sekali gus mengikut keperluan dan keselesaan optimum kaki si pemakai. Ia juga kukuh dan mempunyai cengkaman bagi mencegah terjatuh di kawasan licin,” katanya.

Rekaannya yang moden dan versatil bukan saja boleh digayakan ke pejabat, tetapi juga pada musim perayaan. Ini kerana ia hadir dengan pelbagai warna memikat seperti merah, hijau zamrud, biru, jingga serta warna asas hitam, putih, coklat dan kelabu. Potongan pada bahagian depan yang lebar memberikan keselesaan pada jari kaki agar berada tanpa tekanan dan mengelak kesakitan terutama bagi yang banyak berjalan dan berdiri.

“Medshoe sesuai untuk mereka yang ingin pulang ke kampung dan berada dalam kenderaan dalam jangka masa yang lama. Boleh dipakai tanpa mengira usia bermula remaja sehingga datuk atau nenek. Diperbuat daripada kusyen paling ringan bagi memberikan keselesaan berganda kepada si pemakai terutama wanita yang sering mendukung anak kecil,” katanya yang turut mengeluarkan kasut bertutup dan sandal untuk lelaki.

Untuk kasut sama jantina Medshoe turut mengeluarkan sandal dengan teknologi terkini rocky bounce bagi memberikan hentakan lembut dan nipis ketika berjalan serta tiga warna Haefyr berkilat iaitu hitam, biru dan keemasan.

“Haefyr baru saja dilancarkan bagi memenuhi keinginan wanita yang ingin tampil glamor tanpa kesakitan pada kaki. Tiga rona gelap ini dipilih agar sesuai dipadankan dengan semua jenis pakaian. Setakat ini ramai yang menggemarinya,” katanya.

Tubuh Medshoe On The Go

Bagi memberikan kesedaran kepada pengguna pentingnya memilih kasut yang betul, Medshoe On The Go terdiri daripada stokis dan ejen yang sah kini bergerak di seluruh Malaysia bagi memberikan penerangan yang lebih jelas kepada pelanggan mengenai kesihatan kaki dan pentingnya pemilihan kasut berkualiti.

Menurut Nur Diana, idea menubuhkan Medshoe On The Go timbul apabila stokis dan ejen menerima banyak panggilan daripada orang perseorangan, syarikat korporat, badan awam, hospital dan klinik yang ingin mengetahui mengenai kasut kesihatan. Tambahan pula Medshoe sendiri turut menjadi pengeluar utama kasut jururawat di Malaysia.

“Kumpulan kecil ini akan bergerak bertemu pelanggan dan membawakan pelbagai jenis kasut. Kebanyakan yang datang adalah mereka yang mempunyai masalah kaki. Daripada situ mereka boleh mencuba dan memilih ukuran kasut yang tepat,” kata Nur Diana yang kini mempunyai 60 pengedar di seluruh Malaysia.

Selain dijual menerusi dalam talian, untuk memudahkan pelanggan melihat, memilih dan merasai sendiri keserasian setakat ini lapan cawangan Medshoe dibuka iaitu di Johor Bahru, Muar, Manjung, Ipoh, Setapak, Shah Alam, Kota Kinabalu dan Kuching. Pada masa sama Nur Diana merancang untuk memperkenalkan pelbagai rekaan kasut pada tahun hadapan yang lebih versatil membabitkan kasut bertumit tinggi, sandal dan kasut lelaki.

Bersempena lebaran Medshoe turut mengadakan promosi sehingga 20 peratus atau harga serendah RM150 bergantung kepada stokis dan ejen. Untuk maklumat lanjut layari Instagram medshoe.my, Facebook Medshoe atau talian 012-6555904. Untuk mendapatkan penerangan menerusi Medshoe On The Go layari medshoeonthego (instagram/Facebook)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 9:28 AM