ELEMEN moden dan gaya muda diterapkan untuk beri kesegaran rekaan.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Apa yang ada suka mengenai Manhattan, New York? Mungkin ramai terpesona kerana bandar rayanya yang memiliki kepelbagaian, tiada batasan dalam bergaya dan pengalaman sinematik berterusan yang setiap orang ingin merasainya.

Bersandarkan semangat keunikan bandar raya berkenaan, Bonia mengambil ilham itu untuk diaplikasikan dalam koleksi beg tangan musim luruh dan sejuknya.

Refleksi sinaran lampu di bandar raya dijadikan motif pada rekaan aksesori jenama itu termasuklah beg tangan, kasut dan kaca mata lelaki ataupun perempuan walaupun masih mengetengahkan gaya 60-an pada koleksinya.

Sememangnya, 1960-an adalah era percubaan yang paling penting dalam dunia fesyen kerana kali pertama dalam sejarah rekaan pakaian yang lebih pelbagai.

Fesyen pada awal tahun itu mencerminkan keanggunan wanita pertama, Jacqueline Kennedy yang mengenakan topi pillbox, sut rona pastel dengan jaket boxy pendek dan butang bersaiz besar.

Bukan itu saja, ramai juga yang gemar menggayakan gaun geometri ringkas. Selain itu, inspirasi popular dalam koleksi kali ini adalah lukisan Kenton Nelson yang menampilkan kehidupan di bandar raya New York.

Malah, prinsip utamanya iaitu moden, elegan dan kontemporari masih dikekalkan dalam setiap koleksi beg tangan jenama itu. Setiap elemen diperlukan pada rekaan koleksi beg tangan kulit jenama mewah inspirasi Itali ini.

Apabila memperkatakan koleksi kulit, ia lebih sinonim dengan inspirasi Itali yang begitu mementingkan kualiti, ketukangan dan reka bentuk. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan produk jenama berkenaan yang tidak lapuk dek zaman itu mengetengahkan elemen moden dan mengekalkan gaya muda dalam rekaannya yang elegan serta glamor.

Mahir dengan rekaan sofistikated, setiap aspek jenama itu harus melengkapi prinsip utamanya agar sentiasa mengikut aliran fesyen semasa yang bergerak pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 9:42 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »