PHANG (kanan) dan Wendy berganding bahu meluaskan empayar jenama mereka.
ANTARA fesyen jenama mereka yang diperagakan.
ANTARA fesyen jenama mereka yang diperagakan.
PHANG (kiri) dan Wendy (kanan) pada acara peragaan fesyen jenama mereka.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, begitulah juga dalam mengecapi kejayaan yang diidamkan.

Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha, minat dan kesungguhan. Malah, kejayaan juga tidak mampu dimiliki jika bakat atau kemahiran yang ada dipandang sepi.

Mencuba bidang yang diminati tidak salah, asalkan kita mempunyai ilmu mendalam mengenainya terutama jika mahu menceburi dunia perniagaan.

Jika bijak mengenal pasti kemahiran, bakat atau minat, pastinya kejayaan demi kejayaan mampu dikecapi jika ia disulami dengan usaha tanpa kenal erti putus asa.

Sama seperti tiga wanita ini, Wendy Tai, Phang Ju Nn dan Michelle Chong yang berkongsi minat sama, akhirnya membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka.

Mengorak langkah berani

Masing-masing memiliki latar belakang berbeza, namun mempunyai satu minat yang sama iaitu pada rekaan unik dan berkualiti tinggi. Disebabkan minat menguasai segalanya, tiga wanita ini tekad memulakan perjalanan membina label sendiri, Duchess & Co.

“Saya dan Wendy mahu membina jenama tempatan dengan konsep feminin, elegan, sesuai dipakai pada bila-bila masa yang direka sendiri dan sedia dipakai dalam sentuhan moden.

“Semuanya bermula apabila Wendy tahu saya berminat dalam dunia fesyen dan sentiasa membantu menghasilkan rekaan dengan jenama saya sebelum ini.

“Wendy pula sudah 10 tahun berjinak-jinak dengan industri ini dan berpengalaman luas dalam dunia pembuatan serta pengurusan perniagaan fesyen sekali gus memutuskan untuk membina jenama bersama,” kata Phang.

Ujarnya, jenama berasaskan portal fesyen dalam talian diperkenalkan itu berkembang pantas menjadi perniagaan runcit yang diwarnai dengan rekaan yang dicipta untuk keselesaan dan gaya.

Pada September 2013, label dalam talian itu dirasmikan dan diikuti dengan pembukaan stor fizikalnya di Telawi 2, Bangsar, Kuala Lumpur pada April 2014.

Jenama berkenaan sekali lagi mencipta nama apabila membuka stor keduanya di Plaza Gurney, Pulau Pinang selepas sembilan bulan diperkenalkan berdasarkan permintaan yang meningkat daripada pelanggannya di sana.

Menawarkan pelbagai pilihan pakaian, kasut dan aksesori, jenama yang memenuhi keperluan wanita itu sentiasa menampilkan siluet klasik dengan sentuhan moden.

Jenama berkenaan terus berbangga memperkenalkan dimensi baru fesyen wanita melalui koleksi unik, elegan dan himpunan sedia dipakai (RTW) yang tidak lapuk dek zaman .

Semua rekaan dihasilkan direka sendiri dan disiapkan dengan material berkualiti menggunakan kombinasi fabrik serta perincian terpilih untuk mewujudkan keindahan, namun tampak bergaya dan sesuai digayakan ke pelbagai acara.

Bagi melebarkan sayap jenamanya ke rantau Asia Tenggara dan memberi idea kepada wanita bergaya tanpa batasan dengan lebih berkeyakinan, stor label berkenaan akan dibuka di Singapura dan Indonesia tidak lama lagi.

“Setiap rekaan dihasilkan akan dinilai dan dikaji penuh teliti agar elemen yang ditampilkan berdasarkan tema dipilih mampu memenuhi trend akan datang.

“Setiap rekaan yang ditampilkan tidak mengikut musim tetapi membawa nama jenama. Oleh itu, kami perlu memastikan setiap koleksi yang ditampilkan berbaloi untuk dimiliki.

“Malah, ada rekaan seperti pakaian atas (top) yang boleh dipakai dengan gaya tanpa lengan atau sebaliknyaAda juga skirt yang disiapkan dengan dua warna untuk penampilan berlainan setiap kali ia dipakai,” katanya.

Jelasnya, untuk berjaya mereka perlu menghadapi cabaran dan ia menjadi faktor utama kejayaan pada hari ini. Mereka akui, masing-masing menghadapi cabaran berbeza setiap hari dalam pelbagai aspek bermula daripada kreativiti rekaan, memperluaskan jenama ke negara berbeza, pengurusan manusia hingga pemasaran dan banyak lagi.

Namun, mereka percaya dengan visi yang disemat dan berkongsi matlamat sama, mereka boleh menghadapi semua cabaran.

“Bagi kami, buatlah apa saja minat yang kamu percaya atau yakin memberi pulangan kepada diri dan berusaha bersungguh-sungguh kerana satu hari nanti pasti kejayaan mampu dikecapi.

“Jangan mudah berputus asa dan teruskan mencuba biarpun berulang kali tersungkur. Apabila kita benar-benar inginkan sesuatu, kita akan berusaha sedaya upaya. Percayalah, satu hari kejayaan akan menyusul.

“Kami berpegang pada prinsip, lakukan yang terbaik supaya hidup tiada penyesalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 11:22 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »