IMBASAN 3D.
FOTO imbasan ultrabunyi 2D.
90 peratus bakal ibu jalani sekurang-kurangnya 2 kali imbasan untuk memeriksa bayi mereka.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Keterujaan ibu bapa saat disahkan bakal menimang cahaya mata selalunya diterjemah dalam pelbagai reaksi, ragam dan gaya. Bagi mereka yang berpengalaman, sudah pasti terbayang persediaan perlu dilakukan untuk menyambut ketibaan orang baru.

Ketika inilah timbulnya banyak perancangan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh kehamilan. Bermula dengan simpanan untuk kecemasan, kelas antenatal, pengambilan insurans, teka-teki jantina, pilihan nama, hinggalah kepada pakaian dan tempat tidur bayi. Semuanya cuba diatur kemas.

Berbeza dengan keterujaan ibu bapa yang julung kali menerima khabar kehamilan. Walaupun banyak perancangan dan idea mencurah dalam kotak fikiran, ada waktunya mereka kusut untuk menentukan yang mana satu penting dan perlu diutamakan.

Dalam kebanyakan hal, persoalan mengenai kekerapan bertemu doktor dan melakukan imbasan ultrabunyi sering menjadi topik perdebatan. Ada yang mengatakan imbasan tidak boleh dilakukan secara kerap kerana bimbang memberi kesan kepada bayi.

Tetapi ada juga yang tidak ambil pusing dengan pelbagai teori yang dilemparkan orang lain, sebaliknya bertindak mengikut keadaan, tahap kesihatan, keperluan ibu dan bayi dalam kandungan.

Hari ini kebanyakan bakal ibu dilihat begitu teruja memuat naik gambar dan video bayi dalam rahim versi hitam putih, imbasan 3D, 4D malah 5D, tidak kira di laman media sosial atau menerusi aplikasi pesanan. Tetapi sejauh mana selamatnya ujian imbasan ultrabunyi dan adakah ia perlu dilakukan?

Jika diperhatikan, secara purata, kira-kira 90 peratus daripada bakal ibu kini menjalani sekurang-kurangnya dua kali imbasan ultrabunyi untuk memeriksa bayi mereka ketika mengandung. Apakah tujuan sebenar imbasan ultrabunyi selain mendapatkan gambar dan video bayi dalam kandungan untuk simpanan ibu bapa?

Memahami semula fungsi dan peranannya, sonografer berpengalaman, Nur Marni Ahmad berkata, imbasan ultrabunyi yang digunakan dalam pengimejan perubatan membabitkan penggunaan gelombang bunyi berfrekuensi di antara dua hingga 15 megahertz (MHz) untuk menghasilkan imej organ dalaman atau struktur badan tertentu.

“Frekuensi ini di luar julat pendengaran manusia. Ketika proses imbasan berlaku, gelombang ultrabunyi dihasilkan oleh transducer (pemindah arus) yang dipegang pengendali dan seterusnya menembusi lapisan kulit, lemak, otot serta organ manusia.

“Apabila gelombang ini dipantulkan semula dan diterjemahkan oleh komputer, akan timbul imej seperti yang dipaparkan di skrin mesin ultrabunyi. Doktor atau pakar sonografi akan membuat diagnosis berdasarkan imej yang terhasil,” katanya yang kini berkhidmat di Klinik Pakar Wanita Azalea, Putrajaya.

Menjelas lanjut, Nur Marni yang mempunyai pengalaman 10 tahun dalam bidang obstetrik dan ginekologi berkata, terdapat beberapa jenis imbasan ultrabunyi yang digunakan secara meluas kini. Ia termasuk imbasan ultrabunyi dua dimensi (2D), tiga dimensi (3D ), empat dimensi (4D), imbasan bunyi 5D dan definisi tinggi (HD).

“Imbasan 2D adalah jenis yang paling banyak digunakan untuk tujuan membuat diagnosis. Ia memaparkan imej hitam-putih ‘hirisan’ organ yang diimbas. Kemudian barulah imbasan ultrabunyi 3D yang menonjolkan gabungan hirisan imej 2D membentuk organ atau struktur yang diimbas. Imbasan ini biasanya digunakan untuk melihat wajah bayi (3D surface rendering).

“Ada juga perisian 3D yang lebih kompleks digunakan doktor pakar atau pakar sonografi untuk melihat keabnormalan pada organ dalaman bayi seperti jantung atau sistem tulang. Sementara imbasan bunyi 4D memaparkan video rakaman langsung,” katanya.

