Pakar Rujuk Ibadat Haji 1438 Hijrah Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


JEMAAH haji Malaysia dinasihatkan tidak terikut-ikut dengan amalan jemaah dari negara lain kerana ia dibimbangi bukan saja tidak berasas, malah lebih teruk dikhuatiri menyalahi syarak.

Nasihat itu diberikan Pakar Rujuk Ibadat Haji 1438 Hijrah Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz ketika ditemui media Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya ada sebarang masalah atau kemusykilan berkaitan ibadat, jemaah boleh merujuk dengan anggota Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) disediakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurutnya, memandangkan ibadat haji adalah satu rukun yang penting, jemaah perlu melengkapkan diri dengan ilmu terkini dan memadai untuk beramal sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.

Beliau berkata, itu antara cabaran awal perlu dihadapi jemaah iaitu mereka mesti sanggup dan sudi untuk belajar ilmu berkaitan ibadat berkenaan.

Katanya, ibadat haji adalah satu perjalanan kerohanian dan jemaah perlu berdepan cabaran mental dan fizikal sama ada yang boleh diduga atau di luar jangka.

"Dalam hal ini, jemaah haji perlu melatih diri sejak di Malaysia lagi serta mempunyai azam yang tinggi untuk mengerjakan haji sebagai rukun Islam yang penting.

"Bagi menyempurnakan ibadat haji, jemaah bukan saja perlu menguruskan diri, malah menguruskan akal juga (dengan ilmu)," katanya.

Beliau berkata, walaupun TH tidak meletakkan prasyarat jemaah perlu berkursus, namun jika tiada ilmu boleh menyebabkan ibadat haji tidak sempurna hingga akhirnya memberi kesan kepada kemabruran haji.

Menurutnya, ketika di tanah air, cabaran lain yang dilalui jemaah ialah menunggu giliran dan mereka perlu melalui proses itu kerana TH juga terikat dengan prosedur tertentu.

Katanya, apabila sudah berada di Tanah Suci pula, jemaah terdedah kepada cabaran lain termasuk aspek silang budaya dan keterbukaan menerimanya yang memerlukan tahap kesabaran tinggi.

"Sebagai tetamu Allah, jemaah juga mempunyai tanggungjawab kepada tuan rumah dengan mesti menghormati Tanah Suci ini.

"Kemabruran haji juga ada kaitan dengan keterbukaan kita terhadap silang budaya dan sebagainya. Kita perlu menjaga adab dan tertib dalam beribadat.

"Sebab itu, jemaah perlu ada asas ilmu dan kena berpegang dengannya dan jika ada sebarang kemusykilan boleh merujuk kepada anggota PIHTAS," katanya.

Beliau berkata, cabaran lain ialah jemaah perlu fokus kepada agenda atau tujuan utama mereka datang ke Tanah Suci iaitu melaksanakan ibadat dan bukannya kepada perkara lain seperti membeli-belah.

"Walaupun membeli-belah seperti membeli cenderamata untuk ahli keluarga dan saudara-mara juga satu sunnah bagi merapatkan lagi silaturahim tapi jangan sampai menjejaskan tujuan utama ke Tanah Suci.

"Kita tidak mahu akibat terlalu leka membeli-belah hingga terlepas peluang menunaikan solat secara berjemaah khususnya di Masjidilharam.

"Jadi, jangan kita korbankan agenda yang lebih penting dan ibadat yang lebih aula (utama) iaitu haji dan umrah sedangkan kita sudah bersusah-payah perjalanan untuk ke Masijidilharam dan Masjid Nabawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 1:55 PM