DIREKA khas lengkap dengan ciri keselamatan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Bersih, kemas dan mengenakan telekung patuh syariah banyak mempengaruhi perasaan, ketenangan, keselesaan serta ibadat yang dilakukan ketika mendirikan solat.

Bukan hanya bekerja, bersantai atau beriadah saja perlu menggayakan pakaian lengkap yang menarik dan kemas, malah ketika menunaikan solat juga memerlukan pemakaian telekung yang selesa dan bersih.

Atas kesedaran kewajipan menunaikan solat di samping menjaga keselamatan barangan peribadi yang dibawa, Siti Hajar Harun memperkenalkan koleksi terkini telekung di bawah jenamanya, Telekung Durroh Berpoket.

“Telekung berpoket ini adalah hasil cetusan idea selepas menyedari terlalu banyak kejadian jemaah Muslimah diragut atau kehilangan barang sewaktu mengerjakan solat di masjid.

“Kejadian sebegini sepatutnya tidak berlaku terutamanya di rumah Allah yang suci ketika ahli jemaah sedang khusyuk beribadat. Keinginan membantu Muslimah berkobar apabila saya sendiri pernah menyaksikan kecurian di depan mata hingga membuatkan hati tekad mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Jelas pengasas jenama itu, sebelum fenomena kecurian itu menjadi lebih parah, Arianna Azzya Global Network menghasilkan satu inovasi baru pada rekaan telekung yang dilengkapi poket berzip di bahagian dada dan tepi kain.

Ia sesuai untuk menyimpan barang berharga yang kecil seperti wang, jam, telefon bimbit atau kunci kereta tanpa perlu membawa beg tangan ketika ke masjid.

Malah, ciri keselamatan berkenaan juga boleh memudahkan Muslimah yang mengerjakan haji atau umrah menyimpan pasport dan barangan berharga yang lain.

“Penggunaan kain kapas Millenium yang berkualiti tinggi dan memiliki ciri sejuk, lembut, tebal serta tidak mengikut bentuk badan memberi keselesaan kepada Muslimah dalam melakukan ibadat dengan lebih khusyuk.

“Menariknya, Muslimah juga tidak perlu mengenakan anak tudung kerana ia dijahit kemas pada bahagian dagu bagi memastikan ia terletak mengikut bentuk muka pemakai.

“Selain itu, ia juga dijahit dengan dua lapisan menggunakan kain kapas yang sama daripada kepala hingga ke paras dada. Bagi menambah tarikannya, telekung ini juga dihias dengan renda sulam pada bahagian hujung dan kaki kain yang dijahit kemas,” katanya.

Ujarnya, setiap koleksi yang dipasarkan adalah hasil penuh ketelitian bagi mencapai objektif dan piawaian tinggi yang ditetapkan dalam memastikan rekaan ditampilkan terbaik, selesa, mudah serta mematuhi syariah dengan harga mampu milik.

Telekung poket berkenaan boleh didapati pada harga promosi RM189 (normal RM229) dalam warna berbeza seperti White Ammara, Yellow Nusaybah, Lavender Arianna, Brown Adawiyya, Black Khawla, Grey Aisy dan Pink Humaira.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 9:37 AM