KONTROVERSI 5D

Berikutan terlalu banyak jenis dan pilihan imbasan ultrabunyi, wujud salah anggap dalam kalangan ibu bapa terhadap fungsi pengimejan bayi mengikut keperluan sepatutnya. Ada yang beranggapan mereka perlu memilih angka paling tinggi di depan ‘D’ untuk mendapatkan khidmat pengimejan terkini, seiring perkembangan teknologi.

Walhal, setiap satu mempunyai fungsi dan perincian berbeza yang hanya perlu dilakukan mengikut tahap keperluan serta keadaan bayi dalam kandungan.

“Apabila wujudnya imbasan bunyi 5D, bermulalah kontroversi. Terlalu banyak fakta disalah tafsir secara umum. Sebenarnya, konsep 5D diperkenalkan Samsung dalam bidang ultrabunyi. Terdapat beberapa subkategori 5D dalam Samsung iaitu 5D Central Nervous System, 5D Heart, 5D Nuchal Translucency dan 5D Long Bones.

“Kategori ini dikenal pasti sebagai rutin pemeriksaan yang rumit dan memakan masa. Oleh itu, dibangunkan teknologi 5D untuk menjadikan rutin berkenaan separa automatik.

“Salah satu contoh ialah rutin pemeriksaan jantung bayi. Dalam 5D Heart, data 3D diguna untuk menjana sembilan imej secara serentak. Daripada sembilan imej ini, keabnormalan pada organ lebih mudah dan cepat dikesan berbanding cara konvensional.

“Begitu juga dengan imbasan bunyi HD (atau juga dikenali sebagai FRV - Fetal Real View atau I-Live). Ia adalah inovasi imej 3D dan 4D dengan menjadikan paparan yang terbentuk lebih realistik menerusi sumber cahaya yang boleh dimanipulasi pakar sonografi untuk mewujudkan kesan bayang,” katanya.

PROSEDUR SELAMAT

Meneliti pelbagai kekeliruan dan salah faham ramai ibu bapa mengenai keselamatan bayi dalam kandungan sepanjang imbasan ultra bunyi dilakukan, Nur Marni berkata, prosedur itu jauh berbeza dengan kesan sinar-X.

“Secara amnya, imbasan ultrabunyi digunakan untuk memantau perkembangan janin. Maklumat daripada imbasan berkenaan digunakan doktor untuk membuat diagnosis tertentu atau memberi saranan bersesuaian kepada ibu bapa demi kebaikan ibu dan bayi.

“Penting untuk diketahui bahawa imbasan ultrabunyi tidak sama dengan radiasi sinar-X. Imbasan ini dibuat untuk kepentingan klinikal dan dikendalikan doktor atau pakar sonografi bertauliah. Ia selamat sekiranya mematuhi garis panduan pengimejan diagnostik yang betul. Sebab itu penting imbasan ultrabunyi dilakukan pakar yang terlatih, menggunakan mesin ultrabunyi yang diselenggara secara baik.

“Berdasarkan Manual Penjagaan Perinatal yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekiranya kehamilan dianggap berisiko rendah (tag putih), imbasan ultrabunyi hanya perlu dilakukan antara dua hingga tiga kali, iaitu pada awal kehamilan (semasa lawatan pertama), trimester kedua (untuk imbasan anomali terperinci) dan pada trimester ketiga untuk penilaian tumbesaran, kedudukan bayi serta air ketuban.

“Bagaimanapun, sekiranya kehamilan berkenaan berisiko atau doktor menemui keabnormalan pada imbasan terdahulu, mungkin imbasan seterusnya akan dijadualkan dengan lebih kerap lagi,” katanya.

IMBASAN TERPERINCI

Salah satu pilihan yang sering diberikan kepada ibu bapa yang mendapatkan pemeriksaan bulanan di klinik atau pusat perubatan swasta adalah imbasan anomali atau imbasan terperinci.

Bagi ibu bapa berpengalaman, jenis imbasan ini jarang menjadi pilihan, terutama jika pemeriksaan rutin pada ibu dan bayi tidak menunjukkan sebarang masalah. Namun bagi ibu bapa baru, rasa ingin tahu dan teruja sering mendorong mereka mengintai keadaan bayi secara terperinci. Ada juga ibu bapa yang mengambil keputusan melakukan prosedur tambahan ini berikutan mempunyai faktor risiko daripada sejarah kesihatan atau keturunan.

Tidak dapat dinafikan ini adalah imbasan yang penting sepanjang tempoh kehamilan kerana ia berupaya membantu ibu bapa mengenal pasti sebarang masalah struktur pada bayi. Malah bagi kebanyakan orang, imbasan terperinci dapat meyakinkan mereka bayi berada dalam keadaan normal.

