LAVINIA menunjukkan aplikasi Expedia dengan ciri AOA.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Platform agensi pelancongan bersepadu ‘online’, Expedia.com menerusi kajian pada Ogos lalu mendapati 52 peratus rakyat Malaysia menghabiskan masa lima jam sebulan melakukan penyelidikan untuk percutian mereka.

Ia melebihi masa yang diperuntukkan untuk mencari kerja (34 peratus), kesihatan (31 peratus), pembelian rumah (30 peratus) dan pendidikan anak (26 peratus).

Dari segi fokus dalam perbelanjaan, 72 peratus menggunakan simpanan sendiri berbanding kad kredit (50 peratus) dan kad debit (26 peratus).

Ketua Komunikasi Serantau Jenama Expedia Asia, Lavinia Rajaram berkata, dalam kajian terbaru mendapati isu mencari harga terbaik bagi pengangkutan dan penginapan menjadi faktor utama rakyat Malaysia.

“Menyedari hakikat terbabit, kami memperkenalkan skim Add-On Advantage (AOA) yang membolehkan pelancong Malaysia memperoleh diskaun sehingga 58 peratus untuk penginapan selepas melakukan pembelian pengangkutan.

“Ia terbuka untuk mana-mana lokasi sama ada dalam atau luar negara dengan kerjasama vendor kami yang menyertainya,” katanya.

Katanya, AOA tidak mempunyai tarikh luput dan ia terbuka sebaik tempahan seperti penerbangan dilakukan sehingga tarikh berlepas.

“Misalnya, sekiranya pengguna membeli tiket kapal terbang dan mahu memikirkan dulu lokasi penginapan, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sehingga tarikh bertolak,” katanya.

Menerusi kerjasama dengan lebih 550 syarikat penerbangan dan 750,000 hotel di seluruh dunia, laman web dan aplikasi Expedia menyediakan pelbagai pakej percutian menarik dengan harga yang kompetetif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:06 PM