GAMBAR kiri, Muhammad Hadif Ilham bersama ayahnya ketika melakukan persediaan sebelum sesi persekolahan bermula. TUAN Norsuzlia bersama suami dan anak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Mungkin sebelum ini sering didengari pelbagai ragam kanak-kanak darjah satu yang meraung dan menangis disebabkan rasa takut selepas ditinggalkan ibu bapa di sekolah.

Tidak kurang ada yang cuba melarikan diri dari kelas, ada menangis sepanjang proses pembelajaran juga ada yang hanya tunduk mendiamkan diri tanpa bercakap sepatah perkataan pun sepanjang hari.

Namun, situasi ini sama sekali jauh berbeza kini apabila kanak-kanak dilihat lebih bersemangat dan berani sepanjang proses pembelajaran walaupun pada minggu pertama persekolahan.

Anak yang berada dalam tahun satu kini kelihatan sungguh gembira dengan suasana baru bahkan ada rancak berkomunikasi bersama rakan dan guru di dalam juga di luar kelas.

Perubahan ini ternyata satu perkembangan positif yang membuktikan kanak-kanak era kini semakin bijak dan mampu mengawal emosi mereka dengan baik walaupun pada usia seawal tujuh tahun.

Menurut Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad, pendedahan awal daripada keluarga terutama ibu bapa mengenai keseronokan berada di sekolah antara kaedah terpenting dan paling berkesan.

“Anak perlu didedahkan dengan dunia persekolahan dan disebabkan itu pentingnya untuk menghantar mereka ke tadika kerana di situlah bermulanya pemahaman awal mengenai sekolah.

“Di tadika, anak ini sudah dididik mengenai kepentingan ilmu walaupun bukan dengan cara yang serius, keseronokan mempunyai rakan dan kaedah untuk menghormati guru sebagai pendidik,” katanya.

Zaid berkata, semua elemen itu amat berguna untuk diteruskan dan digunakan ketika memasuki alam persekolahan.

“Kaedah didikan di rumah dan di tadika itu juga mampu membentuk keperibadian anak apabila mereka tidak lagi berasa takut malah sangat teruja dan bersemangat untuk bersekolah.

“Mungkin beberapa tahun lalu, masih ramai kanak-kanak yang dilihat menangis dan mahu mengikut ibu bapa pulang ketika minggu pertama persekolahan namun jika dilihat kini, situasi itu sama sekali jauh berubah.

“Malah, ada di antara anak seolah-olah malu apabila ibu bapa menunggu sepanjang proses pembelajaran kerana bagi murid kecil ini, semuanya boleh diuruskan sendiri dan mereka sudah boleh berdikari,” ujarnya.

Menurutnya, langkah terbaik adalah dengan memberi kepercayaan dan yakinlah anak sudah mampu menguruskan dirinya dengan baik walaupun baru berusia tujuh tahun.

“Mungkin pada minggu pertama atau hari suai kenal, ibu bapa boleh menunggu seketika terutama ketika waktu rehat untuk mengajar anak cara membeli makanan di kantin selain waktu pulang dari sekolah bagi memastikan mereka menaiki bas sekolah yang betul.

“Namun, untuk hari seterusnya sebaik-baiknya ibu bapa tidak perlu lagi berada di sekolah dan berikan kepercayaan kepada mereka melainkan berlaku sesuatu masalah,” katanya.

ANAK BERSEMANGAT KE SEKOLAH

Setiap ibu bapa pasti teruja apabila anak tersayang mula melangkah ke alam persekolahan terutama yang memasuki tahun satu.

Tuan Norsuzlia Idayu Tuan Hussin, memberitahu anak ketiganya, Muhammad Hadif Ilham Norfairuz yang berusia tujuh tahun kelihatan sangat bersemangat dan berani bersekolah.

“Hadif amat gembira dan tidak sabar ke sekolah. Pada masa sama, dia langsung tidak menunjukkan rasa takut atau sedih malah sentiasa teruja untuk ke sekolah.

“Suami hanya menemani Hadif sehingga waktu rehat pada hari pertama persekolahan untuk mengajarnya cara membeli makanan di kantin. Pada hari kedua, saya pula pergi ke sekolah pada waktu rehat namun sekadar melihatnya dari jauh bagi memastikan dia dalam keadaan baik,” katanya.

