Ahmad Salim Bachok

Bertemu, bermesra dan berpisah adalah perkara lumrah di dalam kehidupan setiap insan. Jika pertemuan hanya sebentar, pastinya nikmat kemesraan belum dapat dirasakan. Jika berlaku perpisahan, rasa kehilangan atau kesedihan tentulah tidak akan terasa.

Bagaimanapun kemesraan yang sudah lama terjalin hingga menghasilkan rasa hormat dan sayang yang teguh di jiwa, maka perpisahan yang berlaku akan memberi kesan yang besar kepada jiwa. Ia boleh saja menyedihkan, malah menyakitkan.

Itulah yang saya rasai pada pagi Selasa lalu ketika melambai-lambai ke arah salah seorang anak perempuan kesayangan saya yang ketika itu sedang berjalan ke arah kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kehibaan kerana bakal berpisah untuk beberapa waktu dengan insan tersayang memang begitu terasa pada pagi itu.

Anak dara saya itu terbang ke London untuk bertugas di sebuah syarikat hartanah di kota metropolitan berkenaan buat beberapa waktu. Lulusan sebuah universiti di utara tanah air dalam bidang kejuruteraan itu menyahut cabaran untuk mencari rezeki jauh dari keluarga dan tanah air, selain mencari pengalaman dan pengetahuan untuk meningkatkan nilai diri serta rezeki yang lebih baik.

Walaupun sedih, saya amat menyokong tindakannya itu dan mendoakan agar dia cepat dapat menyesuaikan diri di tempat orang, selain selesa dengan tugas barunya itu. Hanya doa dan nasihat yang dapat mengiringi pemergian anak saya itu.

Cuma mujurlah teknologi digital kini menjadikan perpisahan kami bagaikan tidak terasa. Baru sehari menjejakkan kaki di kota London, kami sudah berhubung semula melalui WhatsApp dan Skype, menjadikan jarak lebih 10,000 kilometer dari Gombak ke London bagaikan tidak wujud. Kami sekeluarga berasa lega dan gembira kerana si anak sudah selamat tiba di Notting Hill, London dengan selamat dan seronok.

Bagaimanapun, saya sendiri akan melalui detik perpisahan dan kesedihan yang lebih besar dalam tempoh beberapa hari lagi. Untuk makluman semua pembaca Harian Metro yang sangat saya hormati, saya akan meninggalkan akhbar ini mulai Rabu depan.

Dalam kata lain, Selasa depan (15 Ogos) adalah hari terakhir saya berkhidmat dengan syarikat. Selepas lebih 36 tahun berkhidmat di syarikat akhbar terulung di negara kita ini, akhirnya saya membuat keputusan untuk memohon bersara awal.

Kalau pada tahun 1981 saya menjejakkan kaki di pejabat Berita Harian sebagai anak bujang, maka lebih 3.5 dekad kemudian saya akan melangkah keluar dari pejabat Harian Metro pula sebagai bapa kepada lima anak yang juga kini sudah bujang belaka.

Tentunya pelbagai peristiwa yang saya alami dan tempuhi sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai wartawan bakal menjadi kenangan dan ingatan sehingga ke akhir hayat saya nanti. Terus terang, sejak hari pertama bertugas saya tidak pernah berasa menyesal, malah berterima kasih yang amat sangat kepada syarikat yang sudi mengambil saya bekerja.

Saya berasa kehidupan dan kerjaya saya pada sepanjang 36 tahun yang lalu sentiasa dilimpahi rahmat dan diberkati Allah. Sejak hari pertama bertugas, saya sentiasa mendapat bimbingan daripada ketua jabatan yang bijaksana, baik budi dan bertimbang rasa. Saya juga mempunyai begitu ramai rakan bukan saja dari jabatan atau akhbar yang sama, tetapi juga jabatan-jabatan lain.

Sebagai wartawan yang sentiasa komited dengan tugas dan kerjaya, saya menganggap pejabat dan tempat kerja adalah rumah pertama saya. Begitu juga rakan setugas, ketua-ketua dan pegawai pengurusan tertinggi syarikat adalah ahli keluarga saya yang sangat saya hormati dan sayangi.

Kemesraan dan keakraban dalam satu keluarga besar yang dicipta serta dihimpun selama puluhan tahun itu sesungguhnya amat berharga buat diri saya. Justeru perpisahan antara saya dan rakan-rakan di pejabat yang pasti akan berlaku dalam beberapa hari lagi ini tentunya akan menyebabkan kesedihan di hati saya.

Kelompongan dan kehilangan ini bakal saya tanggung untuk beberapa waktu. Semoga saya kuat dan tabah dalam menghadapi satu episod getir dan sukar dalam kehidupan mendatang saya nanti.

Apapun, setiap permulaan pasti akan ada pengakhirannya. Begitu juga saya dan beberapa rakan lain yang bakal bersara awal pada tarikh yang sama Selasa depan, dengan ini menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada seluruh pembaca.

Anggap saja ini adalah coretan terakhir daripada saya untuk kolum ini.

Maka, jika ada terkasar bahasa atau tersasar ayat serta fakta yang tidak tepat pada tulisan saya selama ini, sama ada disengajakan atau tidak, mohon diberi keampunan.

Bak kata pantun Melayu, kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi. Kalau ada umur yang panjang, bolehlah kita bertemu lagi.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:08 AM