Seorang bekas tentera dijatuhi hukuman penjara 34 tahun dan 23 sebatan. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


SEORANG bekas tentera dijatuhi hukuman penjara selama 34 tahun dan 23 sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak saudaranya berusia lapan tahun, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh yang berusia 40 tahun selepas didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun dan 15 sebatan bagi kesalahan rogol yang berjalan dari tarikh ditangkap pada 24 Januari 2016 dan kesalahan melakukan kelucahan melampau, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan lapan sebatan yang diarahkan berjalan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia lapan tahun di sebuah rumah di Kampung Redang, Bachok pada jam 6 petang, 30 Oktober 2015.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggalakkan mangsa untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau pada jam 6 petang, 5 November 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun hingga 15 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah supaya meringankan hukuman kerana dia mempunyai tiga orang anak yang masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias mencadangkan supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:03 PM