ZANDRA sentiasa mengamalkan minum air kosong. FOTO/FAIL
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


TERSENYUM manis wanita ini saat bertegur sapa. Pertemuan pertama dengan anak bongsu tiga beradik ini memang secara kebetulan. Masing-masing sibuk membelek mekap sebelum berlangsungnya pelancaran produk.

Selesa memperkenalkan diri sebagai penulis blog, Zandra atau nama asalnya, Siti Norzainiza Zaini adalah anak kelahiran Bumi Kenyalang yang membesar di Brunei Darussalam. Malah, keluarganya berketurunan Brunei dan mereka menggunakan bahasa negara itu dalam komunikasi harian.

Selain aktif di media sosial, wanita berusia 24 tahun ini juga ligat di pentas dan bawah lampu studio sebagai peragawati serta pernah berlakon iklan. Atas tuntutan kerjaya dan kepuasan diri, Siti Norzainiza sentiasa memastikan tubuh dan wajahnya terjaga rapi.

Begitupun katanya, dia tidak mempunyai sebarang rutin penjagaan kesihatan atau kecantikan khusus, tetapi mendisiplinkan diri dengan meminum air suam sepanjang hari.

“Banyak petua ringkas yang saya amalkan. Jika tidak terikat dengan jadual penggambaran, saya lebih suka keluar dan berjalan dari satu lokasi ke lokasi yang berdekatan. Saya anggap berjalan sebagai senaman.

“Kemudian, saya suka menggunakan garam dalam mandian, berkumur dan merawat kaki selepas seharian penat di luar. Ini petua ibu paling mujarab dan diamalkan selalu sejak dulu,” katanya.

Jelas Siti Norzainiza, dia tidak pernah mengehadkan diri untuk mencuba pelbagai produk penjagaan diri di pasaran. Namun sebagai langkah selamat, dia hanya membeli dari farmasi seperti Guardian dan Watsons kerana percaya setiap produk di situ mempunyai sijil diiktiraf dan selamat digunakan.

“Kalau hendak diikutkan, saya mula memberikan perhatian pada penjagaan diri sejak di bangku sekolah rendah. Ibu saya seorang yang tegas dan mengutamakan kebersihan. Pantang baginya kalau anak-anak tidak memberus gigi selepas makan dan sebelum tidur. Kami juga selalu diingatkan untuk kerap mencuci tangan dan mandi tiga kali sehari. Itu disiplin yang kini menjadi kebiasaan saya.

“Setiap hari, saya bangun awal dan mengambil masa lima hingga 10 minit melakukan aktiviti regangan badan. Selesai mencuci wajah, saya akan berwuduk dan solat.

“Menjadi kewajipan saya untuk minum segelas air suam setiap pagi ketika perut kosong. Ini penting untuk melancarkan perjalanan usus dan membersihkan perut. Sebelah malam juga begitu. Saya akan minum air suam sebelum tidur dan mengenakan stoking.

“Mungkin nampak remeh, tetapi penggunaan stoking cukup bagus untuk wanita. Ia melindungi tubuh daripada ‘masuk angin’. Kalau tidak diamalkan, wanita mudah berasa lenguh, sengal dan lesu. Jadi, biasa-biasakan menutup kaki ketika tidur,” katanya.

Tambahnya, komitmen di media sosial menuntut dirinya selalu kemas dan elok di mata yang memandang. Bagaimanapun, untuk bersolek tebal memerlukan masa dan ketelitian.

“Sebab itu saya lebih suka bersolek ringkas. Ada tip mudah kalau hendak cepat. Saya selalu amalkan skrub bibir menggunakan gula kasar untuk menonjolkan bibir lembut, mungil merah jambu.

“Ada juga petua yang baru saya pelajari. Sebelum bermekap, lembapkan bibir dan berus menggunakan berus bayi. Berus ini boleh dibeli di kedai bayi. Jadi, bibir akan licin dan segar selalu.

“Untuk kulit wajah pula, saya selesa dengan resipi menyejukkan wajah menggunakan aloe vera. Saya akan ambil bahagian tengah daun lidah buaya dan campurkan bersama air mineral. Masukkan dalam botol semburan dan goncang.

“Untuk lebih keselesaan, simpan seketika dalam peti sejuk. Campuran ini bagus untuk mengekalkan solekan wajah dan mengurangkan kesan selaran matahari. Selebihnya, saya hanya mengamalkan tidur dan rehat mencukupi serta senaman ringan,” katanya.

TIP KECANTIKAN MUDAH

1. Disiplinkan diri dengan pengambilan air kosong pada sebelah pagi, sepanjang hari (terutama ketika sibuk) dan sebelum tidur.

2. Lakukan puasa sunat jika berkemampuan.

3. Tidur mencukupi.

4. Solat dengan betul kerana ia adalah senaman yang mampu membantu mengalirkan darah ke seluruh badan.

5. Gunakan pelindung matahari ketika di luar.

6. Gunakan loofah (petola) untuk menyental kotoran pada tubuh setiap kali membersihkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 3:50 AM