Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


TIGA lagi rakyat Palestin ditahan tentera Israel di perkarangan Masjid al-Aqsa ketika berkumpul membantah penggunaan pagar elektronik untuk masuk ke masjid berkenaan.

Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi berkata, tentera Israel terus menahan peserta bantahan yang berkumpul di kawasan masjid suci itu.


Tentera Israel menahan warga Palestin yang cuba masuk ke Masjid al-Aqsa. FOTO ihsan Hamza Deirawi

“Hampir setiap masa, kawasan itu dipenuhi lebih 3,000 warga Palestin yang menuntut sekatan ataupun kawalan ketenteraan di kawasan al-Aqsa ditarik semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hamza berkata, ketegangan bermula sejak Jumaat lalu selepas Masjid al-Aqsa ditutup dan ia mula merebak ke wilayah lain seperti Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

“Di Tebing Barat, remaja berusia belasan tahun ditembak dan dibaling bom ketika berada di jalan bersama rakannya.

“Dia yang dibawa ke hospital di timur Tebing Barat bagi mendapatkan rawatan bagaimanapun diculik tentera rejim. Nasibnya kini tidak diketahui.

“Di Semenanjung Gaza pula, semua pejuang termasuk Briged Izzuddin Al-Qassam, Briged Saraya al-Quds dan Briged Abu Ali Mustafa menyatakan bantahan terhadap tindakan rejim serta bersedia untuk berjuang membebaskan al-Aqsa,” katanya.

Beliau berkata, warga Palestin terus berkumpul di Masjid al-Aqsa bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan keji Israel itu.

“Kami akan terus berjuang sehingga sekatan ini ditarik balik. Situasi terkini, walaupun tegang tetapi tiada tembakan dilepaskan tentera Israel,” katanya.


Kanak-kanak Palestin sertai protes bantah penggunaan pagar elektronik di Masjid al-Aqsa. FOTO ihsan Hamza Deirawi

Jumaat lalu, Israel menghalang penduduk Palestin memasuki Masjid al-Aqsa menunaikan solat Jumaat sehingga menimbulkan kemarahan penganut Islam seluruh dunia.

Dua hari kemudian, sekatan itu ditarik balik tetapi kawalan keselamatan dipertingkatkan tentera Israel dengan mewajibkan setiap rakyat Palestin melalui pagar elektronik di pintu masuk masjid itu.

Sebagai bantahan, warga Palestin bersolat di luar masjid selain terus mendesak rejim zionis menarik balik sekatan dikenakan itu.

Kelmarin, 50 individu cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah warga Palestin yang berkumpul di kawasan masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 6:34 PM