KEPELBAGAIAN rekaan botol Coca-Cola jadi tarikan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pameran jenama minuman terkenal, Coca-Cola memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung di Berjaya Times Square Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila lebih 100 pengumpul dari dalam dan luar negara berkongsi koleksi terkini dan vintaj dimiliki bersama peminat di negara ini.

Daripada tin edisi terhad, botol dan kotak yang mengandungi set barangan sempena musim perayaan, juga acara sukan serta bertemakan filem tertentu sehinggalah pelbagai barangan Coke yang memaparkan warna merah dan putihnya, pesta ini membuatkan peminat dan pengunjung leka meneliti koleksi berharga jenama itu.

Diadakan buat kali ketujuh, pameran itu terus menyemarakkan semangat pengumpul barangan Coca-Cola dengan menghimpunkan mereka yang mempunyai minat sama dari seluruh dunia. Pengumpul dari Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Korea, Filipina, Thailand, Singapura, Sepanyol dan Turki mempamerkan koleksi peribadi masing-masing dengan kebanyakan mereka menjual dan bertukar sesama sendiri untuk menambah koleksi yang ada.

Mohd Nazrin Mokhtar, 38, yang menyertai pameran itu menganggap ia perkara cukup bermakna kerana berpeluang berkongsi minat sama dengan rakan dari seluruh dunia.

Katanya, bagi kebanyakan orang, barangan itu mungkin tiada harga tetapi bagi pengumpul barangan Coca-Cola sepertinya yang turut menjadikan rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan sebagai galeri, nilainya tidak boleh diukur dengan wang.

“Walaupun hampir 20 tahun mengumpul koleksi barangan berkenaan, saya tidak pernah berasa bosan dan semakin gemar menjadikannya sebagai simpanan peribadi.

“Barangan paling istimewa ialah botol Coke bertulisan Arab yang pertama kali saya kumpul ketika bertugas di Jeddah kira-kira 15 tahun lalu,” katanya.

Mohd Nazrin berkata, kerjaya di syarikat minyak dan gas sering menuntutnya mengembara ke serata negara dan memberi kelebihan untuk mengumpul koleksi dari pelbagai negara dikunjungi.

Bagi Nik Ahmad Syahmil Atif Syah, 27, penyertaannya dalam acara berkenaan untuk memenuhi minat selain berkongsi dan bertukar idea bersama pengumpul barangan Coca-Cola lain.

Katanya, hobi itu bercambah sejak di bangku sekolah rendah dan selama 15 tahun dia mengumpul ribuan barangan antaranya tin, botol dan poster dari pelbagai negara.

“Asalnya saya hanya mampu kumpul botol keluaran dalam negara memandangkan saya masih bersekolah, namun apabila bekerja dan ada duit sendiri, saya dapatkan koleksi dari luar negara pula.

“Keunikan barangan ini terletak pada labelnya yang sentiasa berubah mengikut tahun, budaya dan negara. Koleksi paling bermakna adalah botol keluaran khas sempena perkahwinan Puteri Diana (mendiang) dan Putera Charles yang berlangsung pada 1981 di London,” katanya yang sanggup datang dari Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menyertai pameran itu.

Muhamad Luqman Zainal Abidin, 23, berasal dari Kuala Lumpur juga antara pengumpul barangan Coca-Cola sejak 15 tahun lalu, tidak melepaskan peluang menyertainya.

Katanya, dia mula mengumpul koleksi barangan itu sejak tahun dua dan koleksi paling banyak dikumpul adalah tin kecil bersaiz 100 mililiter (ml) namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hatinya mula tertarik pada koleksi botol aluminium.

“Saya mendapati tin lebih mudah meletup dan pada 2015 baru saya terjumpa botol aluminium edisi Sukan Olimpik dan Euro dan mula mengumpul keluaran dari Amerika Syarikat, Thailand, Eropah dan Mexico.

“Saya membelinya menerusi dalam talian selain menyertai kumpulan peminat Coca-Cola di Facebook untuk jual beli barangan itu.

“Saya juga tidak mahu ketinggalan mengumpul lebih banyak barangan Coca-Cola kerana berminat dengan reka bentuknya yang unik,” katanya.

Pameran itu bukan saja menarik minat golongan muda, malah turut mendapat perhatian wanita berusia 59 tahun, Lily Chee Abdullah yang berkongsi hobi bersama suami, Mohd Nordin Mohd Piah, 73.

Menurutnya, mereka mempunyai bilik khas di rumah di Kelana Jaya untuk menempatkan semua koleksi bagi mengelakkan barang yang dikumpul rosak.

Jika difikirkan, memang tidak logik untuk mengumpul botol dan tin yang banyak di dalam rumah, namun disebabkan minat yang mendalam pada rekaan koleksi itu, dia tidak kisah berhabis demi memenuhi hobinya itu.

“Semuanya bermula kira-kira 15 tahun lalu apabila kakak saya menghadiahkan tin minuman itu ketika berkunjung ke Korea Selatan. Rekaan pada tin itu amat unik kerana memaparkan tulisan Korea dan sejak itu timbul minat untuk meneruskan hobi ini.

“Minuman Coca-Cola boleh didapati di seluruh dunia. Bentuk botol dan barangan ada kalanya direka dengan tema tertentu seperti sukan dunia, budaya sesebuah negara dan tidak ketinggalan sempena perayaan atau sambutan satu-satu acara,” katanya.

Ditambah dengan kehadiran suami yang sering memberikan sokongan, Lily memandang serius hobinya itu dan tidak kisah berhabis wang untuk mendapatkan koleksi dari pelbagai negara atau edisi terhad.

Acara sehari itu turut memaparkan tema Malaysia bagi meraikan sambutan ke-60 kemerdekaan negara. Pelawat pada pameran itu juga berpeluang merakamkan gambar bersama trak vintaj penghantaran Coca-Cola, menyertai permainan di pentas dan permainan Xbox dan VR (realiti virtual).

Menurut Pengarah Pemasaran Coca-Cola Malaysia, Tish Condeno, pelbagai barangan pameran dibawa khas bukan saja untuk peminat setianya juga orang ramai yang mengunjungi acara terbabit.

“Disokong Kelab Pengumpul Coca-Cola Malaysia, ilham mengadakan pameran ini bagi menghimpunkan penggemar jenama Coca-Cola dan warisan dimiliki, untuk melabur masa serta sumber bagi menambah koleksi dengan barangan jarang dan sukar ditemui.

“Pengumpul Coca-Cola sudah lama menantikan acara seperti ini dan inilah cara untuk memenuhi permintaan mereka itu,” katanya.

Acara sehari itu diadakan setiap tahun sempena Hari Pengasas Coca-Cola iaitu pada 8 Mei, tarikh Coca-Cola mula dijual di Atlanta, Georgia pada 1886 iaitu 130 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 1:16 PM