HOMEPOD menjadi taruhan baru Apple.
MESIN tujuh inci boleh terima arahan suara dengan jelas.
PEMBESAR suara boleh faham suasana bilik.
IMAC Pro cantik.
IPAD Pro baru unggul.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Jika menonton filem sains fiksyen (terbaru Alien: Covenant), anda akan menyaksikan karakter utama berkomunikasi dengan mesin menggunakan arahan suara.

Walaupun nampak seakan-akan fantasi, hakikatnya teknologi terbabit tidak jauh dari kita. Amazon Echo dan Google Home antara contoh pembangunan teknologi terbabit namun ia masih belum sempurna.

Penulis menjangkakan teknologi arahan suara terbabit akan diguna sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Jadi, tidak hairan apabila Apple turut memberi keutamaan kepada teknologi sama yang menunjukkan betapa kita boleh lihat masa depannya semakin hampir.

Baru-baru ini, Apple melancarkan HomePod, menjadi gajet terbaru dalam senarai aksesori produk Apple yang beroperasi tanpa wayar untuk kualiti audio menarik disokong mikrofon berguna untuk berhubung dengan Siri.

Pembesar suara bersaiz tujuh inci itu membolehkan akses kepada Apple Music sekali gus pengguna berupaya mendengar 40 juta lagu tersenarai.

HomePod juga bertindak sebagai penerima arahan untuk menghantar mesej, mendapatkan berita terkini dan mengawal peranti pintar lain di rumah.

Bagi penulis, ia hanya permulaan kala Internet untuk segalanya (IoT) kini sudah matang bagi dieksploitasi sepenuhnya.

Bahang IoT membolehkan erti kata sebenar kepada ‘sambungan tanpa wayar’.

HomPod mempunyai tujuh ‘tweeter’ dengan masing-masing datang bersama pemacu sendiri di samping 4.0 inci ‘woofer’ bagi menghasilkan bunyi mantap dengan alunan lebih jelas dan terperinci.

Komponen dalaman HomePod diteruskan dikawal cip A8 yang berkuasa tinggi manakala teknologi khas juga diperkenalkan bagi membolehkan peranti menganalisis ruang bilik sebelum melontarkan audio bersesuaian dengan suasana semasa.

Kawalan sentuh asas juga diketengahkan dan penerima arahan suara boleh mengesan suara dan ton dengan lebih peka.

Setakat ini, penulis mengetahui keupayaan HomePod membolehkan pengguna memperoleh maklumat seperti ramalan cuaca terkini, berita, keadaan trafik, mengingatkan pengguna mengenai masa dan temujanji selain mendengar muzik sedia ada.

HomePod dibantu perisian dinamakan HomeKit yang mengandungi Siri iaitu pembantu peribadi digital diperkenalkan dalam iPhone sebelum ini.

Ia diperkenalkan ketika Kongres Pembangun Sedunia (WWDC) 2017 yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Siri yang menerima kemaskini memungkinkan ia memahami tabiat pengguna. Misalnya, jika anda bangun pagi dan mengaktifkan HomePod boleh mendengar muzik berdasarkan ‘mood’ ketika itu. Kalau sedang berdukacita, memang lagu sedihlah!

Arahan suara bermula dengan “Hey Siri” dan ia boleh membaca ungkapan dikeluarkan mulut tapi perlu jelas.

Setakat ini, belum lagi boleh berkomunikasi dengan bahasa Malaysia tapi penulis pasti ia akan diperoleh kurang dari setahun.

Potensi arahan suara terbabit jelas timbul apabila bertambahnya aplikasi telefon pintar yang boleh berinteraksi dengan perkakasan lain.

Ditambah pula, pesaing Amazon kurang mempromosikan produk masing-masing secara agresif dan syarikat yang memanfaatkan teknologi pembantu maya perlu memiliki objektif jelas untuk menyepadukannya dengan produk masingmasing.

