MENANAM lebih 1,000 anak pokok gaharu.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Gabungan kehijauan Taman Negara Batang Ai dan kebiruan tasik Empangan Hidroelektrik Batang Ai mampu memaksimum dan menyerlahkan lagi sektor pelancongan eko di tapak pemukiman masyarakat Iban tertua di Sarawak berkenaan.

Bagi menyokong potensi pelancongan dan mempelbagaikan sektor pendapatan komuniti peribumi setempat, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dengan kerjasama Kelab Kembara Anak Sarawak (KKAS) menganjurkan program penanaman pokok gaharu di tapak penanaman Rumah Panjang Manggat Menyang Taih, Batang Ai, baru-baru ini.

Rumah Panjang Manggat Menyang Taih adalah rumah panjang pertama yang terpilih bagi projek penanaman pokok gaharu dalam usaha menghasilkan teh gaharu.

Pengerusi kelab, Yusuf Buji berkata penyertaan ahli KKAS dalam aktiviti kemasyarakatan ini bertujuan membantu usaha JHS meningkatkan ekonomi kaum Iban di rumah panjang berkenaan.


RUMAH panjang pertama bagi program penanaman pokok gaharu.

“Program ini adalah inisiatif daripada JHS dan pembabitan 40 ahli KKAS bertindak sebagai sukarelawan untuk menanam lebih 1,000 anak pokok gaharu.

“Kawasan ini mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan eko kerana ia dikelilingi kehijauan gunung dan hutan serta pemandangan tasik luas.

“Lebih menarik, penduduk tempatan turut mengakui lokasi ini antara habitat semula jadi orang utan yang menjadi tarikan pengunjung.

“Pemilihan pokok gaharu bagi program ini kerana ia adalah flora yang berasal dari bumi Kenyalang. Selain itu, pokok gaharu lebih senang untuk membesar kerana kurangnya risiko serangga perosak mahupun serangan penyakit.

“Berdasarkan penerangan daripada JHS, pokok gaharu memiliki banyak manfaat kepada manusia. Antaranya, pembuatan teh gaharu dan baik untuk mengurangkan kadar gula dalam darah,” katanya ketika dihubungi.

Turut berkongsi ilmu mengenai konsep keusahawanan sosial kepada penduduk, Yusuf berkata, ia satu daripada idea yang mampu menggiatkan aktiviti menjana pendapatan menerusi perkhidmatan kepada pengunjung.


MENINGKATKAN ekonomi masyarakat setempat.

Program dua hari berkenaan memulakan perjalanan menaiki bas selama lima jam dari Kuching menuju ke Lubok Antu.

Sebaik tiba di Empangan Hidroelektrik Batang Ai, peserta perlu menaiki bot panjang yang memuatkan lima orang dalam satu masa menuju ke jeti rumah panjang, memakan masa perjalanan 30 minit.

Menurut Yusuf, tapak penanaman pokok gaharu ini terletak di atas bukit dan memerlukan peserta mendaki selama 40 minit sebelum memulakan proses penanaman.

Katanya, usaha seperti ini bukan saja memberi manfaat kepada penduduk setempat bahkan pendedahan kepada ahli KKAS untuk menyemai rasa cinta alam sekitar, selain dianggap sesi latihan kecergasan.

Turut hadir dalam program penanaman pokok gaharu ini, pegawai JHS, Suliman Jamanhari dan ketua rumah panjang, Manggat Anak Meringai serta Evelin Ruman dan Mohamad Zamanhari Abdullah.


MENDEKATKAN peserta dengan masyarakat rumah panjang menerusi alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:31 AM