PERSEMBAHAN tarian oleh pejuang kanser menarik perhatian ramai.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Mendengar perkataan kanser payudara pasti menggerunkan mana-mana wanita apatah lagi jika penyakit itu berlaku kepada diri sendiri.

Namun, menyelami hati dua wanita kental yang didiagnosis kanser itu memberi satu persepsi berbeza kerana kecekalan mereka mengharungi dugaan hebat dan tidak terjangkau dek akal.

Semangat juang mereka yang tinggi wajar menjadi inspirasi buat semua yang berjuang melawan kanser. Malah, ia juga boleh dijadikan panduan buat ahli keluarga supaya dapat memberi kata-kata semangat kepada pesakit yang mungkin masih sukar untuk menerima ketentuan Ilahi.

Pertemuan dengan Mahani Kassim dan Sengolmany Irudayam pada pelancaran Kempen Be Cancer Alert (BCA), di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mendedahkan pengalaman mereka mengharungi penyakit itu.

Menurut Mahani, 55, dia didiagnosis menghidap kanser payudara pada 2016 selepas mendapati kelainan pada payudara sebelah kiri.

Katanya, pembedahan dilakukan pada minggu sama selepas didiagnosis diikuti kemoterapi dan radioterapi dan oleh kerana kansernya agresif dia perlu menjalani pusingan rawatan kemoterapi sebanyak enam kali serta 23 kali radioterapi.

“Sejak remaja saya mengalami ketumbuhan sista dan pembedahan pertama untuk membuangnya daripada ovari dilakukan ketika saya berusia 18 tahun.

“Apabila didiagnosis kanser payudara, saya tidak patah harapan, sebaliknya sentiasa positif dan mengikut semua arahan doktor yang merawat untuk pulih seperti sedia kala,” katanya.

Keluarga menjadi sumber kekuatan Mahani untuk terus cekal. Tidak mahu bermuram dengan nasibnya, dia mencari sebanyak mungkin maklumat berkaitan penyakit itu dan paling penting adalah mendekati kumpulan sokongan supaya boleh berkongsi suka duka.

Dari situ dia menjumpai maklumat mengenai Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan mendapat sokongan daripada rakan yang senasib dengannya.


KANSER menemukan Mahani dan Sengolmany yang kini terus menjadi sahabat baik.

“Pada awal kunjungan ke NCSM dan bergaul dengan pejuang kanser, saya rasa dunia seperti berubah. Kesedihan itu tetap ada, tetapi saya rasa lebih bersemangat dan mahu menjadi setabah mereka. Mengalami nasib sama, kami lebih memahami antara satu sama lain dengan baik.

“Sebelum ini, saya rasa kurang selesa apabila saudara-mara atau rakan menunjukkan rasa sedih dan ada yang menangis mendengar mengenai penyakit yang menimpa saya ini.

“Bagi saya, saya belum lagi ‘dijemput pulang’, tetapi kenapa rata-rata yang datang melawat menunjukkan reaksi seperti saya akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Saya faham mereka sedih, tetapi ramai yang tidak sedar perkara itu memberi impak negatif kepada emosi saya. Saya tidak mahu kesedihan mereka itu membebankan perasaan dan fikiran saya.

“Keadaan jauh berbeza apabila bergaul dengan mereka yang pernah lalui pengalaman sama. Kami banyak melakukan sesi perkongsian dan pelbagai aktiviti dijalankan bersama,” katanya.

Selain itu katanya, sejak mengikuti kumpulan sokongan itu, mereka banyak membantunya meningkatkan keyakinan diri dan hidupnya kini berubah ke arah lebih positif.

Baginya, menghidap kanser bukan penamat hidup sebaliknya ‘rakan seperjuangan’ itu banyak membantu dirinya menjadi orang baru dan lebih baik berbanding sebelum didiagnosis dengan kanser.

Justeru, Mahani turut menggalakkan lebih ramai wanita melakukan pengesanan awal untuk mencegah penyakit terus merebak.


PERAGAAN fesyen oleh pejuang kanser.

“Tanamkan dalam diri bahawa kanser hanya satu penyakit seperti demam dan lain-lain daripada memikirkan ia sebagai hukuman mati,” katanya.

Kanser juga membawa hikmah buat dirinya apabila dipertemukan dengan ramai rakan baru yang positif termasuk Sengolmany yang kini menjadi sahabat baiknya.

Sementara itu, Sengolmany, 55, yang didiagnosis kanser sejak 2001 turut bersyukur kerana sokongan daripada rakan senasib banyak membantunya untuk pulih dari segi emosi dan mental.

Didiagnosis pada usia muda, tidak melemahkan semangatnya, malah dia mengakui tidak pernah sekali pun menangis mengenang nasib diri.

Kekuatan itu lahir dari dalam diri yang tidak mahu empat anaknya lemah semangat dan bersedih kerana kanser yang dihidapinya.

“Jangan mengalah jika anda didiagnosis kanser kerana ia bukan penamat kehidupan, malah sesetengahnya menjalani hidup lebih baik selepas kanser.

“Selain itu, dapatkan kumpulan sokongan kerana sebagai penghidap kanser, kita tak boleh tertekan, sedih dan berseorangan sebaliknya jalani hidup dengan gembira sama seperti orang lain,” katanya.

Kempen BCA tahun ini menekankan pentingnya menjalani saringan untuk kanser payudara dan mengenal pasti tanda penyakit itu.

Kempen itu mendapat kerjasama daripada UM, Universiti Queen, Universiti Monash Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Kementerian Kesihatan.


PERAGAAN fesyen oleh pejuang kanser menggamatkan suasana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 2:40 PM