Tuan Asri Tuan Hussein

Seperti kebanyakan orang pada zaman siber ini, saya juga ada akaun Facebook (FB). Tapi, saya bukan kaki FB aktif. Saya lebih minat membaca apa yang dimuat naik dan dikongsi oleh rakan FB lain.

Melaluinya, saya dapat tahu dan belajar banyak perkara, ada yang baik dan ada yang buruk. Semuanya perlu bijak saya urus, tapis dan manfaatkan. Yang baik jadikan teladan, yang buruk pula jadikan sempadan.

Kali ini, saya tertarik untuk berkongsi dan mengambil pengajaran daripada kandungan yang dimuat naik dua rakan FB saya yang kedua-duanya secara kebetulan ada perkaitan.

Rakan pertama yang juga seorang pensyarah sebuah universiti awam tempatan memuat naik mengenai pertemuannya dengan seorang wanita berkelulusan ijazah sarjana muda perakaunan yang kini mencari rezeki sebagai pembantu rumah.

Wanita berusia 26 tahun itu saya perkenalkan sebagai Lin kini memberi khidmatnya kepada adik rakan saya yang baru lepas bersalin dan masih dalam pantang.

Menurut catatan di FB rakan saya itu, Lin bekerja dari jam 10 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat dan tidak kisah dengan tanggapan orang lain kerana baginya, zaman sekarang tidak boleh memilih kerja.

Yang penting kena rajin. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah pegangannya. Kata Lin, dengan pekerjaan itu dia boleh dapat RM80 hanya untuk tempoh empat jam bekerja. Kalau rajin, sebulan dia boleh dapat RM3,000.

“Kerja ini lebih mudah dan ada waktu kerja fleksibel. Kalau kerja dengan swasta pun gaji permulaan baru RM2,500. Belum lagi potong itu ini. Selepas dipotong, baki gaji bersih tinggal ‘ciput’ saja,” kata Lin sebagaimana ditulis dalam FB rakan saya.

Kata Lin lagi, dia anak orang susah dan tahu apa makna perjuangan dalam kehidupan. Ditakdirkan, anaknya yang baru berusia enam bulan menghidap penyakit jantung. Jadi, dia perlu lebih gigih dan tabah untuk membantu suaminya mencari pendapatan untuk keluarga mereka.

Lin ada visi dan misi dalam hidupnya. Dia bukannya nak jadi pembantu rumah sampai bila-bila dan mensia-siakan ijazah perakaunan dimilikinya.

“Ini semua hanya untuk sementara. Yang penting saya dapat duit halal. Insya-Allah saya bercadang nak melanjutkan pengajian dan merealisasikan cita-cita saya untuk jadi pensyarah,” katanya.

Seorang lagi rakan saya yang juga pegawai kerajaan memuat naik di FB pengalamannya menggunakan khidmat kereta pemandu Uber untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Menariknya, pemandu Uber itu bekas seorang doktor perubatan lulusan sebuah universiti tempatan dan biarlah dia saya perkenalkan sebagai Zek.

Menurut catatan rakan saya di FB, Zek pernah berkhidmat sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan di Sarawak sebelum nekad meninggalkan kerjaya dihormati umum itu untuk menjadi pemandu Uber sejak sembilan bulan lalu.

Kata Zek, memang ramai yang pelik dan mempersoal tindakannya itu, namun dia tahu apa yang dia buat dan setakat ini dia bahagia dengan pekerjaan barunya, tidak sedikitpun timbul soal menyesal.

“Biarlah apa orang nak kata. Saya ada sebab tersendiri dan saya gembira dengan kerjaya serta kehidupan saya sekarang. Rezeki Allah itu luas. Biarlah isteri saya saja yang bekerja sebagai pegawai kerajaan. Insya-Allah setakat ini rezeki kami masih tak putus,” kata Zek yang dikongsi rakan saya di FB.

Pastinya, banyak perkara yang boleh kita ulas dan bincang mengenai Lin dan Zek. Ada yang setuju dan memandang positif tindakan mereka ini dan mungkin ramai juga yang berpendapat sebaliknya.

Saya tidak berhajat menyatakan pendapat saya dengan panjang lebar kerana bagi saya itu bukan soal utama. Apa yang lebih penting dan ingin saya ketengahkan daripada kisah Lin dan Zek ini ialah pengajaran yang mereka berikan kepada kita.

Apakah punca Lin dan Zek sanggup ‘mensia-siakan’ kelayakan akademik yang mereka peroleh dengan susah payah? Adakah kerana faktor diri mereka sendiri atau adakah kerana suasana persekitaran?

Bagaimana pula faktor minat dan erti sebenar kebahagiaan dalam kehidupan? Kita mungkin ada ijazah dan pekerjaan yang bagus tapi selepas suatu masa tertentu baru kita sedar kita sebenarnya tak minat dengan bidang yang kita ceburi itu.

Bila tak minat, hilang rasa seronok. Bila tak seronok, tidak ada kebahagiaan, sedangkan kebahagiaanlah yang setiap orang inginkan di dalam kehidupan.

Ada orang sanggup korbankan minat dan kebahagiaan kerana wang, namun ada juga sebaliknya.

Sebab itulah kita lihat ada yang ada ijazah kejuruteraan tetapi memilih menjadi tukang masak, ada ijazah sains komputer tapi jadi pereka fesyen dan sebagainya.

Oleh itu, faham dan hormatilah prinsip hidup orang lain. Kalau kita lihat seseorang itu hidup sederhana atau serba kekurangan pada pandangan kita, jangan terus membuat kesimpulan mereka bernasib malang. Ada kemungkinan mereka bahagia dengan cara mereka itu.

Seperkara lagi, zaman sekarang amat mencabar. Bukan mudah untuk mendapat pekerjaan. Ijazah dari universiti bukan lagi tiket untuk kita mendapat pekerjaan yang bagus dengan gaji lumayan.

Semua orang tahu dan kerap bercakap mengenai perkara itu, tapi persoalannya sejauh mana kita bersedia mengubah paradigma pemikiran kita untuk memulakan sesuatu nilai yang baru bagi merencanakan kehidupan kita atau keluarga masing-masing.

Untuk menjentik pemikiran pembaca semua, saya akhiri penulisan kali ini dengan kenyataan seorang rakan saya yang pernah sama-sama menuntut di universiti, pernah menjadi pengurus besar sebuah syarikat swasta dengan gaji lima angka, namun kini memilih untuk bekerja sendiri.

Katanya: “Aku tak nak seorang pun anak aku masuk universiti. Semua itu tak perlu dan hanya membazir duit dan buat hutang saja. Banyak lagi laluan lain untuk ada kerjaya yang hebat dan berjaya dalam hidup.”

Itu katanya. Saya tak kata dia betul. Apa pula kata anda?

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 7:13 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »