CEF NAEM
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Siapa sangka, daripada seorang yang gemar ponteng kelas, bergaduh dan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya ketika zaman persekolahan dulu mampu berubah menjadi individu berjaya.

Lebih membanggakan apabila jejaka ini dapat mengubah sikap ego kepada individu yang gemar belajar pelbagai kemahiran dalam bidang masakan.

Disebabkan terlalu meminati bidang berkenaan, dia banyak menghabiskan masa dengan belajar kerana menganggap bidang berkenaan perlu dilakukan secara serius jika ingin berjaya.

Baginya, setiap individu mampu berubah ke arah yang lebih baik, namun memerlukan pembimbing untuk berjaya dan menjadi lebih positif.

Berubah jadi positif

Muhammad Naim Ramli, 26, atau lebih dikenali dengan panggilan Cef Naem mengakui perubahan positif itu berlaku tanpa disedari, itupun selepas dia menceburi bidang kulinari yang sangat diminatinya sejak di bangku sekolah lagi.

Cef selebriti ini mula dikenali selepas menjadi juara dalam program realiti masakan, Hero Oven pada tahun lepas.

”Saya mula belajar memasak dengan emak sejak berusia 13 tahun lagi dan apabila memasuki usia 15 tahun, saya memasang impian untuk menjadi tukang masak.

”Ibu gemar menguji kebolehan saya dengan menyuruh mengenal pasti bahan digunakan dalam masakan yang disediakan dan dia tersenyum bangga apabila saya dapat menekanya.

”Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya meneruskan pengajian dalam bidang kulinari dengan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua di Taylor’s College,” katanya.

Kemudian, dia meneruskan minatnya dengan mula bekerja di restoran selama setahun sebelum berhenti untuk mengambil SKM tahap tiga. Dia bersyukur kerana setiap percubaan dan peluang bekerja dalam bidang berkenaan sangat mudah.

Selepas tamat tempoh kursus, dia meneruskan kerjayanya di beberapa hotel terkemuka di bahagian dapur termasuk menyediakan pastri, masakan Barat, Jepun dan Melayu selama hampir lapan tahun.

Sepanjang bekerja di bahagian dapur di hotel, dia pernah menyertai pertandingan yang diadakan setiap dua tahun sekali, Food & Hotel Asia (FHA) pada 2012 bagi menambah pengalaman menarik dalam bidang kulinari.

Mendengar saranan ibu yang mahu dia menunjukkan kemahiran menerusi Hero Oven mengubah nasibnya.

”Pada mulanya, memang saya tidak berminak menyertainya kerana sudah biasa bekerja di belakang tabir berbanding di depan kamera. Sebenarnya saya seorang yang gementar apabila berdepan dengan kamera.

“Namun, apabila saya berjaya mengalahkan peserta lain terdetik di hati untuk keluar daripada zon selesa dengan bekerja keras mencuba nasib menjadi cef selebriti pula.

“Sememangnya, saya seorang yang suka mencuba perkara baru dan gemar mengambil risiko. Jadi awal tahun ini saya meninggalkan kerjaya di hotel,” katanya.

Biarpun sedar bidang berkenaan ada pasang surutnya, dia tidak kisah asalkan dapat mencuba pengalaman baru dan diminatinya. Kini, dia bersyukur kerana banyak tawaran pengacaraan program masakan yang diterima namun harus sentiasa belajar dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik.

Terapi diri, jaga kesihatan

“Jika tidak memasak dalam sehari, hidup saya rasa seperti tidak lengkap. Memandangkan saya tinggal bersama keluarga, tidak ada masalah menyediakan hidangan untuk mereka.

“Malah, saya anggap aktiviti memasak sebagai terapi ketika penat atau tertekan. Memasak juga dapat memastikan setiap hidangan yang saya ambil bersih dan sihat,” katanya.

Jelasnya, selain gemar berkunjung ke gimnasium untuk bersenam, dia juga sangat menitikberatkan makanan yang diambil setiap hari. Pada masa sama, dia ingin mengubah persepsi dengan penampilan cef yang lebih sihat dan tampak menarik di samping mengetengahkan masakan Melayu atau berkaitan kulinari melalui program di televisyen serta ceramah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sederhana sambut Syawal

Sejak bekerja, jarang sekali dia bercuti raya kerana berasakan ada rakan sekerja yang sudah berkahwin atau benar-benar memerlukan cuti untuk pulang ke kampung.

”Kampung saya dekat saja, di Gombak. Sudah menjadi tradisi kami berkumpul untuk memasak rendang ayam dan daging serta berbuka bersama seisi keluarga di rumah nenek.

”Justeru, tidak ada masalah jika saya tidak bercuti raya kerana kami sudah pun bertemu pada malam raya. Namun, ada kalanya terdetik di hati untuk merasai suasana beraya di kampung kerana belum pernah merasainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 11:14 AM