PROSES campuran bahan berkualiti untuk menghasilkan syampu santan dilakukan dengan teliti.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Memiliki rambut yang sihat adalah dambaan setiap orang namun, dalam kehidupan seharian kita sering berdepan pelbagai masalah, salah satunya keguguran rambut.

Pada umumnya, keguguran rambut adalah masalah yang sering berlaku pada lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun orang tua. Bagi sesetengah wanita pula, masalah keguguran rambut menjadi lebih ketara selepas bersalin sehingga ada kalanya rambut menjadi terlalu nipis dan mencacatkan penampilan.

Rusni Shafiya Ruslan antara ibu muda yang mengalami masalah itu selepas melahirkan anak pertamanya tiga tahun lalu. Namun siapa sangka masalah yang dihadapi itu rupanya membuka peluang rezeki kepada dia dan suami.

Katanya, masalah keguguran rambut dan kelemumur yang dihadapinya menjadi rezeki yang tidak disangka-sangka selepas niatnya berkongsi kebaikan santan dalam syampu yang dihasilkan sendiri menunjukkan kesan positif.

Menurut wanita yang mesra disapa Sophia itu, ketika berdepan masalah itu, dia memilih petua orang lama yang menggunakan santan kelapa untuk mencuci rambutnya setiap hari. Ternyata, hasilnya sangat memberangsangkan apabila mahkota kewanitaannya semakin sihat, kuat dan berseri.

“Bagaimanapun, proses melumur santan asli di kepala dan rambut setiap hari agak melecehkan. Tambahan pula saya menguruskan kerja rumah dan anak kecil, jadi saya tidak punyai banyak masa untuk melakukannya sekerap mungkin.

“Dari situ saya mula terfikir dan mendapat ilham untuk menghasilkan syampu berasaskan santan kerana menyedari kebaikan bahan ini untuk menguatkan rambut supaya tidak perlu lagi melalui proses yang melecehkan seperti menggunakan santan asli.

“Alhamdulillah, berbekalkan ilmu asas dalam bidang kimia kosmetik yang dipelajari ketika terbabit menjual pelbagai produk kosmetik, saya berjaya merumuskan formulasi bahan untuk syampu santan,” katanya

Menurut Rusni Shafiya, dia bersama suaminya, Mohamad Redzuan Roslan, 29, kemudian mengasaskan syarikat My Home Lab Sdn Bhd dalam usaha meluaskan pasaran syampu berkenaan.

Walaupun menyedari terdapat banyak produk rawatan rambut di pasaran, Rusni Shafiya optimis produk keluaran syarikat mereka itu mampu menarik perhatian pengguna.

Ibu muda ini berkata, produk itu adalah hasil formulanya yang terhasil secara tidak sengaja malah percubaan pasaran terhadap produk itu menarik minat ramai dan mendapat reaksi positif pelanggan yang sudah mencubanya.

Modal RM400

Bermula secara kecil-kecilan kira-kira dua tahun lalu, dengan dijual secara dalam talian di media sosial selain melalui saudara mara dan rakan terdekat, syampu itu semakin mendapat permintaan. Itulah yang mendorong pasangan ini untuk menjalankan perniagaan secara lebih sistematik.

“Pada mulanya sasaran pelanggan kami adalah golongan wanita selepas bersalin yang mengalami masalah keguguran rambut yang teruk, kelemumur dan gatal kulit kepala.

“Alhamdulillah produk ini menjadi perhatian bukan saja kumpulan sasaran malah boleh dikatakan menarik minat semua peringkat umur,” katanya.

Menyingkap liku dan cabaran yang dihadapi dalam membangunkan syarikat itu, Rusni Shafiya mengakui sumber kewangan menjadi masalah utama pada peringkat awal perniagaan.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dengan sumber kewangan yang terhad mereka berdepan kesukaran untuk memperkenalkan produk itu secara meluas.

Selain itu, sumber bahan mentah dan tenaga kerja juga menambahkan lagi masalah mereka ketika itu. Namun, benarlah kata orang tiada kejayaan tanpa usaha dan komitmen tinggi.

Daripada 7,000 botol sebulan, tempahan syampu meningkat kepada 30,000 botol menyebabkan mereka terpaksa bertungkus lumus mencari pembekal bahan mentah untuk memenuhi permintaan.


RUSNI Shafiya (belakang lima dari kiri) bersama suami meraikan stokis dan ejen pada majlis makan malam.

“Syampu santan adalah hasil formula saya di rumah dan rumusannya sudah menjalani lebih 10 kali penambahbaikan. Bermodalkan RM400 pada permulaan perniagaan saya mengambil tempahan secara pratempahan.

“Jika ada tempahan baru saya buat. Bermula daripada semangkuk syampu seminggu meningkat ke sebaldi dan seterusnya satu tong seminggu yang semuanya saya buat sendiri di rumah.

“Melihat perniagaan semakin berkembang, suami pun turut membantu. Setiap bulan permintaan yang meningkat dua kali ganda malah kadangkala sehingga empat kali ganda menyebabkan saya dan suami mula membahagikan tugas.

“Suami memegang peranan dalam urusan tempahan dari ejen. Dia juga menguruskan perniagaan secara lebih sistematik dengan mendaftarkan syarikat dan memohon kelulusan daripada badan dan agensi berwajib untuk produk.

“Tanpa suami pasti saya tidak berupaya melakukannya semua bersendirian. Suami menjadi tulang belakang saya malah paling banyak memberi sokongan, dorongan dana tunjuk ajar dalam perniagaan,” katanya.

Produk itu mempunyai keunikan tersendiri kerana ia dihasilkan menggunakan bahan semula jadi yang bebas daripada campuran kimia berbahaya dan terlarang.

Penuhi selera pengguna

Menurutnya, kesedaran dan permintaan masyarakat terhadap produk semula jadi yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini membuatkan mereka yakin produk itu berupaya menerokai pasaran tempatan.

Dihasilkan dengan gabungan santan asli, minyak kelapa, minyak pati oren, rosemary, vitamin E dan B5, syampu itu membantu mengatasi masalah kegatalan kulit kepala, menguatkan rambut, mencegah keguguran dan kelemumur sekali gus menjadikan rambut lebih sihat dan berbau harum.

Tambah Rusni Shafiya, sebelum syampu itu dijual kepada orang lain, dia terlebih dulu menguji keberkesanan produk dalam satu tempoh yang ditetapkan.

Kebaikan santan yang sudah diakui sejak berzaman dan mempunyai kelebihan tersendiri dalam membantu merawat masalah berkaitan rambut memberi nilai tambah buat produknya meskipun masih agak baru di pasaran.

Katanya, dalam penghasilan syampu itu kualiti menjadi keutamaan mereka kerana mahu memberikan yang terbaik untuk pengguna sekali gus terus bertahan di pasaran.

Katanya, selepas melihat kesan yang diperoleh selepas menggunakan syampu itu, dia begitu teruja untuk berkongsi kebaikannya bersama sanak saudara dan rakan.

Malah menurutnya, reaksi positif yang diterima dan sokongan pelanggan membuatkan mereka bersemangat memasarkan syampu berkenaan di pasaran terbuka berbanding hanya melalui sosial media.

“Besar harapan saya usaha kami ini terus diberi kepercayaan oleh pelanggan apatah lagi niat kami ingin membantu ramai orang yang mempunyai masalah rambut dan kulit kepala.

“Kami mengembangkan perniagaan ini bukan untuk keuntungan sendiri semata-mata sebaliknya berkongsi rezeki dengan lebih ramai orang. Sebab itu kami buka peluang dan ruang untuk mereka yang berminat menjana pendapatan sebagai ejen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 3:19 PM