JANGAN wujudkan jurang antara ibu bapa dengan anak.
DEKATI anak-anak.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Berapa ramai antara kita yang rela membiarkan anak kecil tidur bersama pengasuh? Kebanyakan ibu bapa berasa sedih apabila si kecil lebih rapat dengan pembantu rumah yang bertindak sebagai pengasuh malah memilih untuk tidur bersama wanita yang dianggap sebagai ‘teman’ rapat, lebih dipercayai dan disenangi.

Mungkin ada ibu yang tidak kisah, terutama bagi yang melihat keadaan ini membuka ruang untuk dia berehat secukupnya pada waktu malam tanpa gangguan si kecil. Namun lebih ramai ibu yang mengambil langkah proaktif bagi menangani perkara ini supaya hubungan antara ibu bapa dan anak dapat dieratkan kembali.

Memang diakui, tuntutan kerjaya dan peningkatan kos hidup memaksa ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada pembantu rumah untuk mengasuh anak mereka. Inilah yang menyebabkan semakin ramai anak ditinggalkan sehari suntuk bersama pembantu rumah sehingga ada yang sering tidur bersama pengasuh.

Bagi si kecil, walaupun belum boleh bertutur, dia akan berasa selesa dan selamat berada dengan individu yang sentiasa bersamanya. Kehadiran pembantu rumah yang sentiasa ada di sisinya itu secara tidak langsung akan membentuk rasa percaya pada si kecil dan akhirnya membuatkan anak lebih rapat dengan pengasuh.

Lebih menyedihkan apabila si anak memilih untuk bersama pembantu rumah berbanding ibu bapa ketika mereka berdepan rasa tidak selesa atau ketakutan.

Ada antara mereka yang mula memanggil pembantu rumah dengan panggilan ‘ibu’ atau ‘mak’ dek keakraban hubungan yang terjalin.

Senario itu pastinya menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari jika dibiarkan berterusan terutama membabitkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Kebiasaannya perkara sebegini terjadi apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan tuntutan tugas di pejabat dan sering pulang lewat ke rumah menyebabkan si anak lebih banyak menghabiskan masa bersama pembantu rumah.

Ibu bapa pulang ke rumah melewati jam 10 malam ketika si anak sudah tidur dan rutin itu berlaku setiap hari sehinggakan memakan masa bertahun-tahun.

Dalam kesibukan mengumpulkan harta dan kesenangan hidup, tanpa sedar ramai ibu bapa terlepas peluang menikmati proses tumbesaran anak sepenuhnya sedangkan zaman kanak-kanak inilah mereka belajar banyak perkara penting yang akan membentuk keperibadian diri apabila dewasa kelak.

DAMPINGI ZURIATMU

Hakikatnya, senario seperti itu tidak akan terjadi sekiranya si ibu mahupun bapa mempunyai kesedaran bahawa tugas mereka bukan sekadar melahirkan malah apa yang lebih penting membesarkan zuriat sendiri.

Hubungan dan jalinan emosi antara anak dengan ibu bapanya amat penting kerana ia bakal mempengaruhi identiti si anak.

Menurut Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen, kebanyakan ibu bapa terlalu mementingkan tugas di luar berbanding tanggungjawab di rumah.

“Situasi itu pastinya menjurus dan menjadi punca berlaku pelbagai masalah. Bukan saja si anak akan berasa asing dengan ibu bapanya, malah pembentukan emosi mereka juga terganggu.

“Lebih memburukkan keadaan apabila ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tugas menjaga anak di rumah kepada pembantu dan soal pendidikan diletakkan di atas bahu guru sekolah kerana ia akan mewujudkan jurang yang lebih jauh antara ibu bapa dengan anak,” katanya.

Kata Ko, kanak-kanak yang dibesarkan sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa nyata berbeza dengan kanak-kanak yang sering terabai dan tidak mempunyai hubungan rapat dengan keluarga.

“Jadilah rakan terbaik kepada mereka, supaya kita menjadi individu terawal untuk mendengar segala rungutan dan masalah emosi yang dialami bagi memastikan anak cenderung memilih ibu bapa sebagai rakan baik berbanding individu lain.

