PAKAIAN mudah dijaga, sesuai digayakan dalam sebarang acara.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kehadiran pelbagai jenis fabrik memberi kelebihan kepada wanita membuat pilihan busana. Walaupun kebanyakan material yang ada di pasaran kelihatan lebih moden dan menyerlah tetapi pada akhirnya apa yang sering diberi perhatian adalah keselesaan serta mudah dijaga.

Bagi pengasas jenama D’Hajjah, Habida Samadi, sejak mula menjalankan perniagaan sehingga kini dia masih setia dengan fabrik lycra terutama untuk helaian baju kurung dan jubah.

Ujarnya, sebagai peminat lycra material ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Selain mudah dijaga, ia juga selesa digayakan untuk sebarang acara. Malah anggapan mengatakan lycra mudah melekat pada tubuh adalah tidak benar. Ini kerana jika kena dengan potongan dan menggunakan fabrik yang lebih tebal masalah ini tidak timbul.

“Di pasaran terdapat pelbagai jenis lycra, ada yang nipis, tebal dan jarang bergantung kepada kualiti kain. Sejak mula berniaga sememangnya saya memperkenalkan fabrik lycra. Walaupun banyak fabrik baru tetapi saya masih setia dengannya. Pelanggan pula sudah tahu tanda pengenalan jenama D’Hajjah pada koleksi lycra yang pelbagai,” katanya.

Antara rekaan berasaskan lycra yang terdapat di butiknya adalah baju kurung, kebaya dan jubah. Potongan baju kurung dipermodenkan kepada baju kurung moden tanpa pesak dengan tangan jerut dan kain berpotongan duyung.

“Jubah kami istimewa kerana lengannya dilebarkan bagi menutupi kekurangan terutama wanita yang memiliki lengan yang besar. Menghasilkan potongan kembang ia sesuai digayakan semua peringkat usia,” ujarnya yang mempunyai tiga butik di Bangi Gateway.

Mempunyai pelanggan yang berusia 25 tahun ke atas yang kebanyakannya golongan isteri dan ibu berkerjaya yang sentiasa sibuk menguruskan keluarga. Pada masa sama mereka ingin bergaya dan berdandan cantik.

“Rekaan yang anggun ini sesuai dipakai ke pejabat atau acara keraian. Lebih penting tidak perlu digosok, mudah dibasuh, tidak meregang atau mengecut dan tahan lasak. Sesuai untuk wanita yang sentiasa sibuk dengan kerjaya seharian,” katanya yang menampilkan warna ceria serta polos untuk semua ton warna.

Selain busana, D’Hajjah turut memperkenalkan tudung sarung eksklusif menggunakan fabrik jacquard. Kain ini dipilih disebabkan corak yang dicetak pada bahagian atas menampakkan ciri anggun. Sama seperti lycra ia senang dijaga dan tidak panas.

“Malah semakin ramai pelanggan gemar menggayakan tudung sarung kami disebabkan kelihatan glamor apabila tertera manik berkilau pada bahagian atasnya. Tudung sarung ini sesuai dipakai ke acara makan malam atau keraian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:16 AM