TART nanas diusahakan Siti Junaidah hasil menyertai kelas masakan untuk menjana pendapatan.
MENJAHIT dulu minat kini menjana pendapatan kepada Norlina.
SITI JUNAIDAH membakar tart nanas menggunakan ketuhar pemberian ibunya.
MENJAHIT dulu minat kini menjana pendapatan kepada Norlina.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Perpisahan sama ada hidup atau mati amat sukar dalam kehidupan seorang wanita bergelar isteri dan ibu. Namun ketentuan Ilahi tiada siapa yang mampu menolaknya. Apa yang pasti kehidupan perlu diteruskan demi memastikan masa depan diri dan anak terbela.

Bagi wanita yang selama ini tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung hidup kepada suami, tentu sekali banyak masalah yang timbul terutama kewangan. Mencari pekerjaan juga bukan mudah, apatah lagi jika mempunyai anak kecil atau sakit yang perlukan perhatian.

Bekerja sendiri dari rumah adalah alternatif terbaik kerana akan ada banyak masa bersama keluarga. Oleh itu, wanita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran termasuk keusahawanan sebagai persediaan menempuh saat sukar.

Kemahiran seperti memasak, menjahit, bertukang atau membuat kraf tangan boleh dikembangkan sebagai mata pencarian. Bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ yang bermaksud bersiap sedia sebelum menghadapi musibah atau kesukaran yang tidak dijangka.

Pengarah Program Yayasan Pendidikan dan Vokasional Wanita Malaysia (YPVWM) Nur Aziatty Abu Bakar berkata, aspek kemahiran dan keusahawanan saling berkaitan kerana ia mampu menambahkan pendapatan wanita jika kedua-duanya dilakukan secara maksimum.

Menurutnya, kemahiran dimiliki mampu membantu memperoleh pendapatan untuk mengharungi liku-liku hidup terutama dalam keadaan ekonomi semakin mencabar dan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Kita lihat situasi hari ini, ramai wanita sama ada berkerjaya atau suri rumah yang mencari pendapatan sampingan dengan menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan. Mereka berani mencari ruang dan peluang untuk memperoleh pendapatan menggunakan kemahiran tertentu.

“Jika dahulu, kemahiran dipelajari ibu tunggal yang sukar mencari pekerjaan kerana tiada kelulusan tinggi untuk bekerja atau golongan susah bagi menaikkan taraf hidup.

“Namun, trend itu kini berubah apabila wanita berkerjaya dan mempunyai pendidikan tinggi juga semakin ramai yang menyertai program latihan serta kemahiran. Ada yang mahu membantu ekonomi keluarga tanpa bergantung kepada pendapatan suami semata-mata, selain berkorban karier untuk menjadi suri rumah tetapi masih mampu menjana pendapatan sendiri dari rumah,” katanya.

Nur Aziatty berkata, pihaknya menawarkan program dan latihan vokasional daripada tenaga pengajar yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran, untuk mereka yang ingin meningkatkan taraf hidup dan pendapatan, manakala kemahiran ditawarkan menepati keperluan semasa serta industri.

“YPVWM membantu sesiapa saja yang mahu pergi jauh menerusi aspek kemahiran. Sejak penubuhan yayasan ini pada 18 Ogos 1999, kami sudah membantu kira-kira 25,000 individu terdiri ibu tunggal, suri rumah, wanita berpendapatan rendah dan remaja lepasan sekolah.

“Kelas kemahiran berdasarkan minat seperti bakeri, menjahit, kraftangan, kecantikan dan pengendalian teknologi komunikasi maklumat (ICT) disertakan latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan supaya mereka boleh memanfaatkan ilmu diperoleh untuk menjana pendapatan,” katanya.

Katanya, YPVWM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta dalam merangka program yang bermatlamat membantu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup golongan memerlukan.

JUAL KUDAPAN KEGEMARAN

Bagi isteri yang digantung tidak bertali, Siti Junaidah Kamarudin, 35, menyifatkan konflik rumah tangga yang menyaksikan beliau ditinggal suami lebih dua tahun lalu bukan bermakna penamat dalam hidup.

Hampir setahun murung, Siti Junaidah nekad melakukan perubahan dalam diri dan mengumpul kekuatan untuk membesarkan tiga anak berusia empat hingga 10 tahun. Memang bukan mudah, tetapi beliau berjaya melalui fasa keperitan itu berkat kecekalan dan doa yang tidak putus-putus kepada Ilahi.

“Menyara keluarga dengan membesarkan tiga anak sendirian mendorong saya untuk berniaga berikutan gaji bulanan diterima sebagai kerani am tidak mencukupi. Oleh itu, saya usaha belajar membuat tart nanas daripada Internet.

“Namun, ia tidak memadai sebelum saya menyertai kelas masakan bagi memantapkan kemahiran penyediaan makanan. Saya memilih tart nanas kerana ia makanan kegemaran dan memikirkan lebih baik tumpukan kepada sesuatu yang saya suka,” katanya.

