Antara latihan yang dijalankan. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


SERAMAI 350 pegawai dan anggota polis pelbagai unit terbabit dalam latihamal di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini, sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan serangan sepanjang penganjuran Sukan Sea ke-29, Ogos ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, latihamal Ex-Rimau 2017 itu merangkumi beberapa senario termasuk serangan bom, runtuhan bangunan dan mangsa terperangkap.

Selain itu katanya, latihan membabitkan pasukan 69 Komando (VAT 69) juga diadakan bagi menangani situasi serangan pengganas bersenjata dan Unit Hazmat untuk sebarang ancaman kimia.

"Tujuan latihan ini adalah untuk menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan.

"Selain menguji pelan tindak balas, latihan juga dijalankan untuk memantapkan peranan dan tugas komander briget sebagai Ketua Pasukan Tindakan Krisis (CRT)," katanya pada sidang media, di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Amar Singh berkata, program latihamal ini akan diadakan sebanyak lima siri membabitkan lokasi lain seperti Masjid KLCC, Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi, Kedah dan International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 1:08 PM