KOT trenc bersama blaus bersulam.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Sejak 1987, jenama Vero Moda sudah mula menjalar dan mempengaruhi pemikiran ramai wanita muda di Denmark yang sentiasa mencari trend baru dalam dunia fesyen semasa.

Gayanya menjadi tumpuan berikutan keunikan fesyen ringkas yang diketengahkan selain memiliki banyak senarai barangan wajib ada untuk melengkapkan penampilan.

Mengintai koleksi terbarunya sempena pelancaran butik Bestseller baru-baru ini, ternyata Vero Moda mempunyai kelebihan dan tarikan dari segi rekaan serta fabrik.


REKAAN kasual ciri pijama selari dengan trend.

Berbanding pilihan blaus, jaket, kot trenc atau celana polos, jenama ini dilihat lebih cenderung menghasilkan koleksi berenda, sulam bunga, bercorak serta beropol, sesuai dengan gaya orang Asia.

Gaun ringkasnya cukup sopan digayakan di majlis minum petang. Hanya tukar padanan aksesori untuk menyerlahkan pesona pemakai, gaun sama juga sesuai untuk menikmati makan malam romantik bersama pasangan.


SATU lagi pilihan gaun ringkas yang manis.

Tidak terlalu terikat dengan musim, koleksi yang dibawakan menepati keadaan cuaca tempatan. Ia tidak tebal sehingga merosakkan penampilan, namun masih perlu disesuaikan dengan gaya dan majlis.

Salah satu rekaan kasualnya menonjolkan ciri pijama, tetapi masih selari dengan trend fesyen wanita kini yang mementingkan gaya ringkas, unik dan bersahaja.


JAKET sedondon untuk gaya ringkas ke pejabat.

Bagi yang sukakan gaya ringkas untuk ke pejabat, padanan celana paras buku lali bersama jaket sedondon cukup menarik perhatian. Potongan longgarnya nampak seimbang untuk wanita tinggi.

Manakala pilihan kot trenc bersulamnya paling unik, tambahan tidak banyak jenama luar menghasilkan rekaan sedemikian rupa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:02 AM