Tuan Norsuzlia berkata, walaupun itu bukan pengalaman pertamanya menguruskan anak memasuki darjah satu, dia suami isteri tetap teruja dan sentiasa mengharapkan semuanya berjalan dengan lancar.

“Syukur, Hadif pandai membawa diri dan dia juga sentiasa mahu ke sekolah setiap hari. Apabila ditanya, dia kata sangat seronok di sekolah kerana mempunyai kawan dan guru yang baik.

“Selain rakan, Hadif juga beruntung kerana dua lagi abangnya yang berada di darjah tiga dan di darjah lima turut belajar di sekolah sama,” ujarnya.

Menurutnya, bagi memastikan anaknya tidak mengalami kesukaran membeli makanan di kantin, dia berusaha menyediakan bekal setiap hari.

“Menu yang saya sediakan tidaklah terlalu berat, sekadar hidangan yang digemari atau dimahukan anak terutama bagi memastikan dia dalam keadaan kenyang sehinggalah waktu pulang.

“Pengalaman menguruskan anak kini semakin mudah kerana mereka sudah terdedah dengan alam persekolahan sejak di tadika dan syukur anak saya semuanya bersemangat untuk ke sekolah,” katanya.

Katanya, dia juga berusaha menerapkan elemen keseronokan bagi merangsang semangat ketiga-tiga anaknya untuk ke sekolah sepanjang tahun.

ENAM LANGKAH RANGSANG SEMANGAT ANAK

Tidak dinafikan, bukan semua kanak-kanak bersemangat dan berani seperti Hadif. Masih ada yang meragam dan menangis setiap kali dikejutkan bangun pada waktu pagi.

Ada pula yang memberikan alasan seperti sakit perut atau demam malah ada tidak mahu bangun apabila dikejutkan. Lebih memeningkan apabila situasi itu berlaku bukan pada si anak yang berada dalam darjah satu.

Dengan pelbagai ragam itu, pasti saja ibu bapa tidak sedap hati meninggalkan anak di sekolah apabila melihat wajahnya yang muram atau bergenang air mata.

Mereka mungkin takut atau rasa tertekan disebabkan pelbagai masalah di sekolah. Kadangkala ada segelintir ibu bapa mengambil ringan tekanan yang dialami anak dengan menganggapnya sebagai perkara biasa.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya cuba fahami mengapa anak bersikap demikian kerana sikap tidak peduli anda bukan saja menjejaskan emosi si kecil malah ia mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatannya.

Pasti ada sebab si kecil anda tidak mahu ke sekolah. Mereka mungkin tidak sukakan guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu dan bapa dan pelbagai alasan lain.

Sebagai ibu bapa, anda perlu selidiki punca masalah dan carilah jawapannya. Berikut enam langkah yang boleh diikuti ibu bapa yang mempunyai masalah anak enggan ke sekolah:

l Seelok-eloknya sebelum sesi persekolahannya bermula, anda sudah mendedahkan kepada anak dengan cerita mengenai kepentingan pendidikan dan betapa seronoknya mempunyai rakan di sekolah supaya emosinya lebih bersedia. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah seperti ada ramai kawan, guru yang baik dan adanya taman permainan di sekolah.

l Ibu bapa perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak di sekolah kerana emosi kita juga banyak mempengaruhi emosi anak. Ingat si anak perlu berdikari dan dia bukanlah berada di prasekolah lagi.

l Cuba berfikiran positif dan elak daripada menunggu anak di dalam kelas terlalu lama kerana ia hanya menyukarkan proses penyesuaian si anak. Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya. Jangan terlalu bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa mereka pulang.

l Beri kepercayaan kepada guru kelas. Guru kelas sudah dilatih dan mempunyai teknik tersendiri untuk mententeramkan murid dan menarik perhatian mereka mempelajari ilmu baru.

l Pastikan juga kita tidak lewat mengambil anak pulang dari sekolah terutama pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang, namun mereka masih menunggu.

l Beri ganjaran kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranya dia rajin ke sekolah. Bagaimanapun, elak daripada mengumpan anak dengan hadiah atau mainan yang mahal kerana ia akan merosakkan dirinya.

l Buat kerja rumah dan ulang kaji bersama mereka. Tanya mengenai aktiviti, kawan di sekolah dan seumpamanya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:23 PM