JUZAIRIAH
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Langkah wanita ini tersusun kemas. Bicaranya tenang berselang senyuman yang tidak pernah lekang. Berkali-kali juga Juzairiah Wazir, 41, melontar pertanyaan mengenai isi cerita yang hendak dibualkan.

Wanita ini pada asasnya bukanlah calang-calang orang. Beliau pernah diangkat sebagai Wanita Cemerlang Nona pada 2012, menerima Anugerah Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Tesco pada 2015 dan dinobatkan Tokoh Usahawan Negeri Selangor tahun lalu. Namun, sikap merendah dirinya menjadikan wanita ini sentiasa berpijak di bumi nyata.

Meneliti pencapaian yang dibina sejak hampir 11 tahun lalu, Juzairiah sebenarnya mampu menjalani hidup mewah dan glamor sebagaimana kebanyakan usahawan wanita lain di negara ini.

Namun, tekad dan cita-cita luar biasa yang digenggam wanita ini dijadikan batu asas untuk tidak mudah tenggelam serta hanyut dalam arus populariti.

Kebangkitan dulu

Sungguhpun tidak lokek berkongsi pengalaman dan cerita lama, Juzairiah masih berpegang kepada prinsip untuk tidak terlalu terbuka dalam mendedahkan latar belakang keluarganya.

“Ramai tidak tahu saya ibu tunggal yang mempunyai dua anak remaja. Memadai jika saya katakan perpisahan dengan bekas suami berlaku kerana jodoh yang tidak panjang. Alhamdulillah, saya bertuah kerana anak cukup memahami walaupun mereka tinggal bersama neneknya.

“Untuk diri saya, perjalanan yang ditentukan Allah SWT ini cukup indah. Sekalipun terpisah dengan anak, Dia beri saya kekuatan untuk memulakan hidup dengan semangat dan jiwa yang cukup kental.

“Saya tidak pernah kesal malah percaya setiap ketentuan itu berlaku dengan hikmah tertentu. Tanpa masa lalu, saya mungkin tidak dapat me­ngutip kejayaan hari ini. Paling utama, anak sentiasa ada dan kini membesar menjadi insan berguna,” katanya.

Menurut Pengarah Urusan JW United Group ini, sebelum membabitkan diri dalam bidang perniagaan, beliau bekerja di sektor perbankan. Selepas lapan tahun berkhidmat, wanita ini mengambil keputusan mengundur diri untuk memberi lebih komitmen kepada anak dan keluarga serta berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Saya bukan anak orang kaya seperti yang disangka kebanyakan orang. Selepas kebahagiaan yang dibina bersama suami putus di tengah jalan, saya cuba berdiri sendiri. Ba­nyak dugaan pahit yang terpaksa saya lalui. Ada yang hampir memusnahkan impian untuk berbakti kepada kedua-dua orang tua. Hanya kepada Allah saya mengadu.

“Sehinggalah tiba pada suatu masa, saya dipertemukan seorang kawan dengan kenalannya dan ditawarkan jawatan pengarah urusan kepada sebuah syarikat. Dari situ, saya bangkit membina kekuatan diri dan belajar mengenai selok-belok dunia perniagaan sebenar,” katanya.

Jelas Juzairiah, banyak pengalaman dan ilmu berharga yang ditimba sepanjang menjadi pengarah urusan sehinggalah beliau mampu membina empayar dan mengukuhkan kedudukan dalam sektor perniagaan menerusi syarikat miliknya sendiri, JW United Group.

“JW adalah gabungan gabungan nama saya dan ayah. Syarikat ini mengusahakan pelbagai jenis perniagaan menerusi enam cabang anak syarikat termasuk pembinaan, makanan dan minuman, landskap, pengiklanan serta pengurusan majlis.

“Bagaimanapun, permulaan saya hanya dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran barang sebelum mengusahakan syarikat JW Food & Beverages Sdn Bhd. Ketika itu saya tidak pernah menganggap diri sebagai usahawan, sebaliknya mengambil jalan nekad untuk berniaga seperti kebanyakan peniaga lain.

