GAYA hidup dan pemilihan diet yang lebih baik, pemeriksaan kesihatan secara kerap boleh mencegah masalah kolesterol tinggi.
Nestle Malaysia (Nestle Omega Plus)

Cuba lihat senario ini. Adakah anda berusia dalam lingkungan 40 tahun ke bawah? Gemar menikmati sajian berkalori tinggi, berlemak dan jarang bersenam? Jika jawapannya ‘Ya’ bagi semua soalan di atas, anda mungkin lebih berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung.

Pernah dikategorikan sebagai ‘penyakit orang tua’ pada suatu ketika dahulu, ramai menganggap golongan muda bukan kumpulan sasaran penyakit jantung. Malangnya, kini kajian baru membuktikan golongan muda berusia seawal 20-an hingga 30-an turut menjadi sasaran penyakit jantung.

Berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, satu kematian akibat penyakit jantung dicatatkan di Malaysia dalam setiap 15 minit. Malah jika dibandingkan enam tahun lalu, perangkaan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendedahkan, bilangan penghidap kolesterol tinggi berusia 18 tahun ke atas, meningkat daripada 32.6 peratus kepada 47.7 peratus.

Amalan gaya hidup tidak sihat yang berterusan seperti kurangnya senaman turut meningkatkan lagi risiko golongan muda untuk menjadi mangsa pembunuh nombor satu di Malaysia itu.

Di samping perubahan gaya hidup dan pemilihan diet yang lebih baik, pemeriksaan kesihatan secara kerap boleh mencegah masalah kolesterol tinggi dan kesan negatifnya.

Pengarah Institut Jantung Negara (IJN) Tan Sri Dr Robaayah Zambahari berkata, realiti anak muda Malaysia kini terdedah kepada risiko serangan jantung sememangnya satu perkara yang tidak boleh diendahkan.

Jelasnya lagi, komplikasi kesihatan jantung boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Penyempitan saluran darah atau arteri akibat pengumpulan kolesterol berlebihan adalah antara faktor penyumbang utama kepada serangan penyakit jantung.

“Lebih dikenali sebagai LDL (lipid ketumpatan rendah) atau kolesterol jahat, plak tebal dan bertekstur lembut seakan-akan lilin ini akan berkumpul dalam dinding arteri sekali gus menyumbang kepada penyumbatan saluran arteri. Aliran darah beroksigen yang tersekat ini akan mengundang kepada komplikasi kesihatan jantung seperti serangan penyakit jantung atau strok,” katanya.

Peningkatan paras kolesterol lazimnya berpunca daripada tabiat dan budaya pemakanan tidak sihat. Misalnya, makan mengikut nafsu, pengambilan makanan tinggi lemak tepu dan beralkohol secara berlebihan dan berterusan. Lebih merisaukan, satu dalam setiap dua orang rakyat Malaysia kini didapati menghidap masalah kesihatan kolesterol yang tinggi. Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia dan jantina.

Urus kolesterol secara bijak

Dalam situasi kesihatan umum yang kian membimbangkan kini, pengurusan paras kolesterol bagi setiap individu perlu diberi penekanan untuk mencapai tahap jantung sihat secara optimum.

Pengurusan dan pengawalan paras kolesterol secara menyeluruh boleh dilakukan dengan mengubah gaya hidup, corak pemakanan dan mempertingkatkan aktiviti fizikal.

“Gabungan aktiviti sederhana dan berat selama 30 minit sehari dan lima kali seminggu digalakkan untuk memperbaiki kesihatan jantung anda. Contohnya, menggunakan tangga berbanding lif atau berjalan ke kedai runcit berdekatan kawasan kediaman anda,” ujarnya.

Selain mempertingkatkan aktiviti fizikal, pemilihan diet sesuai juga mempengaruhi paras kolesterol dalam darah. Salah satu kaedah terbaik untuk menjaga kesihatan jantung adalah menerusi pengambilan diet diperkaya dengan sterol tumbuhan.

Ia mudah didapati menerusi makanan sumber bijirin, kekacang dan sayur-sayuran.

Sterol tumbuhan terbukti berkesan membantu merendahkan paras kolesterol dalam darah.

Hal ini dipersetujui Pengurus Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Nestle Singapore, Dr Alexandre Panchaud. Katanya, sterol tumbuhan berupaya membantu merendahkan paras kolesterol dalam darah.

“Sterol tumbuhan dan kolesterol adalah sama dari segi struktur molekul. Apabila mengalir di dalam saluran usus, sterol tumbuhan dan kolesterol akan bersaing untuk diserap dalam darah.

“Sterol tumbuhan bagaimanapun mampu merendahkan penyerapan kolesterol dalam tubuh. Kolesterol yang tidak diserap ini akan dibebaskan dalam bentuk najis,” jelasnya.

Pengambilan 1.2 gram sterol tumbuhan setiap hari terbukti dapat menurunkan paras kolesterol secara efektif. Ini bersamaan dengan pengambilan sebanyak 255 buah tomato atau 126 batang lobak merah setiap hari.

Kini, ada banyak cara mudah untuk membantu anda meningkatkan tahap kesihatan contohnya dengan mengambil susu yang diperkaya sterol tumbuhan!

Artikel ini disumbangkan oleh Nestle Malaysia (Nestle Omega Plus) untuk mendorong rakyat Malaysia agar mengambil inisiatif terhadap penjagaan kesihatan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 12:42 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »