ROBAEHA.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Pertama kali bertemu wanita ini ketika pelancaran produk kosmetik di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Kecil molek, tutur katanya sopan, senyum tidak lekang dan gaya fesyen menawan. Robaeha Ramza Ramli, 30, antara ribuan wanita yang nampak anggun dengan caranya tersendiri.

Sekalipun bergelar jurumekap artis, Robaeha lebih sukakan gaya solekan ringkas. Percaya atau tidak, sekalipun wanita ini nampak muda remaja, Robaeha sebenarnya sudah berkahwin dan memiliki anak.

Ternyata bukan semua wanita mudah berpuas hati dengan rupa dan penampilan diri selepas mempunyai anak. Malah, pandangan sedemikian sebenarnya tidak boleh disamakan buat semua wanita. Apatah lagi mereka yang berkecimpung dalam dunia kecantikan.

Sekalipun pertemuan kedua diatur sempurna ketika penggambaran di studio Jalan Riong, Kuala Lumpur, ketika itu waktu tidak mengizinkan Hati untuk mengorek amalan dan petua kecantikan diamalkan Robaeha.

Sehinggalah kelmarin, Robaeha sudi meluangkan masa, berkongsi penjagaan rutin yang diamalkan. Selesa merendah diri, wanita yang mesra membahasakan dirinya sebagai Bee ini mengakui dia memang seorang yang suka mencuba, tetapi memilih.

“Sepanjang mula menjaga dan mengambil berat mengenai kesihatan serta kecantikan, saya banyak mencuba pelbagai produk di pasaran. Pilihan saya lebih kepada produk yang kurang bahan kimia dan tidak memberi kesan negatif atau jangka masa panjang kepada diri.

“Pada masa sama, petua ibu juga diterapkan dalam amalan harian. Cuma saya masih teragak-agak untuk melabur dalam produk organik kerana kebanyakannya agak mahal dan susah didapati,” katanya.

Menurut Robaeha, dia mula diajar mengenai asas penjagaan diri sejak kecil kerana hanya terdapat dua perempuan dalam keluarga. Berikutan itu, ibunya banyak memberi tumpuan terhadap dirinya dan kakak, mendisiplinkan kedua-duanya mengenai kebersihan, pemilihan pakaian dan penjagaan diri.

“Sejak dulu, rutin penjagaan yang sentiasa saya amalkan adalah membersihkan wajah sebelum tidur untuk memastikan kulit dapat bernafas dengan baik. Saya suka amalkan segelas air kosong sebelum tidur dan sebaik saja bangun untuk mengekalkan kesegaran badan.

“Elakkan mandi air panas jika boleh. Saya juga akan pastikan diri sentiasa mengikut rutin penjagaan kulit yang betul, menggunakan produk yang selamat dan terjamin.

“Selain minum air kosong sebaik bangkit dari tidur, saya juga mengamalkan rutin mencuci muka menggunakan air suam dan membilas menggunakan air sejuk untuk membuang minyak berlebihan dan mengecilkan pori. Kemudian barulah saya gunakan penyegar, serum, pelembap serta bedak yang nipis untuk tampil bermaya.

“Kulit wajah sebenarnya adalah bahagian tubuh yang sangat sensitif. Jadi, solekan tebal setiap hari hanya akan memberi bebanan kepada kulit. Elakkan bersolek tebal sebaliknya lebih pentingkan penjagaan kulit untuk lebih segar,” katanya.


ROBAEHA.

Ketika ditanya mengenai pilihan produk penjagaan diri, wanita ini memberitahu tidak kira produk berasaskan bahan semula jadi atau yang sedia ada di pasaran, kedua-duanya memainkan peranan penting buat dirinya.

“Bahan semula jadi mungkin susah didapati apabila saya mula menyambung pelajaran dan berada jauh dari rumah.

Oleh itu, pilihan yang ada adalah produk penjagaan diri yang mudah didapati di pasaran.

“Kalau hendak tahu, dari dulu lagi saya memang teruja apabila memilih produk di pasaran kerana terlalu banyak kepelbagaian dan menarik untuk dicuba,” katanya tertawa.

Petua ketika bersolek

Sebagai jurumekap profesional, wanita ini lebih suka memastikan setiap pelanggannya berada dalam mood tenang sebelum dia mula menatarias. Rutin sama itulah yang diamalkan untuk dirinya.

“Saya akan pastikan wajah dibersihkan sebelum mulakan rutin penjagaan kulit biasa. Jika melayan pelanggan, amat penting untuk saya berada dalam keadaan tenang sepanjang proses solekan berlangsung. Saya akan sentiasa cuba mengelakkan topik yang boleh menimbulkan kerisauan kepada pelanggan. Jika ada yang mempunyai masalah kulit wajah, biasanya saya akan buat urutan ais supaya mekap kekal tahan lama sepanjang hari.

“Sebenarnya, untuk mendapatkan wajah cantik, seseorang itu perlu memberi komitmen penuh terhadap rutin penjagaan kulit hariannya. Kita kena tahu jenis kulit dan masalah yang dialami untuk mendapatkan penyelesaian yang berkesan.

“Cantik berseri tidak mungkin boleh didapati dalam masa sehari atau seminggu dua. Ia juga tak mungkin boleh dibeli dengan wang ringgit. Sebaiknya, kita kena sabar dan rajin. Kedua-dua ini adalah petua utama untuk mendapatkan wajah cantik berseri.

“Zaman remaja dulu, arwah nenek pernah berkongsi petua untuk mendapatkan kulit wajah dan badan yang mulus. Katanya, kalau muka berjerawat, bersihkan dengan air basuhan beras untuk mempercepatkan proses pengeringan jerawat. Sapukan gel dari pokok lidah buaya yang disejukkan di dalam peti ais setiap malam sebelum tidur dan mandi lulur menggunakan lulur bunga rambai setiap bulan. Itulah yang saya amalkan untuk beberapa tahun.

“Sekarang, dengan perkembangan teknologi, banyak produk kreatif dihasilkan. Mungkin sekarang sudah banyak produk yang mengadaptasi petua orang dulu-dulu. Jadi, tak payah lagi menggunakan produk mentah,” katanya.

Kata Robaeha, bahan semula jadi memang memberi manfaat bagus kepada pengguna jika diamalkan berterusan. Namun, keberkesanannya mengambil tempoh yang lama untuk dilihat.

“Sebab itu ramai pengguna lebih suka mengambil jalan mudah dan memilih produk yang diproses (dan ditambah bahan kimia) untuk hasil yang lebih cepat. Bagi saya, sudah tentu produk semula jadi memberi banyak kebaikan kerana banyak produk segera membuktikan wujudnya kesan sampingan di masa hadapan,” katanya.


ROBAEHA bersama anaknya.

INFO

1. Sentiasa pastikan badan cukup rehat dan sihat.

2. Selain penggunaan produk yang betul dan konsisten, pemakanan juga penting untuk mendapatkan kulit wajah dan badan yang baik.

3. Elak menggunakan produk yang diragui keberkesanannya walaupun ia murah dan menjanjikan kesan cepat. Produk sebegini biasanya mengandungi bahan kimia berbahaya dan mempunyai kesan jangka masa panjang terhadap badan.

4. Ambil makanan tambahan dan vitamin yang perlu sahaja untuk tubuh, bukan ubat kurus atau pencerah kulit. Mentaliti dan persepsi pengguna harus dididik dengan betul terlebih dahulu. Kulit cerah dan kurus bukan kayu pengukur kecantikan atau kesihatan seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 2:31 PM