CONTOH pelamin yang disediakan TWH.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Mengadakan kenduri di banglo kini menjadi trend terutama bagi pasangan yang datang dari dua negeri berbeza tetapi mahu merealisasikan hari bahagia mereka di lokasi yang sama. Malah lebih istimewa apabila mempelai dapat merasai majlis persandingan mereka dalam suasana mewah tetapi pada harga mampu milik.

Bagi Pengasas The Wedding Heritage (TWH) Muhammad Azim Ishuddin dan isterinya Idayu Ideris, disebabkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai mengenai konsep yang diketengahkan ini selepas Damansara dan Putrajaya, dia kini membuka banglo ketiga di Lai Tet Loke 1, Off Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Idayu, pakej lengkap di bawah satu bumbung ini semakin popular dan mendapat sambutan khususnya dalam kalangan eksekutif serta korporat yang tidak mempunyai banyak masa menyediakan persiapan perkahwinan.

“Bertujuan ingin memudahkan urusan pengantin, saya membenarkan mereka membuat tempahan menerusi panggilan telefon, e-mel atau pesanan WhatsApp bagi memilih tarikh, pakaian pengantin, warna tema dekorasi pelamin dan meja pengantin.

“Malah, ada juga bakal pengantin yang hanya bertemu sekali dengan pihak TWH untuk membuat tempahan kerana kekangan masa dan menyerahkan kepercayaan kepada perunding perkahwinan menguruskan segala-galanya,” katanya.

Mula beroperasi sejak tiga tahun lalu, TWH menyediakan perkhidmatan perkahwinan lengkap bermula daripada lokasi, katering, busana, solekan, gubahan hantaran dan pelamin, jurugambar, makan beradab serta cenderamata. Di samping itu, TWH turut menyediakan pakej lain termasuk dewan, rumah dan hotel.

Selaku Pengarah Urusan TWH Idayu berkata, pakej lengkap seperti itu lebih menjimatkan kerana pasangan tidak perlu berurusan dengan pihak berlainan. Paling penting bakal pe-ngantin boleh memilih pakej serendah RM9,500 untuk 200 tetamu manakala RM29,500 bagi 1,000 jemputan.

Dia yang mempunyai pengalaman selama lapan tahun dalam bidang solekan memberitahu TWH berbesar hati untuk berkongsi rezeki bersama pihak ketiga dengan cara membuka peluang vendor kepada mereka.


RUANG makan yang besar dan selesa.

“Misalnya untuk busana, solekan dan katering kami akan membuat pemilihan vendor dengan teliti supaya perkhidmatan yang diberikan berkualiti dan memuaskan hati pelanggan,” jelasnya.

Menurut Muhammad Azim, 27, yang juga Pengarah TWH, tujuan asal penubuhan TWH adalah ingin membantu dan memudahkan keluarga pengantin terutama yang tinggal di kondominium dan pangsapuri kerana ruang kediaman yang terhad di samping mencipta kelainan dalam kalangan warga kota. Majlis perkahwinan yang mereka uruskan pula mengikut cita rasa pelanggan dan kerja akan dilaksanakan selepas mencapai kata sepakat de-ngan kedua-dua pihak.

Ada juga banglo TWH yang menawarkan bilik untuk penginapan kepada ahli keluarga yang mahu bermalam sebelum atau selepas majlis perkahwinan.

“Menerusi pakej yang kami sediakan mempelai hanya perlu bawa badan ketika acara berlangsung kerana semuanya diuruskan TWH. Keluarga pengantin pula tidak perlu bersusah payah mengemas selepas acara tamat,” katanya.

Mempunyai pelanggan terdiri daripada golongan profesional seperti juruterbang, doktor, peguam atau jururawat yang bertugas di luar negara kebanyakan mereka tidak mampu menguruskan acara perkahwinan disebabkan kekangan masa.

“Selain orang tempatan kami juga menerima mempelai dalam kalangan Cina dan India serta pelancong asing yang memilih konsep perkahwinan cara tradisional,” jelasnya.

Pada masa akan datang Muhammad Azim, menyasarkan untuk memiliki 10 banglo bagi dijadikan lokasi perkahwinan di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:11 PM