“Bukan tidak membenarkan si anak rapat dengan pembantu rumah namun hubungan itu perlu ada batasnya. Kita mahu anak-anak lebih rapat dengan ibu bapa sendiri, bukannya pembantu rumah,” ujarnya.

LAYANAN DAN MASA

Menghadiri sebarang acara di sekolah, menemani anak ketika mereka dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan tertentu pasti menggembirakan mereka.

Jangan sesekali membiarkan anak membesar sendirian tanpa meninggalkan kenangan manis mahupun pahit (contohnya didenda jika melanggar peraturan rumah atau melakukan kesalahan sama berulang kali) yang dapat dikongsi apabila mereka dewasa kelak.

Ko berkata, perhatian khusus dan masa adalah perkara paling penting yang dapat mempengaruhi emosi anak.

“Layan dan hargai anak mengikut tahap usia mereka dan biarkan mereka selesa tanpa ada rasa janggal kerana kebiasaannya ramai ibu bapa yang sibuk sering kali mudah tertekan.

“Jangan melayan anak remaja dengan layanan kepada kanak-kanak kecil kerana ia memberi kesan pada emosi dan pemikiran mereka selain menyebabkan anak lebih terasing apabila berasakan ibu bapa tidak memahami,” katanya.

Setiap ibu bapa mahukan hubungan yang baik dengan anak dan disebabkan itu, kesedaran serta tanggungjawab membesarkan zuriat sangat penting.

“Sesuai dengan gelarannya, pembantu rumah ditugaskan untuk membantu, bukannya mengambil alih semua tugas dan tanggungjawab kita terutama dalam mendidik serta membesarkan anak.

“Bahagikan masa sebaik-baiknya antara tugas di pejabat dan di rumah bagi membentuk sebuah keluarga bahagia terutama bagi memastikan anak lebih selesa berada di sisi ibu bapa, bukannya pembantu rumah,” ujarnya.

Mengapa ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab mendidik anak? Jawapannya mudah. Anda berdua belajar tinggi hingga berjaya menggenggam ijazah dan pastinya banyak ilmu sama ada sosial, kemahiran atau ilmiah yang boleh dikongsikan atau diterapkan kepada anak, sedangkan kebanyakan pembantu rumah biasanya tidak berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Tidakkah anda berasa rugi jika pada umur minda anak boleh menyerap pelbagai ilmu, dia cuma dijamu dengan pengetahuan yang dangkal sedangkan ibu dan bapanya orang berpelajaran. Jadi, berusahalah mencari peluang untuk mengisi dada dan minda anak sebaik-baiknya.

ANTARA PERKARA YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN IBU BAPA:

Pembantu rumah mungkin ditugaskan untuk memasak tetapi ibu atau bapa yang perlu menyuapkan mereka makan. Menyuap dan melayani anak makan adalah tugas ibu bapa kerana ibu bapa yang bertanggungjawab mengajar anak membaca doa makan dan adab semasa makan selain ia dapat membina hubungan yang lebih kukuh.

Namun kalau boleh, ibu bapa cubalah meluangkan masa menyediakan sendiri sajian keluarga. Air tangan ibu yang disertai dengan kasih sayang dan bacaan zikir boleh menambah kemesraan dan kasih sayang anak.

Pembantu rumah mungkin boleh memandikan anak, tetapi memakaikan baju adalah tugas ibu bapa supaya ibu bapa boleh memerhatikan keadaan fizikal anak seperti jika ada luka, benjol atau lebam di tubuh mereka. Sekiranya si anak sudah meningkat remaja anda boleh segera mengajak anak duduk makan bersama selepas mandi atau solat berjemaah.

Semasa anak sakit atau demam, ibu bapa yang paling utama menjaga anak bukan pembantu.

Tugas ibu bapa memeriksa suhu badan anak, mengelap atau memandikan serta menyuapkan ubat kerana anak yang sakit lebih memerlukan kasih sayang ibu bapa.

Tugas mengemas rumah boleh diserahkan kepada pembantu tetapi tugas sensitif atau yang mempunyai kaitan dengan perasaan perlulah dilakukan oleh ibu bapa seperti melayan anak menonton televisyen, menyiapkan tugasan sekolah, makan dan bercerita sebelum si anak tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:33 PM