Pengeluar produk elektronik perlu membangunkan ciri baru yang menepati skil Alexa bermakna kecerdasan pintar atau ‘artificial inteligence’ tidak terhad berasaskan apa yang sudah dibangunkan Amazon.

Dengan sedikit program pengaturcaraan yang ringkas, HomePod juga mampu mengunci pintu rumah tanpa anda menyentuh selak kunci atau memaklumkan kepada anda apabila basuhan pakaian dalam mesin basuh tamat tempoh.

Kaedah inilah yang memperlihatkan ciri positif Apple membolehkan kebanyakan perkakasan lain mampu dipadankan dengan HomePod.

Besar kemungkinan, Apple akan bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk memasarkan produk yang mesra HomePod.

Sejak tujuh tahun lalu, dunia menyaksikan Google memperbaharui fungsi sistem operasi Android dengan pantas sehingga ia bukan saja terhad kepada sistem operasi telefon pintar malah TV, jam dan komputer.

Salah satu kejayaan Android terbabit terbukti dengan keterbukaannya kepada syarikat lain untuk mengguna pakai sistem operasi terbabit sama seperti apa yang Amazon sedang lakukan melalui Alexa sekarang.

Meskipun sejarah Google cemerlang dengan penyelidikan arahan suara, ia baru saja mempromosikan Google Assistant kepada pihak ketiga bermakna Amazon mempunyai kelebihan di pasaran.

Selain HomePod, Apple turut melancarkan beberapa inovasi baru termasuk perkakasan dan kemas kini perisian yang lebih segar termasuk iPad Pro saiz 10.5 inci.

iPad Pro 10.5 inci dan 12.9 inci yang baru ini datang dengan teknologi ProMotion dan prestasi cip A10X Fusion yang menakjubkan.

Lebih menarik, iPad Pro saiz baru itu mengurangkan sempadan antara skrin dan peranti sehingga 40 peratus.

Ia turut disediakan dengan kemas kini perisian baru iOS 11, Dock aplikasi Files, pelbagai tugas dan penyepaduan Apple Pencil bermakna ia memberi pengguna daya kreativiti dan bekerja lebih produktif.

iOS 11 baru pula menambah ratusan ciri bagi memberi pengalaman baru kepada pengguna iPhone dan iPad menjelang Ogos nanti.

Kemas kini perisian baru with juga memberi lebih fungsi kepada pengguna iPad dengan aplikasi Files dan cara menggunakan Apple Pencil.

Nadi peranti, App Store turut menyaksikan perubahan apabila aksesnya kini di seluruh dunia dan mudah untuk meneroka aplikasi baru yang ingin dipindah turun.

Pentingnya, ciri aplikasi diberi nafas baru dengan penerangan terperinci, tip berguna dan pengumpulan aplikasi dicadangkan mengikut tabiat pengguna yang turut memaparkan pilihan lain pada dek.

Sehingga kini, lebih 180 bilion aplikasi dipindah turun di seluruh dunia untuk platform iOS.

Apple turut mengemas kini perisian watchOS untuk jam pintarnya dengan penambahan antaramuka, aktiviti, aplikasi latihan dan GymKit yang disesuaikan bersama peranti gim lain.

iMac Pro juga diperkenalkan dengan harga permulaan USD4,999 yang menjadi stesen kerja produktif kepada profesional yang memerlukannya.

Ia datang dengan paparan 27 inci Retina 5K, pemprosesan hingga 18 core Xeon selain grafik berkuasa 22 Teraflops.

Manakala iMac biasa pula datang dengan grafik yang tiga kali lebih pantas, Thunderbolt 3, storan pantas, paparan Retina lebih cerah dan berharga USD1,299.

Sementara itu MacBook dan MacBook Pro pula dikemas kini dengan pemprosesan Kaby Lake.

Turut diumumkan, macOS High Sierra yang menjadi versi baru sistem operasi desktop termaju dan ia boleh dikemas kini secara percuma bagi pengguna Apple menjelang Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 1:48 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »