NUR Zaty (kanan) bersama Sujin pada pelancaran S2J Cosmetics.
HM Digital

Penampilan menarik menerusi kulit yang cantik menjadi idaman setiap wanita dan golongan ini pasti sanggup melakukan apa saja bagi memastikan kulit sempurna menjadi miliknya.

Sudah pasti, rutin kecantikan bermula dari bangun tidur hingga mereka melelapkan mata semula untuk memastikan kulit tampil segar sebaik bermula hari baru.

Meskipun semakin banyak jenama produk penjagaan wajah diperkenal saban hari, pengguna sering menghadapi kesulitan dalam pemilihan produk wajah yang bersesuaian dan berkualiti.

Mahu memberi penyelesaian kepada masalah itu, syarikat produk kecantikan tempatan, Bimyou Creations Sdn Bhd bekerjasama dengan syarikat YGP Co Ltd dari Korea Selatan untuk memperkenalkan produk S2J Cosmetics.

Produk itu diasaskan oleh jurusolek profesional era ‘Hallyu’ (gelombang Korea) pertama Korea Selatan, Seo Sujin yang diformulasi agar bersesuaian dengan jenis kulit dan iklim di Malaysia, dihasilkan di kilang tempatan berstatus halal serta diiktiraf Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Pengarah Urusan Bimyou Creations Sdn Bhd Nur Zaty Liyana Indra Gunawan berkata, produk itu dibawa masuk bagi mengatasi masalah wanita yang berdepan kesulitan dalam pemilihan produk wajah yang bersesuaian dan berkualiti.

Meskipun meminati produk kecantikan Korea Selatan tetapi dia mendapati kebanyakan produk di sana tidak begitu serasi dengan kulit kita.

“Formula yang digunakan adalah bagi memenuhi keperluan jenis kulit mereka dan iklim di sana yang mempunyai empat musim. Kita tahu produk kecantikan di negara itu dihasilkan dengan menggunakan formula yang berasaskan teknologi supaya ia memberi kesan yang lebih efektif pada kulit wajah,” katanya.

S2J White Fleur ini adalah produk pencerahan kulit yang mampu menyihatkan kulit agar tampak lebih muda diformulasi dengan tujuh agen pencerahan diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan dan kebanyakannya adalah bungaan berwarna putih.

White Fleur menawarkan empat produk merangkumi langkah asas penjagaan wajah seperti orang Korea iaitu minyak pembersih, gel pembersih, esen penyegar dan krim pelembap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 10:36 AM