RAMUAN organik yang akan dikisar menjadi krim mandian rambut.
KRIM organik yang akan diratakan di kepala
RAMBUT pelanggan sebelum (kiri) dan selepas rawatan.
KRIM diratakan di seluruh kepala.
URUTAN dilakukan untuk lancarkan aliran darah.
RAMBUT diwapkan untuk mudahkan penyerapan nutrisi krim organik.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Keguguran rambut masalah yang sering dialami kebanyakan orang baik lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun orang tua. Kecantikan bukan hanya dipandang pada wajah dan tubuh, rambut juga memainkan peranan utama yang mempengaruhi penampilan seseorang.

Mandian krim adalah antara penyelesaian untuk menjaga kesihatan rambut. Banyak manfaat yang boleh didapati dengan melakukan mandian krim, antaranya mampu membuatkan rambut lebih sihat dan terhindar daripada kerosakan disebabkan kurangnya nutrisi serta perawatan.

Salun kecantikan Simran Beyond Beauty antara yang menggunakan kaedah itu bagi merawat pelbagai masalah rambut termasuk gugur dan menggunakan 100 peratus bahan organik.

Diasaskan oleh Gurjit Kaur, salun di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur itu menawarkan mandian krim rambut ala Indonesia yang sememangnya terkenal dengan perawatan berkenaan, namun dibezakan melalui penggunaan minyak pati kelapa dara dan herba diadun bersama untuk meningkatkan keberkesanan rawatan.

Katanya, campuran bahan krim mandian rambut seperti minuman ‘smoothie’ berserta baunya yang enak, semuanya diadun sendiri bersama minyak pati herba buatannya juga untuk pelanggan menghadapi masalah seperti keguguran rambut.

“Saya guna herba buatan sendiri, yang ada antaranya saya dapatkan dari India. Penjagaan rambut cara orang India banyak menggunakan minyak, tetapi saya kurang gemar kerana rambut akan jadi terlalu berminyak, melekit dan sukar dicuci.

“Saya dapat idea menawarkan krim mandian rambut cara Indonesia menggunakan campuran yogurt, buah-buahan dan minyak pati herba buatan sendiri untuk membantu pelanggan yang ada masalah rambut gugur,” katanya.

Menurutnya, krim mandian rambut terdiri daripada ramuan tujuh herba dalam campuran yogurt, buah-buahan dan pati minyak yang menyediakan nutrisi untuk menguatkan folikel rambut.

Antara herba digunakan termasuk bunga ros India, amla, jintan hitam, daun neem, limau purut dan lemon yang dikeringkan serta dikisar menjadi serbuk.

Katanya, yogurt dan buah-buahan seperti strawberi, avokado dan labu digunakan dalam campuran krim mandian supaya bau herba dicampur dapat dikurangkan.

“Rambut gugur tanda ada sesuatu yang kurang dalam tubuh dan ramuan ini dapat memenuhi serta membekalkan kekurangan itu sehingga hasilnya dapat dirasai seawal sesi pertama.

“Pelanggan akan melihat sendiri keguguran atau kehilangan rambut berkurangan. Rawatan ini sesuai untuk lelaki dan wanita termasuk selepas bersalin.

“Kami juga menyediakan bilik peribadi untuk pelanggan wanita Islam,” katanya.

Semua bahan itu mengandungi khasiat yang baik untuk rambut misalnya, bunga ros India memberi kesan sejuk, menyegarkan kulit kepala dan melembapkan rambut.

Kandungan bunga ros India juga dikenali sebagai agen antikulat, antimikrob, antibakteria dan antioksidan yang memberi kelegaan pada kegatalan kulit kepala, mengurangkan keruping selain membantu pertumbuhan rambut.

Amla, iaitu sejenis herba dari India kaya dengan vitamin C untuk menguatkan rambut, jintan hitam pula kaya sumber besi untuk rambut manakala daun neem sebagai antiseptik bagi mencegah kulat.

Penggunaan limau purut juga diketahui berkesan untuk merawat kelemumur dan lemon kaya nutrisi serta mengandungi vitamin B yang penting bagi membantu penyerapan asid folik.

Ramuan nutrien untuk rambut

Gurjit berkata, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan keguguran rambut, oleh itu, semasa rundingan percuma, faktor yang kepada masalah ini dikenal pasti dan pelanggan disarankan dengan rawatan sewajarnya.

Selepas itu katanya, pemilihan ramuan ditunjukkan kepada pelanggan dan campuran itu dilumur dan diurut pada kepala selepas rambut mereka dicuci.

Urutan kulit kepala diikuti dengan urutan leher dan bahu dan bahagian atas punggung. Urutan membantu mengurangkan tekanan pelanggan, membuat mereka lebih relaks dan meningkatkan peredaran darah sekaligus membantu penembusan herba yang lebih baik, sebelum rambut diwapkan.

“Kebiasaannya, hasil positif rawatan diperoleh dengan cepat kerana saya memilih ramuan dengan teliti. Ramuan itu perlu dicampur, disaring, dikisar sehalus mungkin. Banyak kerja yang perlu dilakukan dan penyediaannya memakan masa tetapi saya suka membuat ramuan ini sendiri.

“Apa saja rawatan yang saya tawarkan adalah asli kerana mahu memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa rawatan secara semula jadi boleh membantu pelbagai masalah rambut.

“Bagaimanapun, saya akan bertanya terlebih dulu jika pelanggan ada masalah kesihatan dan saya akan minta mereka dapatkan nasihat doktor pakar untuk mengetahui punca keguguran rambut yang dialami contohnya, kandungan zat besi yang rendah.

“Mungkin masalah itu disebabkan tidak cukup zat besi, walaupun bahan yang digunakan dalam rawatan mengandungi zat besi, tapi kita perlu meningkatkan keberkesanan melalui pemakanan tinggi nutrien itu,” katanya.

Mandian krim rambut antara lain dapat memberi kesegaran dan keaslian rambut kerana dalam perawatan ini akan diberikan beberapa nutrisi yang diperlukan rambut.

Rawatan ini juga dapat mengatasi rambut kering kerana fungsinya yang melembapkan. Urutan yang dilakukan semasa rawatan juga bermanfaat untuk melancarkan peredaran darah.

Selain itu dengan melakukan urutan, penyerapan nutrisi ke dalam kulit kepala lebih lancar dan membantu meningkatkan kesihatan kulit.

Gurjit berkata, mandian krim rambut biasanya mengambil masa 70 minit dimulai dengan cucian rambut diikuti sapuan ramuan mandian krim. Rambut kemudian diwap diikuti urutan bahu, belakang dan lengan selama 45 minit. Seterusnya rambut dibilas dan dikeringkan dengan lembut.

“Pelanggan dinasihatkan supaya tidak membasuh rambut mereka selama 48 jam pertama. Pelanggan akan melihat tekstur rambut yang lebih baik dan keguguran rambut berkurangan dari sesi pertama.

“Untuk hasil terbaik, pelanggan dinasihatkan untuk datang untuk sesi mingguan sekurang-kurangnya enam kali. Sama seperti badan memerlukan makanan yang sihat setiap hari, ramuan ini memenuhi kekurangan yang diperlukan oleh mereka.

“Selepas setiap enam sesi mingguan, lawatan seterusnya setiap dua minggu, selepas setiap tiga minggu dan sekali sebulan atau bila perlu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 2:25 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »