BERSAMA pembantu sibuk menyiapkan tempahan kuih bulan halal.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


Kehadiran Tahun Baru Cina tidak hanya memberi rezeki kepada golongan Tionghoa dalam menyediakan pelbagai juadah bagi menyambut perayaan itu tidak lama lagi.

Ini kerana usahawan Melayu yang menjual pelbagai jenis biskut dan kuih-muih tradisi turut menerima tempias apabila produk mereka menjadi pilihan masyarakat itu sebagai pelengkap hidangan ketika menerima tetamu.

Pengusaha kuih kapit di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Nur Farah Diba Azhar, 28, kini tidak menang tangan apabila menerima tempahan kuih kapit pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ketika menyambut perayaan Tahun Baru Cina setiap tahun.

“Saya memberikan tumpuan khas bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan jangkaan pengeluaran kira-kira 10,000 balang kuih kapit untuk pasaran tempatan dan seluruh negara.

“Malah, saya menyediakan modal lebih RM40,000 bagi menyediakan segala keperluan resipi kuih kapit sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut kurang dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang perayaan sama tahun lalu, syarikatnya NFDAE Enterprise menerima tempahan kira-kira 8,000 balang sekali gus mampu menjana perolehan menguntungkan.

Katanya, kuih kapit atau kuih sepit keluaran syarikatnya mempunyai pelbagai perisa seperti coklat, kacang, mentega, coki-coki, serunding ayam dan daging, tuna serta durian.

Menurutnya, paling mencuri tumpuan orang Cina adalah kuih kapit berperisa serunding ayam yang dijual pada harga RM16 sebalang mempunyai 40 keping manakala perisa lain dijual pada harga RM15 sebalang.


NUR Farah bersama pembantunya sibuk menyediakan kuih kapit.

“Kuih kapit atau lebih dikenali sebagai kuih sepit dalam kalangan masyarakat Cina menjadi kemestian dan pelengkap juadah hidangan kerana rasanya yang rangup dan terus cair di dalam mulut.

“Gandingan kerangupan dan tekstur kenyal serunding ayam mendapat sambutan ramai yang berpendapat ia unik,” katanya.

Nur Farah Diba bersyukur kerana perayaan masyarakat majmuk di negara ini bukan sahaja membuka peluang rezeki kepada kaum lain malah ia turut memberikan kesan positif terhadap usahawan biskut dan kuih tradisi.

Selain memasarkan kuih kapit, beliau turut menerima tempahan kuih bulan halal sebagai antara kuih tradisional Cina yang mendapat permintaan besar ketika Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

“Biasanya kami mengeluarkan 10,000 biji kuih bulan sepanjang perayaan itu yang dijangkakan pada September tahun ini dan dijual pada harga RM15 sebiji.

“Kuih bulan berbentuk bulat mempunyai ukuran diameter kira-kira 10 sentimeter (sm) dengan ketebalan di antara empat sehingga lima sm. Kami menyediakan pelbagai perasa kuih bulan seperti kacang hijau, biji bunga teratai, kurma merah dan kuning telur masin.

“Proses pembuatan kuih bulan perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati terutama ketika menekap acuan bagi mendapatkan bentuk sempurna. Peredaran masa dan minda serta status halal menyebabkan pasaran kuih bulan diterima baik termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu dan India, sekali gus membuka pasarannya lebih luas,” katanya.


NUR Farah menunjukkan kuih kapit pelbagai perisa di bengkelnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 3:26 PM