AYAM kampung berempah.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Daging ayam adalah bahan yang biasa dimasak sebagai hidangan utama di rumah. Antara hidangan mudah dan ringkas disajikan adalah dengan menyediakan ayam goreng atau paling tidak sambal, gulai, sup atau tomyam.

Meskipun sekadar hidangan ayam goreng, ia sering menjadi pilihan dan kegemaran seisi keluarga terutama buat anak kecil. Menu ayam goreng memang mudah disediakan ditambah dengan aroma yang membuka selera sesiapa saja. Hidangan itu pasti bertambah lengkap jika dinikmati bersama nasi panas dan sayur.

Namun, ada kalanya pasti suri rumah teringin menghidangkan juadah berbeza untuk keluarga namun apakah menu paling mudah boleh disediakan?

Pengasas bersama Restoran De Sambal Ayam Kampung, Mohd Aminuddin Ibrahim dan Mohd Rimi Ismail berbesar hati berkongsi resipi turun-temurun keluarga yang menjadi kegemaran iaitu masakan ayam kampung berempah rangup dan mudah disediakan.

Menurut dua jejaka itu, penyediaan hidangan itu tidak sukar namun dengan bahan perapan lengkap dan tempoh perapan yang betul menjadikan hidangan itu sempurna.

“Mudah menyediakan ramuannya kerana bahan digunakan adalah bahan asas di dapur. Ini adalah resipi asal supaya anda boleh menikmati rasanya yang asli. Bagaimanapun boleh ubah suai ikut cita rasa masing-masing.

“Bagi mereka yang tidak begitu gemar masakan pedas, cara paling mudah ialah mengurangkan penggunaan serbuk cili dalam masakan ini.

“Di restoran ini, kami menggunakan ayam kampung sebagai bahan utama. Istimewanya menggunakan ayam kampung kerana selain lebih berkhasiat, ia kurang lemak dan jika digoreng ia lebih rangup dan menyelerakan,” katanya.

Restoran yang terletak di ibu negara itu turut menyajikan aneka hidangan ayam kampung dan pelbagai hidangan tradisi. Istimewanya, tujuh jenis sambal disediakan untuk dinikmati pengunjung secara percuma. Berikut langkah demi langkah menyediakan hidangan ayam kampung goreng berempah dan sambal merah.

Ayam kampung berempah rangup

Bahan-bahan

• 1 ekor ayam kampung (dipotong empat)

• Biji ketumbar

• 1 senduk serbuk ketumbar

• 1 senduk rempah kari

• 1 senduk serbuk cili

• 1 senduk serbuk kunyit

• 1 senduk kelapa parut

• 2-3 tangkai daun kari

• Minyak untuk menggoreng

Bahan kisar

• 6 batang serai

• 2 inci lengkuas

• 2 inci halia

• 2 labu bawang besar

• 2 labu bawang merah

• 8 ulas bawang putih


BAHAN-bahan.

Bahan untuk sambal merah

• 1 senduk cili kering (kisar)

• 1 senduk sos tomato

• 2 ulang bawang merah (diracik halus)

• Sedikit air asam jawa

• Gula dan garam†secukup rasa

Cara memasak

Campurkan kesemua bahan hingga sebati dan sedia dimakan.

Langkah-langkah


1. GAULKAN ayam dengan bahan kisar dan semua bahan dan perap sekurang-kurangnya setengah jam.

2. AYAM yang diperap siap untuk digoreng.

3. PANASKAN minyak dan masukkan ayam.

4. GORENG ayam hingga garing. Toskan bersama serbuk rempah rangup.

5. AYAM siap dan enak dihidang bersama nasi panas, sambal merah dan sayur kegemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 3:28 PM