Anggota bomba mengeluarkan anak kucing betina yang terperangkap dalam longkang di Jalan 1/7B Dataran Nilai. FOTO ihsan bomba
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Nilai sanggup masuk dalam longkang sedalam lima meter untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh di Jalan 1/7B Dataran Nilai, Nilai, pagi ini.

Ketua operasi, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita berusia 43 tahun yang menemui anak kucing itu selepas mendengar bunyi mengiau pada 10.58 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota termasuk Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) ke lokasi sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamatkan haiwan berkenaan.

"Anggota masuk ke dalam longkang sedalam lima meter dan berjaya mengeluarkan anak kucing betina yang terperangkap itu.

"Kami memberikan rawatan awal dengan merawat luka di muka dan badan serta membersihkan bulu. Anak kucing itu dipercayai terjatuh dan terperangkap di dalam longkang selama dua hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kucing itu diserahkan kepada pengadu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 1:34 PM