BERSAMA produk keluaran syarikatnya.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Pertemuan pagi itu berlangsung dalam suasana santai. Wanita kecil molek ini ramah melayan pelbagai soalan. Tidak sombong, malah cukup terbuka berkongsi cerita mengenai minat, pengalaman berniaga sehinggalah hal berkaitan keluarganya.

Bagi Datin Seri Siti Noor Asikin Muhammad, kesena­ngan yang dikecapi hari ini tidak datang bergolek, sebaliknya itulah hasil kerja keras dan bukti kesungguhan dirinya dalam memajukan perniagaan selama lebih dua dekad.

“Saya dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tanah Merah. Pada usia 19 tahun, saya berkahwin dengan Datuk Seri Mohd Suparadi Md Noor dan kami dikurniakan empat anak, seorang lelaki dan tiga perempuan,” katanya.

Menurut Siti Noor Asikin, dia percaya minat menceburi bidang perniagaan timbul secara semula jadi, sebagaimana dilalui kebanyakan anak Kelantan lain.

“Kalau dilihat secara kasar, orang Kelantan memang minat berniaga terutama wanita Walaupun terikat dengan tanggungjawab menguruskan anak dan keluarga, suami tidak pernah jemu memberi dorongan untuk saya memulakan perniagaan.

“Sehinggalah 1990-an, saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan dan memulakan bisnes salun kecantikan di Yow Chuan Plaza (kini menempatkan Hotel Double Tree by Hilton).

“Tidak cukup dengan itu, saya juga membuka agensi pelancongan dan butik pakaian di Ampang Park, Kuala Lumpur.

Namun, kejatuhan ekonomi pada awal 1997, memberi kesan besar kepada perniagaan sehingga saya terpaksa menjual semua kepentingan dan kembali menumpukan perhatian penuh kepada keluarga dan anak,” katanya.

SEMANGAT TAK PERNAH PUDAR

Sekalipun diuji pelbagai dugaan sepanjang 1997, ia tidak sedikit pun mematah­kan semangat wanita ini untuk meneruskan cita-cita bergelar ahli perniagaan berjaya. Malah, tempoh bersama keluarga dan anak dijadikan sandaran terbaik untuk dirinya mengutip semangat baru.

“Saya kembali dalam dunia perniagaan sekitar 2008, iaitu selepas anak besar. Ketika itu saya diberi peluang mengusahakan kantin di beberapa sekolah di Ampang.

“Sama seperti keba­nyakan pengusaha kantin lain, saya juga bermula de­ngan satu sekolah sehinggalah diberi peluang mengendalikan empat sekolah. Alhamdulillah, rezeki ini masih kekal,” katanya tersenyum.

Hari ini, sekalipun sedar berdepan saingan yang lebih besar, Siti Noor Asikin terus mengambil sikap optimis. Dia nekad mempelajari kaedah menghasilkan produk kosmetik berkualiti demi melebarkan sayap perniagaannya dalam bidang itu pula.

“Saya lakukan atas dasar minat. Saya gembira kerana dapat menyediakan penyelesaian kosmetik terbaik untuk ramai pengguna, khususnya wanita. Saya mula menilai peluang dan melihat sejauh mana hala tuju perniagaan kosmetik.

“Kemudian barulah saya dapat lihat pasaran produk kosmetik sebenarnya tidak pernah terbatas. Malah ia adalah industri yang kalis pada kesan ekonomi.

Oleh itu, pada 2014, berbekalkan modal bersama suami dan dorongan seorang kenalan yang juga pakar estetik, saya memulakan pengeluaran produk kecantikan yang berasaskan bahan semula jadi, Sweedskin di bawah syarikat SNA Wellness Internasional Sdn Bhd.

“SNA ialah singkatan kepada Siti Noor Asikin atau Supardi Noor Asikin. Saya mengambil pendekatan berbeza untuk menaikkan jenama dengan meletakkan diri sendiri di posisi pelanggan. Dengan cara itu, barulah saya membuat keputusan mengenai jenis produk yang hendak dihasilkan dan dipasarkan kepada umum,” katanya.

PRODUK KOSMESEUTIKAL

Memilih hanya yang terbaik untuk diangkat sebagai produk keluarannya, Siti Noor Asikin berkata, idea membangunkan produk menggunakan ekstrak daun keladi (celtonyl) dan lumut salji timbul ketika dia dan suaminya, menyertai pameran kosmetik di Jerman beberapa tahun lalu.

“Tertarik dengan keunikan celtonyl, kami mengambil keputusan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk selama lima tahun dengan kerjasama makmal Solabia Group, Perancis dan Mibelle Group Biochem, Switzerland.

“Dari situ, terhasil produk Sweedskin yang bebas bahan terlarang termasuk pengawet, silikon, paraben, minyak mineral, pewarna dan alkohol. Pada masa sama, kami juga berjaya membongkar rahsia kehebatan ekstrak serbuk lumut pergunungan Alps yang mempunyai ketahanan hidup dalam pelbagai musim.

“Ekstrak keladi berkesan mengaktifkan sel baharu kulit dan membantu menghaluskan kulit wajah. Ia juga boleh merawat tumit merekah dan membantu kanak-kanak yang mengalami masalah ekzema. Sehing­ga

kini, rangkaian produk jenama ini sudah menakluki pasaran klinik estetika dan farmasi terpilih di seluruh negara. Ternyata ia bukan sekadar produk penjagaan wajah malah bertindak sebagai produk kosmeseutikal,” katanya.

Jelas Siti Noor Asikin, dia begitu teruja dengan kejayaan syarikatnya menghasilkan produk berkualiti dan terjamin. Menurutnya, kosmeseutikal berbeza dengan fungsi kosmetik kerana berupaya merawat secara dalaman.

“Apa yang penting, kami mahu mendidik ramai wanita bahawa produk selamat memang mengambil masa untuk merawat tetapi hasilnya lebih baik berbanding produk yang tidak diketahui punca ekstraknya atau had penggunaan bahan kimia,” katanya.

KERJA AMAL

Selain aktif dalam dunia perniagaan, Siti Noor Asikin tidak sesekali melupakan tanggungjawab untuk membantu masyarakat. Selaku Penaung Srikandi Pakat iaitu Pertubuhan Anak-Anak Tanah Merah, dia sentiasa berlapang dada membantu mengurangkan beban kelompok miskin tegar dan mangsa bencana.

“Pertubuhan ini mempunyai kira-kira 8,000 ahli, tidak termasuk di Kuala Lumpur. Setiap ahli diberikan khairat kematian (18 hingga 64 tahun) dengan tajaan RM10 selama tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 1:18 PM