Menggunakan laman sosial sebagai platform jualan, tart nanas Jun’s Legend Tart kian mendapat tempat di hati penggemar biskut tradisi itu. Keistimewaan tart nanas itu ia sesuai untuk golongan vegetarian kerana tidak menggunakan telur, di samping menggunakan bahan premium.

“Perniagaan tart nanas ini memang sudah lama saya impikan. Awalnya, saya menggunakan ketuhar kecil dengan kapasiti pembakaran yang terhad. Namun, ibu banyak membantu merealisasikan impian ini apabila beliau membelikan ketuhar industri supaya dapat menyediakan kuantiti yang banyak dan menjimatkan masa.

“Saya nampak masa depan dalam bidang ini amat cerah jika diusahakan bersungguh-sungguh. Malah, maklum balas yang positif daripada pelanggan juga meniup semangat untuk saya terus maju.

“Malah, saya juga berhasrat mencari ejen untuk meluaskan lagi jualan tart nanas ini. Selain dijadikan kudapan pada bila-bila masa, saya turut menyediakan pek tart nanas untuk cenderahati majlis perkahwinan dan hamper korporat,” katanya.

Menurut Siti Junaidah, apa pun cabaran yang ditakdirkan untuk dirinya perlu ditempuhi dengan sabar demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya boleh berjaya kerana ada kekuatan dalam diri. Kepada wanita lain yang berdepan cabaran serupa, saya menasihatkan supaya jangan berhenti belajar dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran.

“Jangan terlalu bersedih dengan apa yang berlaku dan jangan asyik menoleh ke belakang. Sebaliknya teruskan melangkah, hilangkan kesedihan dan binalah kekuatan untuk meraih kejayaan. Pasti ada hikmah menanti di sebalik apa yang berlaku,” katanya.

CARI POTENSI DIRI

Sementara itu, status ibu tunggal tidak pernah dijadikan alasan untuk Norlina Mohd Nor, 52, berpeluk tubuh dan menantikan ihsan orang lain sebaliknya bangkit untuk mengorak langkah memajukan kehidupan berdikari.

Itu semangat yang ditunjukkan oleh peserta kelas jahitan YPVWM untuk memajukan diri dalam bidang kemahiran yang diceburi ke arah penjanaan ekonomi berteraskan konsep keusahawanan.

Norlina yang juga ibu kepada empat cahaya mata dan sudah lapan tahun bergelar ibu tunggal menyatakan program kemahiran vokasional yang disertai itu bukan sahaja menyalurkan ilmu serta latihan tetapi turut membimbing peserta bagaimana untuk berniaga.

“Aktiviti ini asalnya sekadar minat dan saya menjahit pakaian pun untuk kegunaan sendiri. Minat yang mendalam juga mendorong saya mengikuti kelas jahitan kecil-kecilan.

“Namun, tidak terfikir pula menjadikan jahitan ini sebagai mata pencarian kerana mempunyai pekerjaan tetap sebagai setiausaha.

“Selepas mendirikan rumah tangga saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa bagi menumpukan perhatian kepada keluarga. Tetapi, mahligai perkahwinan yang dibina tidak mampu bertahan sebelum saya dan suami berpisah secara baik,” katanya.

Katanya, menggalas status ibu tunggal bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilalui, malah pada peringkat awal memang terasa kesukarannya untuk membesarkan anak sendirian.

“Namun, ketika itu saya sedar tiada orang yang dapat membantu kecuali diri sendiri. Jadi, saya nekad kembali menjahit dan tanpa berlengah saya mengambil kursus menjahit di GiatMARA.

“Dengan kemahiran yang ada saya mula mengambil tempahan membuat pakaian dan hasil diperoleh mampu menyara diri dan keluarga. Saya kemudian mengambil inisiatif untuk menaik taraf kemahiran menjahit dengan menyertai kelas anjuran YPVWM selepas diperkenalkan rakan.

“Menerusi YPVWM, saya berupaya meningkatkan kemahiran bukan saja dalam pelbagai teknik jahitan, malah rekaan fesyen dan melakar. Saya juga belajar menjahit aksesori fabrik seperti langsir, sarung bantal dan beg,” katanya.

Norlina berkata, beliau menerima tempahan jahitan yang banyak selepas mengikuti program anjuran YPVWM itu kerana pelanggan semakin berpuas hati dengan kualiti kerja tangannya, di samping boleh menjahit selain pakaian.

“Terima kasih kepada YPVWM kerana membuka peluang untuk saya memajukan diri dalam bidang jahitan kerana saya bukan saja bergelar tukang jahit tetapi pada masa sama seorang usahawan.

“Bagi wanita lain yang senasib, anda juga perlu untuk mencari potensi diri dan asah ia agar menjadi kemahiran yang bernilai. Bagi saya sendiri, kemahiran jahitan yang pada asalnya dilakukan suka-suka kini mampu mendekatkan saya dengan bidang keusahawanan, sekali gus membantu mengubah struktur ekonomi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:48 AM