Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Tidak keterlaluan jika penguji katakan iPhone X menjadi buah mulut dalam industri telefon pintar 2017.

Penguji menyaksikan fungsi kamera pada iPhone X ini sama dengan iPhone 8 Plus yang sudah direviu sebelum ini namun daripada aspek rekaan, ia sebuah iPhone yang baru!

Lain daripada aspek reka bentuk dan cara anda berinteraksi dengannya apabila setiap hari dimulakan dengan pengesan wajah serta paradigma UI ditonjolkan tanpa butang Home.

Ya, iPhone X adalah masa depan telefon pintar!

Kali pertama kita melihat iPhone X dari sudut belakang, ia mengingatkan kepada model iPhone 3GS namun tidak tebal seperti model terbabit dengan hanya 174g.

Sekiranya anda memiliki iPhone 6s dan ke bawah, mungkin boleh menukar kepada iPhone X dengan mengambil pakej daripada syarikat telekomunikasi jika bajet menjadi penghalang memandangkan harga iPhone ini bukannya murah.

Operasi utama telefon ini bergantung pada leretan jari dari bawah skrin ke atas untuk menu utama yang sebenarnya membolehkan iPhone X mempunyai paparan yang lebih besar berbanding iPhone 8 Plus.

iPhone X mempunyai panel AMOLED 5.8 inci yang pertama untuk iPhone sudah pasti menampilkan kecekapan kuasa mereka untuk menawarkan warna yang lebih terperinci. Sememangnya memandang paparan iPhone X memang hebat.

Sama seperti iPhone 8 dan iPhone 8 Plus, paparan iPhone X menyokong teknologi TrueTone Apple, ia juga boleh menunjukkan kandungan HD terus seperti Netflix dan portfolio Apple sendiri yang hebat terpancar di skrin.

Secara keseluruhannya, paparan iPhone X cukup hebat dan penguji boleh jamin ia yang terbaik yang pernah kita jumpa pada telefon pintar.

Apabila anda bercakap mengenai teknologi pengesan wajah pada iPhone X, pasti anda berasakan ia tidak selamat (boleh dibuka apabila pemiliknya sedang tidur).

Penguji mendapati jika pengguna dalam keadaan menutup mata, pengesan tidak akan membuka sewenang-wenangnya iPhone X dan akan bergantung kepada kata laluan (jika itu menjadi pilihan kedua bagi keselamatan).

Malah dalam keadaan bilik yang gelap pun sensor masih mampu mengesan wajah penguji.

Bagaimana dengan individu yang cacat penglihatan? Jangan risau kerana tetapan awal disediakan bagi golongan ini.

Ruang atas iPhone X dikhaskan untuk pelbagai sensor manakala iOS 11 memperkenalkan notifikasi yang direka bentuk semula seperti skrin kunci namun dengan Face ID anda mungkin tidak terlalu mengendahkan notifikasi yang boleh dibawa turun dengan meleretkan dari atas kanan skrin ke bawah.

Selain Face ID, kamera TrueDepth iPhone X membolehkan ciri baru yang dinamakan Animoji, ia sangat menyeronokkan meskipun anda hanya boleh lakukannya bersama pengguna iPhone X lain atau penerima yang juga pengguna iPhone mendapat iMessage berasaskan animoji selama 10 saat.

Hanya klik di iMessage dan apabila anda melihat ikon monyet, tekan saja sebelum dibawa ke pelbagai karakter lain.

Pandang skrin depan dan jadikan iMessage berasaskan emoji kepada rakan anda, memang seronok!

Nantikan reviu kedua saya mengenai kamera iPhone X pada minggu depan.

iPHONE X

• PENGELUAR: Apple

• CIRI: Telefon AR

• PRO: Kualiti binaan, teknologi, inovasi

• KONTRA: Harga boleh bikin sakit jantung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 2:33 PM