HM Digital

Wanita dan perhiasan tidak boleh dipisahkan. Ibarat irama dan lagu, ia seakan-akan serasi bersama bagi melengkapi satu sama lain. Ada di antara wanita gemar pada perhiasan sederhana namun memilih rona terang manakala ramai pula gemarkan cita rasa mewah bagi menampakkan gaya elegan dan kekal menawan.

Jenama antarabangsa Fendi, memperkenalkan koleksi kapsul daripada rangkaian Maison inspirasi reben dan mutiara sebagai lambang gaya feminin wanita. Koleksi ini dikatakan bakal memenuhi almari pakaian wanita kerana ia boleh disuai padan dengan sebarang busana yang digayakan.

Beg dan tas tangan, kasut, but dan aksesori, direka dengan sentuhan lembut menggunakan latar belakang hitam. Rona ini dipilih kerana ia tampak lebih elegan dan berada pada kelas tersendiri. Paling penting kerapian reben dan mutiara yang diletakkan di setiap sudut menampakkan ciri moden kontemporarinya.

Reka bentuk yang sama dan jelas pada semua rekaan begnya, sama ada pada potongan mini Peekaboo sehingga ke acara mewah tetap mencerminkan sentuhan tersendiri. Menampilkan mutiara berbentuk bulat juga bujur diletakkan pada bahagian hadapan dan belakang serta disusun di antara poket beg.

Begitu juga kasut hiasan mutiara dan reben turut diperindahkan pada kasut bertumit, but atau sandal. Padankan dengan aksesori seperti cermin mata hitam dan gelang bagi menampakkan keunikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:26 AM