“Syukur kepada Allah SWT, dengan azam tinggi dan kesungguhan, produk yang saya pasarkan berjaya menembusi pasaran pasar raya besar. Hampir semua perancangan berjalan lancar. Walaupun ada juga pahitnya, saya berusaha menyahut seruan kerajaan mengkomersialkan produk makanan dan minuman berstatus halal ke peringkat global,” katanya.

Membantu IKS

Satu kelebihan yang sukar disangkal pada anak kelapan daripada 12 beradik ini adalah bijak mengintai ruang dan peluang. Selain fokus kepada perniagaan, Juzairiah juga aktif berpersatuan. Bagi wanita ini, penyertaan dalam persatuan boleh memberi impak positif buat dirinya dan syarikat. Malah, dengan berpersatuan juga beliau mengenali ramai pengusaha berjaya.

“Saya pernah menyandang jawatan Ketua Biro Wanita Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), dilantik sebagai Ahli Jawatan Kuasa untuk Biro Wanita PERDASAMA, menjadi Timbalan Presiden Kelab Usahawan Negeri Selangor dan Ahli Jawatan Kuasa Pembangunan Perniagaan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur(DPPM).

“Penyertaan dalam persatuan sebegini penting dalam menguatkan jalinan perniagaan dan pada masa sama mengembangkan rangkaian sosial. Saya dapat menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman. Paling utama, pembabitan sebegini jugalah yang mendorong saya untuk terus aktif dan bertahan dalam perniagaan.

“Tahun ini, saya ditauliahkan sebagai mentor, kaunselor perniagaan dan pelatih industri bagi agensi kerajaan berkaitan. Memandangkan ini peluang baru, saya nekad untuk tidak terikat dengan sebarang komitmen bersama NGO sehingga tamat program latihan.

“Secara peribadi, ini antara saat bermakna yang paling saya nantikan sepanjang bergelar usahawan. Kalau boleh, saya mahu merealisasikan objektif, membangunkan usahawan industri kecil sederhana (IKS) yang mampu berfikir dan bertindak dalam imej korporat. Ini boleh dilaksanakan mana-mana pengusaha IKS sekalipun. Mereka tidak perlu menunggu sehingga mencapai angka jualan jutaan ringgit.

“Peluang sebegini cukup berharga untuk direbut. Mereka (pengusaha IKS) bukan setakat menaik taraf usahawan kecil ke peringkat lebih tinggi, tetapi berpeluang menembusi pasaran sebenar. Saya mahu ubah penetapan minda (mindset) sebahagian besar peniaga IKS kini yang hanya menyasarkan pasaran ekspo, karnival dan jualan bazar. Sedangkan kita punya kuota untuk menembusi pasaran yang lebih besar (pasar raya besar),” katanya.

Ogos, bulan wanita

Sempena kedatangan Ogos, Juzairiah mengajak semua wanita mengutip semangat daripada masa lalu untuk dijadikan kekuatan menempuhi pelbagai cabaran di masa akan datang.

“Tidak kira ibu tunggal, isteri, wanita teraniaya, suri rumah dan mereka yang berkerjaya, mereka perlu mengenali kelemahan, kekurangan, kelebihan serta kekuatan diri untuk maju ke hadapan. Mengimbau semula kehidupan saya dulu, saya sendiri tidak tahu mampu pergi sejauh ini.

“Sehingga kini, saya masih memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba dan beranikan diri meneroka dunia di luar ‘tembok’ kemampuan diri. Mungkin kebanyakan kita lebih suka memilih jalan hidup selesa. Namun jika diintai peluang selepas tembok yang memisahkan kita dengan kemampuan diri sebenar, boleh jadi banyak lagi peluang baru menanti untuk diteroka.

“Apa yang penting, kita mesti tahu mengawal situasi sedia ada (status diri) dan elakkan pengaruh emosi untuk melangkah ke depan. Berjuanglah semampunya dan bersikap matang dalam membuat sebarang keputusan.

“Andai saya mampu bangkit untuk diri sendiri dan memberi semula kepada masyarakat, anda juga tentu boleh!” serunya bersemangat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 4:52 PM