ELAKKAN kecederaan ketika bersenam.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Lazimnya semua mengetahui melakukan senaman secara rutin antara langkah paling tepat untuk mendapatkan kesihatan berterusan terutama apabila usia semakin meningkat.

Namun, dalam keterujaan bersenam, mungkin ada sesetengah individu tidak mengambil tahu mengenai apa yang perlu dilakukan sebelum bersenam atau perkara yang harus dielakkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kecederaan.

Mengupas isu ini, jurulatih kecergasan bertauliah yang juga Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Zafina Malaysia Yazid Abdul Rani berkata, kecederaan sukan adalah kecederaan yang berlaku semasa aktiviti fizikal khususnya ketika melakukan senaman seperti latihan bebanan, berlari, berenang dan senamrobik.

“Secara lazimnya ia membabitkan struktur atau fungsi badan yang disebabkan oleh faktor dalaman atau luaran. Kebanyakan pergerakan senaman mempunyai risiko tertentu yang boleh menyebabkan berlakunya kecederaan terutama jika dilakukan dengan teknik yang salah atau keterlaluan tanpa sebarang sesi pemanasan badan,” katanya.

Yazid berkata, sejak kebelakangan ini, ramai yang mula sedar dan mengambil tindakan untuk mula bersenam demi kesihatan diri.


YAZID

“Apabila saya kaji sendiri, ia berlaku kerana terdapat peningkatan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal atau senaman dalam usaha mendapatkan kesihatan yang baik.

“Namun perlu diingat, senaman yang dilakukan secara melampau, tanpa tunjuk ajar jurulatih bertauliah dan tidak dimulakan dengan gerakan pemanasan badan bakal menjadi punca berlaku kecederaan,” ujarnya.

Pencegahan bersama

Menurut Yazid, selain jurulatih kecergasan, individu terbabit berperanan besar dalam memastikan langkah pencegahan diambil untuk mengurangkan risiko kecederaan semasa berlangsungnya aktiviti senaman.

“Bagaimanapun, kecederaan tetap boleh berlaku walaupun semua jenis langkah pencegahan sudah dilakukan sama ada membabitkan faktor luaran atau dalaman.

“Apabila berlaku kecederaan ketika bersenam, jurulatih kecergasan atau mana-mana individu yang mengajar atau berada bersama-sama adalah orang pertama yang perlu bertindak menguruskan kecederaan itu tanpa berlengah,” katanya.

Katanya, disebabkan itu, paling penting untuk semua orang mengetahui dan memahami langkah pengurusan awal kecederaan sukan supaya kecederaan tidak melarat.


SEGERA dapatkan rawatan sekiranya berlakunya kecederaan ketika bersenam.

“Antara kecederaan ketika bersenam yang biasa berlaku adalah membabitkan kecederaan otot, tulang dan tisu penghubung. Apabila ia berlaku, jangan cepat panik kerana jika dirawat dengan betul, kecederaan itu boleh beransur sembuh dalam tempoh singkat asalkan mendapatkan pemeriksaan rapi dengan pakar perubatan sekiranya kecederaan itu serius,” ujarnya.

Perlu lakukan

• Pastikan anda bermula dengan perlahan dan beransur maju, terutamanya apabila membabitkan program latihan baru.

• Lakukan aktiviti pemanasan badan sebelum memulakan sebarang latihan kecergasan.

• Lakukan regangan dinamik iaitu regangan yang memerlukan pergerakan selepas aktiviti pemanasan badan dan regangan statik yang juga regangan tidak bergerak selepas latihan pada semua otot di dalam badan terutama otot besar.

• Berhati-hati dan jaga bahagian tulang belakang anda.

• Lakukan latihan yang seimbang.

• Latihan senaman anda mestilah meningkat secara beransur-ansur dan lakukannya tiga hingga lima kali seminggu sekurang-kurangnya 20 minit setiap sesi.

• Minum air yang kosong setiap masa diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi.

• Masukkan fasa menyejukkan badan dan regangan statik selepas program latihan.

• Lakukan latihan kardiovaskular, latihan bebanan, gerakan melentur dan otot teras untuk kestabilan.

• Pakai kasut sukan yang berkualiti.

• Makan jenis makanan yang betul dan sihat.

• Pelbagaikan jenis latihan untuk mengelakkan kebosanan.


DAPATKAN tunjuk ajar jurulatih bertauliah.

Peringatan

• Jangan paksa diri melakukan regangan yang melebihi dari zon selesa anda.

• Jangan melakukan senaman mencabar di kawasan tertutup, tiada pengaliran udara yang baik dan panas.

• Jangan tahan nafas ketika melakukan senaman.

• Jangan bersenam dalam keadaan sakit dan cedera .

• Jangan berdiri tegak secara tiba-tiba semasa latihan tahap tinggi.

• Jangan bersenam di atas lantai atau alas keras.

• Jangan bersenam di tempat yang terlalu ramai dan sempit.

• Jangan melakukan senaman yang tidak selamat dan berbahaya.

• Jangan korbankan kualiti senaman untuk kuantiti.

• Jangan lakukan latihan pada otot yang sama terutama apabila otot terlalu letih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 11:59 AM