SIFON digayakan dengan songket daripada rona pastel.
GAUN Hazel kombinasi dua dalam satu.
KURUNG Maya menggunakan fabrik sifon dan como crepe untuk tampil menyerlah.
SONGKET Carla tampil menyerlah dan kekal tradisi.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Busana tradisional berasaskan rekaan kurung dan kebaya masih menjadi pilihan lebaran sejak dua tahun kebelakangan ini. Potongan yang kemas dan memikat menjadikan padanan ini sesuai digayakan pada pagi lebaran.

Namun, bagi pemilik jenama Surischa, Nur Syaza Fauzi dia memberikan pembaharuan pada koleksi Aidilfitri kali ini dengan mengetengahkan rekaan kurung dan kebaya, namun diberikan sentuhan lebih segar dan baru menggunakan fabrik sifon dan como crepe.

Menurut Nur Syaza, sifon menjadi pilihan disebabkan ia selesa digayakan, lembut dan beralun cantik pada tubuh si pemakai. Sesuai dalam keadaan cuaca panas dan lembap fabrik ini tidak melekap pada tubuh dan ia tidak jarang. Como crepe pula menampilkan pelbagai jenis warna sama ada terang atau pastel yang sesuai dipadankan dengan busana seisi keluarga.

“Sejak dulu lagi saya mengetengahkan rekaan yang sederhana, namun tampil elegan menerusi potongan yang berbeza. Aidilfitri kali ini saya menampilkan rekaan kurung yang diperkemaskan dengan perincian pada tangan dan depan manakala kebaya diberi ikatan reben pada bahagian depan,” katanya yang memperkenalkan empat rekaan bersempena lebaran.

Songket Carla adalah gabungan sifon dan alas jersi sepenuhnya yang anggun dipadankan dengan songket asli buatan tangan. Kurung Maya pula menggunakan fabrik como crepe dan sifon tebal bagi memberikan penampilan anggun ketika dipakai. Gaun Hazel pula adalah kombinasi dua dalam satu menggunakan fabrik como crepe dipadankan gaun labuh daripada satin fernando.

Sebagai butik yang popular dalam kalangan pengguna media sosial Surischa turut beroperasi di Bangi Sentral, Teluk Intan dan Temerloh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 9:32 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »