ANTARA koleksi tudung empat segi menggunakan rona pastel.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Dalam apa juga keadaan wanita sentiasa inginkan yang terbaik dalam kehidupan mereka. Bermula sebagai anak, isteri dan ibu, mereka sanggup mengutamakan kebahagiaan orang lain melebihi diri sendiri.

Malah dalam sesetengah keadaan walaupun ditinggalkan, hidup sebatang kara dan tidak dipedulikan, ada yang berjaya mencapai impian masing-masing disebabkan jiwa yang tidak mahu mengalah selain ingin bangkit daripada kegagalan lalu.

Sebagai dedikasi kepada wanita yang sedia berkorban memberikan kegembiraan kepada insan tersayang, usahawan dan pengacara Ameera Zaini tampil dengan koleksi tudung terbaru Azforwomen yang menampilkan enam ikon terdiri daripada selebriti dan personaliti seperti Mizz Nina, Natasha Hudson, Fizzy Idrus, Zarina Zainuddin, Sarah Shah Nor dan Kamal Effendi yang mewakili arwah isterinya, Nik Idzni Dalila.

Mereka dijadikan sumber inspirasi Ameera Zaini dalam melakar rekaan tudung empat segi berlatarkan kata-kata mutiara, sebagai simbolik lambang semangat juang wanita istimewa ini. Tampil dengan lapan rona pastel seperti putih, merah jambu lembut, karang, ungu cair, kuning madu, biru laut dan dua warna edisi terhad biru terang dan hitam klasik yang dijual pada harga RM89.

Menariknya, setiap ikon mempunyai tudung pilihan mereka sendiri. Bagi selebriti, usahawan fesyen dan ikon dakwah Mizz Nina atau nama penuhnya Shazrina Azman, dia dikenali disebabkan sering melaksanakan program kemanusiaan khususnya untuk kanak-kanak dan warga emas. Lebih membanggakan, Mizz Nina bukan saja sering membantu menghebahkan aktiviti misi kemanusiaan, bahkan turut turun padang ke lokasi bencana seperti di Jordan.

Natasha Liana Hudson pula dipilih sebagai ikon Azforwomen disebabkan sikap optimis dan positif dalam mengutarakan pendapat. Wanita kacukan Melayu dan Australia ini mendefinisikan kehebatan wanita apabila mereka mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menghebahkannya kepada orang lain.

Menerusi kempen ini, Natasha menyeru wanita untuk sentiasa mencari jalan dan meminta pertolongan Allah pada setiap masa.

Satu-satunya ikon berketerampilan segak adalah juruterbang wanita terawal Malaysia, Kapten Noor Hafizah Mohd Idrus atau lebih dikenali sebagai Fizzy Idrus. Dia sering menjadi inspirasi kepada ramai wanita disebabkan semangat dan usaha gigihnya mengejar cita-cita sebagai juruterbang.


FIZZY Idrus menjadi pilihan atas kesungguhannya menggalas tanggungjawab sebagai juruterbang.

“Wanita hebat berdiri untuk diri sendiri, wanita lebih kuat berdiri untuk orang lain”. Kata-kata ini paling tepat menggambarkan ciri ibu kepada dua anak istimewa juga pelakon Zarina Zainuddin.

Walaupun watak antagonis sering dilakonkan, namun hakikatnya dia seorang yang tenang, penyayang, mengambil berat dan tabah dalam membesarkan empat anak lelaki. Perniagaan pulut kuningnya yang semakin berkembang menyebabkan dia turut digelar Ratu Pulut Kuning.

Ikon kelima yang dipilih untuk kempen Azforwomen adalah pengasas Modvier, butik pelbagai jenama terkenal di Malaysia dan dikagumi ramai wanita, Sarah Shah Nor. Dia aktif dalam berkongsi pengalaman dan tip perniagaan kepada usahawan lain melalui pelbagai program dan acara. Dalam pada jadualnya yang amat padat, Sarah yang juga ibu kepada dua cahaya mata ini masih sempat ke gimnasium untuk kekal bertenaga dan cergas.

Sebagai wanita yang mempunyai semangat luar biasa, Allahyarhamah Dr Nik Idzni Dalila Nik Mahmud sentiasa ceria ketika hayatnya. Walaupun diuji dengan kanser buah pinggang tahap empat pada 2012, namun dia sentiasa positif meneruskan kehidupan seperti orang lain.

Katanya, kanser bukan satu hukuman mati yang perlu difikirkan, tetapi sebagai titik permulaan untuk berubah menghargai diri.

Pemikiran positifnya dikongsi di blog peribadi dan laman sosial sebagai inspirasi kepada orang lain. Malah sakit bukan penghalang untuk Idzni menamatkan pengajian dan mengejar cita-citanya dalam bidang perubatan di London. Dia juga pernah berpendapat cinta itu tidak perlu dicari kerana kehidupan akan berkesudahan dengan kematian.

Namun dia menukar persepsi ini dan mengatakan penghidap kanser juga boleh bahagia seperti orang lain. Apa yang penting adalah sentiasa kekal positif, ceria dan banyak berdoa kepada Allah. Semangat Idzni akhirnya memikat hati Kamal Effendi yang kemudiannya menjadi suaminya. Lelaki budiman ini memilih untuk membahagiakan Idzni walaupun maklum akan status penyakitnya.

Kamal yang bertugas sebagai guru di Temerloh, Pahang sering berulang-alik ke London untuk menemani isterinya. Sehinggalah pada suatu ketika, tahap kesihatan Idzni merosot dan dia ke London untuk membawa isterinya pulang ke tanah air. Genap setahun perkahwinan, Idzni menghembuskan nafas terakhirnya pada hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Gembira kerana dapat mengabadikan tudung istimewa ini untuk wanita, bagi Ameera ia juga sebagai suntikan semangat untuk menjadi yang lebih baik berbanding sekarang. Kesemua koleksi Azforwomen ini boleh didapati secara dalam talian atau butik AmeeraZaini di Seksyen 7 Shah Alam.


CEKAL, Zarina Zainuddin ibu kepada dua anak istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:04 AM