HIDANGAN enak dahmakan.
HM Digital

Berapa ramai antara kita yang meletak azam 2018 untuk kurus, mendapatkan bentuk tubuh menawan, mencapai berat ideal, mengamalkan pemakanan sihat atau menurunkan paras kolesterol dalam darah?

Dalam tempoh kurang 10 hari ini, berapa ramai pula yang mampu mendisiplinkan diri dengan membawa bekalan makanan sihat dari rumah demi melaksanakan azam baru? Tidak mustahil ada yang akan tertawa sendirian.

Ternyata mendisiplinkan diri dengan memilih menu sihat bukanlah perkara mudah. Apalagi dengan adanya pengaruh rakan, faktor kewangan meningkat selepas mendapat bonus, kesibukan jadual kerja dan sebagainya.

Aplikasi penghantaran makanan sihat di Malaysia, dahmakan cukup memahami situasi dihadapi masyarakat kini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama dahmakan, Jonathan Weins, pihaknya yakin setiap orang menyusun azam yang praktikal untuk menjaga kesihatan diri dan mengamalkan pemakanan sihat.

Begitupun katanya, tabiat yang baik perlu dipupuk perlahan-lahan dan tidak boleh dilakukan secara mengejut. Justeru, minggu pertama Januari inilah yang bakal menentukan kejayaan anda untuk mencapai azam berkenaan sepanjang tahun.

“Anda bertuah tahun ini kerana dahmakan bersedia dengan banyak pelan dan perancangan untuk membantu mereka yang mahu mencapai matlamat pemakanan sihat tanpa mengetepikan hidangan kegemaran masing-masing.

“Sebagai permulaan, kami menyediakan pilihan makanan sihat seperti nasi lemak dengan ayam panggang bersama sambal strawberi, ayam percik dengan nasi kerabu perang serta rendang daging batang pinang empuk dengan nasi perang,” katanya.

Jelas beliau, aplikasi penyediaan makanan pintar itu tidak sekadar membantu orang ramai membuat pilihan jenis hidangan tengah hari, tetapi turut menawarkan variasi makan malam berbeza yang kemudian dihantar terus ke rumah.

“Ini dapat menjimatkan masa. Anda tidak perlu lagi perlu bersusah payah membeli-belah, memasak dan mengemas. Kami bawakan terus pengalaman masakan cef bertaraf hotel lima bintang kepada pengguna aplikasi dengan cara mudah dan harga berpatutan.

“Cef kami pula hanya menggunakan bahan tempatan terbaik dan yang diimport bagi menyediakan hidangan enak untuk kesihatan pelanggan,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya pemakanan sihat tidak sepatutnya menjadi sekadar azam untuk seseorang mencapai kesejahteraan hidup, sebaliknya perlu dijadikan amalan sepanjang tahun dan perlu dilatih serta diamalkan setiap masa.

“Pemakanan yang baik boleh meningkatkan semangat individu, menjadikan mereka lebih gembira, memberikan tenaga yang diperlukan supaya lebih produktif dalam apa saja perkara atau kerja yang dilakukan.

“Untuk itu, kami komited memastikan amalan pemakanan sihat dapat dijadikan budaya harian ramai, sekali gus mendorong ke arah kehidupan lebih sihat, sejahtera dan bahagia sepanjang 2018.

“Satu perkara unik yang kita cuba perkenalkan untuk membantu orang ramai terus mencintai pemakanan sihat adalah dengan menyelitkan kreativiti dalam menu masakan. Melalui penyediaan menu berbeza setiap hari, sesiapapun pasti tidak akan jemu, malah gembira memilih masakan yang sesuai dengan cita rasa serta mood mereka,” katanya.

TIP AMALAN PEMAKANAN SIHAT

1. Jangan lupa sarapan! Ia penting untuk memulakan hari anda.

2. Gantikan nasi putih dan roti dengan bijirin tulen seperti nasi perang dan barli.

3. Makan pelbagai jenis sayur dan buah kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang anda perlukan!

4. Kurangkan pengambilan minuman ringan dan pilih jus perahan segar.

5. Kekal aktif dan pastikan anda bersenam sekurang-kurangnya dua jam seminggu!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 10:56 AM