Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dan anggotanya menunjukkan wang palsu yang dirampas. - Foto NORIZUAN SHAMSUDDIN
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan dua sindiket pemalsuan wang hasil penahanan empat lelaki menerusi tiga serbuan sekitar Petaling Jaya, bermula Rabu lalu, hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, semua suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) susulan beberapa laporan kes wang palsu yang diterima daripada mangsa ketika urus niaga.

"Berdasarkan maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Way, Rabu lalu, 7 Jun lalu dan menahan lelaki berusia 30-an serta merampas komputer riba, mesin pencetak, 16 keping wang RM100 disyaki palsu.

"Susulan itu, polis menyerbu dua lagi kediaman di Kota Damansara dan Desa Mentari awal pagi hari ini, menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kes sama.

"Siasatan mendapati sindiket terbabit bergerak dalam kumpulan kecil mensasarkan juruwang warga asing di premis perniagaan 24 jam bagi membeli barangan menggunakan wang palsu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 1:17 PM