ZUNAR bergambar di belakang lukisan yang dilukis di atas helaian tisu.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Tisu dan wanita sukar dipisahkan. Menjadi satu kemestian melihat wanita meletakkan satu paket kecil tisu di dalam beg tangan mereka sama ada untuk kegunaan setiap kali selepas makan atau selepas keluar dari tandas. Keakraban kaum hawa dan tisu ini sehingga memberi idea kepada jenama tisu terkenal Vinda Deluxe menghasilkan sepersalinan gaun mempelai menggunakan helaian tisu.

Jika difikirkan sudah pasti ilham perincian busana pengantin berasaskan tisu sesuatu yang mustahil dilakukan berdasarkan cirinya yang mudah koyak, kotor dan lembik apabila dibasahi air.

Namun tisu jenama ini berjaya melakukannya apabila penghasilannya sangat mengagumkan, setanding kualiti ditampilkan gaun pengantin tradisional.

Bersempena Hari Malaysia 16 September lalu sekali lagi jenama ini membuktikan kekuatannya dengan pelancaran kempen Stay Strong, Malaysia: Bersama Kita Bersihkan Tanah Air Kita yang diadakan di Sunway Pyramid.

Acara ini dianggap berbeza kerana menampilkan karya seni komik terbesar yang julung kalinya dilukis di atas tisu Vinda Deluxe oleh kartunis Malaysia Zunar.

Ia memaparkan kebangkitan Malaysia Baharu dan keutuhan semangat rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang. Malah, lebih penting cara penggunaan tisu yang inovatif ini menonjolkan ciri-ciri istimewa dan kekuatan tisu Vinda Deluxe.

Menurut Pengarah Pemasaran, Kumpulan Vinda Asia Tenggara, Evelyn Chan, ciptaan Zunar yang memaparkan kekuatan tisu mempunyai simbolik supaya rakyat Malaysia terus kuat memperjuangkan impian mereka.

“Perspektif unik terhadap kempen ini juga menterjemahkan keazaman jenama kami yang kekal kuat seperti rakyat Malaysia walau dalam apa juga situasi,” katanya.

Menceritakan pengalaman melukis di atas tisu, Zunar berkata, dia tidak menyangka tisu ini sungguh kuat dan teguh.

“Ini adalah sumbangan kecil saya dalam meraikan kekuatan dan semangat perjuangan rakyat Malaysia. Peluang untuk bekerjasama ini adalah satu penghormatan dan ini adalah karya terbesar saya untuk pameran umum sejak kebangkitan Malaysia Baharu,” kata Zunar.

Kartunis berpengalaman lebih daripada 20 tahun ini juga dikenali sebagai pejuang ketelusan dan keadilan, Zunar menghasilkan karya lukisan tangan asalnya di atas tisu berukuran 16 kaki x 8 kaki, menjadikannya hasil seni komik tisu terbesar di negara ini.

“Saya harap kempen ini dapat memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk meninggalkan semua sifat buruk demi perpaduan dan keteguhan serta membina negara yang lebih bersih dan terbaik untuk semua,” kata Zunar.

Selain pameran hasil lukisan majlis turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung termasuk kuiz, seni tisu dan mencetak potret keluarga di atas tisu yang mempamerkan Teknologi Tenunan Fiber Vinda Deluxe menjadikan tisu ini lebih kuat, lembut dan mudah menyerap. Teknologi sama juga membolehkan tisu ini kekal kuat walaupun dalam keadaan basah, satu ciri yang praktikal dan amat berguna untuk penjagaan peribadi dan juga kebersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:04 PM