MUHAMMAD.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com

Usianya baru mencecah 24 tahun namun kata-katanya penuh bervisi bagi menjadikan badan amal atau bukan kerajaan (NGO) yang didokonginya antara yang tersenarai sebagai NGO paling bersistem sekali gus mengangkat sukarelawan sebagai kerjaya dihormati masyarakat.

Dengarnya seakan-akan sukar memandangkan di Malaysia sendiri NGO sering dianggap sebagai badan yang hanya memberikan bantuan ketika banjir atau sewaktu bencana alam berlaku, sedangkan peranan dan fungsi NGO melebihi anggapan ini.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Pengasas Muslim Volunteer Malaysia (MVM) Muhammad Jantan berkata dia menubuhkan MVM dengan tujuan utama iaitu melahirkan lebih ramai anak muda yang ingin melakukan kebaikan. Apabila kesedaran ini sudah ada tidak mustahil golongan ini akan bertindak mendahului kepentingan orang lain berbanding diri sendiri.

Jelas Muhammad, untuk berada pada tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah. Bermula pada usia 17 tahun ketika ingin menyertai kerja amal dia mendapat tentangan keluarga.

“Bayangkan dalam empat beradik cuma saya yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding kakak dan abang yang semuanya berjawatan tinggi. Tetapi saya mahu buktikan kepada keluarga menerusi kerja amal saya bukan saja dapat berbakti kepada masyarakat tetapi membina kehidupan yang lebih baik,” katanya yang pernah mendapat gelaran blogger terkenal Malaysia pada usia 17 tahun.

Mengimbas kenangan lalu, jelas Muhammad pada usia 16 tahun saat remaja lain masih mengharapkan bantuan ibu bapa, Muhammad mampu menjana pendapatan sendiri sebagai penulis blog dengan pendapatan mencecah RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.


SENTIASA ingin menjadi inspirasi kepada semua pekerja.

Walaupun dalam pelajaran dia dikatakan sebagai pelajar kurang cemerlang, Muhammad membuktikan kepada keluarga tanpa pendidikan tinggi dia boleh mendapat apa yang diinginkan.

“Semuanya bermula apabila saya mendapat komputer riba ketika di tingkatan lima. Peluang ini saya gunakan untuk menghasilkan blog dengan jumlah pengunjung yang ramai. Tidak sangka blog saya tersenarai di antara 13 blog terkenal di Malaysia sehingga menjadi tumpuan ramai pengiklan,” katanya yang ditemui di pejabatnya Muslim Volunteer Malaysia di Puchong, baru-baru ini.

Sebaik tamat tingkatan lima Muhammad memilih mengikut kata hatinya dengan bekerja sebagai penulis blog. Memilih untuk tinggal di Kuala Lumpur, dia mula terdetik menyertai misi ke Palestin anjuran Aman Palestin pada 2012. Namun bayaran mencecah RM7,800 dan perlu disediakan dalam masa singkat membuatkan Muhammad berasakan dia sudah tiada harapan.

Apa yang dibayangkan adalah sebaliknya apabila muncul seorang wanita yang tidak dikenali tetapi sanggup menaja sejumlah wang sehingga dia dapat meneruskan hasrat ini.

“Saya langsung tidak mengenali wanita ini sehingga sekarang tetapi dia meninggalkan amanah agar sekembalinya ke Malaysia saya perlu membantu anak muda meningkatkan jati diri dan ekonomi mereka. Kata-kata ini saya pegang sehingga sekarang dan mengapa saya bersungguh-sungguh membina dan menaikkan MVM,” imbaunya.


BERSAMA salah seorang kanak-kanak ketika membantu kanak-kanak malang di Palestin dan Syria.

Hampir empat tahun sebagai penulis blog dan memiliki syarikat sendiri, timbul kesedaran untuk meninggalkan kerja penulisan kerana berasakan penulisannya akan menjadi saham di akhirat kelak.

“Saya membayangkan gambar yang dimuat naik dan cerita yang dipaparkan mungkin tidak sepatutnya dijadikan tatapan umum sedikit demi sedikit saya meninggalkan kerjaya ini dan beralih kepada kerja amal sepenuh masa,” katanya.

Tubuh MVM pada usia 19 tahun

Oleh kerana langsung tiada pengalaman dalam pengurusan syarikat, selepas hampir setahun, Muhammad kehabisan duit untuk menjalankan aktiviti amal sehingga rakan yang bersama-samanya mula menghilangkan diri. Dia mula terfikir bagaimana NGO lain menjalankan gerakan mereka sehingga mampu bertahan.

“Saya mula belajar mengenai organisasi dan mengambil kakitangan seramai dua orang, bermula pada Januari 2016 dengan menyewa sebuah rumah di kawasan elit. Di situlah saya tinggal dan di situ juga dijadikan ruang pejabat. Akhir 2016 staf bertambah kepada lima orang dan meningkat kepada 24 staf.

“Namun sekali lagi saya diuji apabila dana yang ada cuma tinggal RM1,500 sedangkan saya perlu membayar gaji pekerja dan tunggakan sewa rumah. Benar kata orang jika kita yakin dan melakukan sesuatu perkara dengan niat kerana Allah pasti ada jalan penyelesaian.

“Alhamdulillah sehari sebelum hari gaji saya menerima dana RM20,000 daripada badan korporat sebagai bantuan kepada golongan asnaf,” katanya tersenyum.


MUHAMMAD berbincang dengan kakitangan syarikat mengenai program terkini MVM.

Ujar Muhammad, dia tidak pernah menyesal dengan jalan dipilih dan tidak akan berundur kerana memikirkan yang diberi untuk membangunkan anak muda.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai remaja dan anak muda yang dilabel sebagai kurang berjaya memerlukan inspirasi daripada orang lain. Inilah yang cuba saya berikan apabila mereka yang menggerakkan MVM adalah terdiri daripada golongan muda berusia di bawah 30 tahun. Saya ingin melatih mereka untuk melihat daripada perspektif yang lebih luas dan besar. Memandang ke hadapan untuk melihat bantuan yang boleh diberikan,” katanya.

NGO bukan sekadar badan amal yang ahli ditugaskan untuk mengangkat kotak atau menghulurkan sumbangan makanan. Ia lebih besar daripada itu. Katanya, di luar negara mengiktiraf sukarelawan sehingga dipandang tinggi oleh masyarakat.

Berbeza dengan Malaysia apabila kerja amal dipandang sepi dan tidak boleh dijadikan kerjaya. Di Malaysia saja setakat September hampir 2,000 NGO didaftarkan tetapi ke mana mereka selepas itu?

“Sebab itu saya ingin menjadi lebih berani dengan meletakkan MVM sebagai NGO yang lebih bersistem dan diaudit secara sah. Kami juga akan memaparkan dana secara bercetak dan dalam talian agar diketahui orang ramai. Dengan cara ini saja kerja sukarela akan berada pada tahap yang lebih baik dan diiktiraf masyarakat,” katanya yang turut mempunyai dana sejumlah RM3.4 juta untuk 2017.


MUHAMMAD ketika menjalankan kerja amal di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 2:25 PM