Kata Nur Marni, adalah menjadi lumrah setiap ibu yang hamil sentiasa prihatin dengan keadaan kandungannya. Mereka sentiasa tertanya-tanya sama ada bayi yang dikandung membesar dengan sihat ataupun mempunyai sebarang masalah tumbesaran.

“Kebiasaannya, imbasan anomali dilakukan pada trimester kedua. Bagaimanapun, waktu paling ideal melakukan imbasan ini adalah antara minggu ke-20 hingga minggu ke-25 kehamilan.

“Ini kerana sebelum janin mencecah umur 20 minggu, beberapa organ pentingnya seperti jantung, terlalu kecil untuk diperiksa. Sekiranya terdapat masalah pada jantung, kemungkinan tinggi ia tidak dapat dilihat.

“Selepas 25 minggu pula, bayi selalu berada dalam keadaan melengkung kerana ruang dalam rahim yang semakin sempit. Penilaian terhadap struktur tulang menjadi terhad. Tulang rusuk bayi pula lebih padat dan menghalang struktur jantung dapat dilihat dengan jelas,” katanya.

Sepanjang prosedur ini, doktor atau pakar sonografi akan melakukan pemerhatian terperinci menggunakan imbasan ultrabunyi 2D di bahagian kepala (melihat bentuk tengkorak dan struktur otak), mula (profil muka, soket mata, hidung, mulut dan lelangit), jantung (kedudukan, saiz, saluran, dinding, injap dan beberapa salur darah utama), otot di antara bahagian dada dan abdomen, perut, hati, buah pinggang, pundi kencing, tulang belakang, tangan, kaki (setiap tulang termasuk jari), jantina, tali pusat, serviks ibu, kedudukan uri serta jumlah air ketuban.

“Imbasan terperinci ini dilakukan untuk mengesan masalah atau kecacatan bayi termasuk anensefali (tiada tempurung kepala), spina bifida (kecacatan tulang belakang, saraf tunjang dan bahagian belakang otak), eksomfalus dan gastrochisis (dinding abdomen tidak sempurna menyebabkan sebahagian atau semua organ di luar badan bayi), kecacatan tangan dan kaki serius, masalah buah pinggang, hidrosefalus (pengumpulan abnormal cecair di dalam otak), hernia diafragmatik (ada lubang pada diafragma menyebabkan organ abdomen berpindah ke bahagian dada) serta masalah jantung serius.

“Bagaimanapun, bagi keabnormalan genetik seperti sindrom Down, sindrom Edward dan sindrom Patau, imbasan ultrabunyi tidak dapat memberi keputusan diagnostik. Ia hanya boleh dipastikan melalui pengambilan sampel air ketuban.” katanya.

BILA IMBASAN ULTRABUNYI LEBIH KERAP DILAKUKAN

1. Peringkat awal kehamilan yang bermasalah seperti pendarahan atau kesakitan bahagian pelvis.

2. Terdapat keabnormalan kepada struktur atau organ bayi.

3. Terdapat gangguan terhadap saiz dan tumbesaran bayi.

4. Keadaan air ketuban yang sangat sedikit atau terlampau banyak.

5. Kedudukan uri yang rendah.

6. Ibu yang menghidap darah tinggi atau kencing manis.

CADANGAN JADUAL IMBASAN ULTRABUNYI

1. Antara lima hingga 10 minggu - untuk memastikan janin terbentuk di dalam rahim.

2. Antara 12 ke 18 minggu - untuk menentukan tarikh jangka lahir dan memastikan pembentukan awal bayi normal.

3. Antara 20 ke 27 minggu - untuk melakukan imbasan anomali terperinci untuk memeriksa organ dalaman bayi terbentuk normal, keadaan air ketuban dan uri.

4. Selepas 35 minggu - untuk memeriksa kedudukan kepala bayi, saiz dan anggaran berat.

TIP MERAKAM IMBASAN ULTRABUNYI TERBAIK

1. Untuk awal kehamilan, minum air sebelum menjalani imbasan ultrabunyi. Ia untuk memudahkan posisi rahim dilihat.

2. Bagi imbasan anomali terperinci, digalakkan menjalani pemeriksaan di antara minggu ke 20 dan 25 mendapatkan imej organ dalaman bayi dengan jelas.

3. Pakai pakaian yang longgar dan selesa semasa menjalani pemeriksaan.

4. Datang sedikit awal sebelum waktu temujanji untuk mengurangkan stres atau letih akibat tergesa-gesa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 12:25 PM